Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:00am
Pemanduan go-kart secara tandem sesuai untuk riadah keluarga. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Hebat di litar go-kart

SUKAN atau perlumbaan go-kart sering dikaitkan dengan aktiviti ekstrem khusus bagi mereka yang suka kepada cabaran dan kelajuan, dalam masa sama mungkin melepaskan tekanan.

Namun, seiring peredaran waktu dan permintaan tinggi industri pelancongan, aktiviti go-kart, kini ‘berwajah’ baharu apabila menampilkan konsep lebih santai dengan penekanan gaya hidup sihat.

Aktiviti go-kart bukan lagi khusus dalam kalangan profesional sahaja, malah mereka yang kali pertama mencuba sukan berkenaan, termasuk pelancong, tidak berdepan sebarang masalah.

Malah, kanak-kanak berusia lapan tahun dan ke atas, mampu mengendalikannya apabila disediakan beberapa kategori pilihan untuk disesuaikan dengan umur dan tahap kemahiran pemanduan mereka.

Lazimnya, ibu bapa yang datang bersama anak-anak, mahupun pasangan pelancong, akan memilih go-kart kategori ‘double seater’ atau tandem apabila jentera perlumbaan ringan itu disediakan bersama dua tempat duduk dan stereng. Bersama kelajuan maksimum 65 kilometer/sejam (km/j) dan 5.5 kuasa kuda (HP), pemanduan go-kart ‘double seater’ lebih santai, seolah-olah makan angin.

Kali terakhir penulis memandu go-kart adalah kira-kira setahun lalu apabila berkunjung ke sebuah taman tema. Justeru, apabila memandu go-kart di atas laluan trek yang memenuhi piawaian antarabangsa, terasa diri seolah-olah pemandu profesional.

Pemandu go-kart bersiap sedia di garisan permulaan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pemandu profesional turut menjadikan aktiviti go-kart sebagai gaya hidup sihat. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pemanduan secara tandem sering menjadi pilihan dalam kalangan pelancong. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Namun, atas faktor keselamatan, penulis lebih selesa memilih go-kart kategori regular dengan kelajuan maksimum 70km/j.

Dalam kalangan mereka yang sering memandu go-kart dan paling penting sudah mahir dengan selok-belok trek yang terdapat di City Karting International Kart Circuit Shah Alam, terletak bersebelahan Stadium Shah Alam, bolehlah mengendalikan siri pro kart dengan kelajuan maksimum 90km/j dan enjin 16HP.

Lazimnya kategori ini menjadi pilihan pemandu profesional.

Pengunjung yang kerap bertandang ke go-kart litar Shah Alam, hampir setiap hujung minggu, Ahmad Sharizal Jimin, 48, yang juga pengarah di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), memiliki go-kart sendiri, model Kosmic DD2, kategori 125cc apabila beliau pernah memandu dengan kelajuan maksimum 115km/j, sekali gus bertaraf profesional.

“Kami memilih aktiviti go-kart sebagai riadah keluarga pada hujung minggu. Bagi saya, selain menguji kemampuan diri dan menggilap kemahiran pemanduan, sukan go-kart adalah aktiviti gaya hidup yang sihat.

Litar go-kart Shah Alam antara trek perlumbaan yang memenuhi piawaian antarabangsa. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Aktiviti go-kart antara sukan yang boleh dinikmati berdasarkan kemampuan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

“Ia bukan sukan mahal, semua orang berpeluang menikmati aktiviti pemanduan go-kart berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Selain merapatkan hubungan silaturahim sesama anggota keluarga, memandu go-kart kita memperoleh keseronokan dan terbukti ia cabang sukan berbentuk senaman kardio.

“Bayangkan, untuk 10 minit pemanduan atau satu sesi, ia mampu membakar sehingga 235 kalori dengan degupan jantung 134. Lazimnya saya berlumba sehingga dua hingga tiga jam bersamaan tujuh sesi.

“Justeru, go-kart sukan pemotoran yang sangat baik untuk kesihatan jantung. Lebih penting, anda boleh bawa keluarga untuk sama-sama beriadah, biar semua sihat.

“Pelancong juga suka dengan litar go-kart di Shah Alam, selain lasak, ia menepati piawaian trek perlumbaan dan diiktiraf Persekutuan Karting Antarabangsa,” kata bekas peguam ini.

Aktiviti go-kart juga mampu mendidik individu teknik memotong kenderaan dengan betul, menampilkan etika pemanduan yang tinggi dan disiplin, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan, selain salah satu cabang sukan ekstrem yang membantu seseorang itu melepaskan tekanan kerja dan perasaan.

Persiapan fizikal dan minda antara yang dituntut sebelum memulakan perlumbaan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Mekanik memastikan setiap go-kart diselenggara dengan sempurna sebelum perlumbaan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Info City Karting Shah Alam

• Lokasi: City Karting International Kart Circuit Shah Alam, kawasan letak kereta Western 5, Seksyen 13, Stadium Shah Alam, Shah Alam

• Diiktiraf Persekutuan Karting Antarabangsa atau Confederation International Karting (CIK)

• Panjang trek - 1.3 kilometer

• 12 pusingan (satu sesi) dengan kelajuan 65km/j

• Menyediakan empat kategori go-kart

• Harga ‘pro kids’ (bayaran RM40)

• ‘Regular kart’ (RM40)

• Pro kart (RM80)

• ‘Double seater’ (tandem) (RM50)

Berita Harian X