Ahad, 28 Julai 2019 | 10:30am
Peserta cabaran menahan sejuk minus enam darjah selsius. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Cabaran berkurung di Snow World

Apabila mendapat jemputan menyertai cabaran ‘berkurung’ di Snow World di First World Plaza, Genting Highlands dengan suhu negatif enam darjah celsius selama dua jam, saya tidak yakin langsung mampu bertahan selama itu.

Paling lama saya menganggarkan mungkin mampu bertahan antara 10 hingga 20 minit kerana sebelum ini pernah juga masuk ke situ tetapi ternyata tidak bertahan lama walaupun lengkap dengan jaket, sarung tangan dan berkasut but.


Penulis (kanan sekali) bersama peserta lain menahan kesejukan minus enam darjah selsius ketika menjalani cabaran akhir dengan menanggalkan jaket dan sarung tangan di Snow World. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Suhu paling sejuk pernah saya rasai adalah -3.3 darjah celsius, ketika berkunjung ke pergunungan Cairn Gorm di Aviemore, Scotland yang mana saya hanya keluar sebentar-sebentar saja untuk bergambar, tetapi jejari sudah terasa beku sehingga tidak mampu lagi memegang kamera.

Tetapi, kali ini saya menyahut cabaran itu bersama lebih 31 wakil media lain kerana ingin melihat sejauh mana mampu bertahan kali ini.

Lagipun, saya fikir beramai-ramai berkurung di situ mungkin lebih menyeronokkan dan tidak akan terasa masa berlalu.

Syaratnya, peserta hanya dibenarkan memakai selapis baju bersama jaket, sarung tangan dan kasut but yang diberikan, selain tidak boleh berteduh di dalam igloo (yang suhu agak panas sedikit) dan pondok telefon bergaya British di situ atau berpelukan antara satu sama lain.


Antara peserta cabaran menahan sejuk selama dua jam di Snow World. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Peserta hanya dibenarkan keluar sekali saja untuk ke tandas sepanjang tempoh berkurung, itupun dalam tempoh lima minit saja.

Tepat jam 1.40 petang, kami melangkah penuh debaran ke dalam Snow World. Angin sejuk segera menerpa wajah kulit pipi serta hidung.

Beberapa pengunjung lain sedang bermain gelungsur Toboggan dengan pelampung getah yang bermula dari tingkat dua setengah manakala selebihnya bersiar-siar atau bergambar di kawasan sekitar igloo perkampungan musim sejuk ala Eropah yang terletak di sepanjang tangga menuju ke tingkat dua.


Aktiviti meluncur gelungsur Toboggan di Snow World. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Menyedari suhu di bawah paling sejuk, ramai peserta mencari sudut seperti berteduh di bawah perkampungan musim sejuk manakala selebihnya ke gua batu di tingkat dua.

Ada yang berteduh di belakang kadbod berbentuk meja makan diraja di dalam Istana Rome yang terletak di tingkat tiga cukup menggelikan hati.

Masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan haba dalam badan termasuk berjalan-jalan, berdiri sambil menggoyang-goyangkan kaki dan berlari setempat.

Hakikatnya sukar untuk mencari sudut yang mampu melindungi suhu sejuk beku di dalam ruang berkeluasan 2,118 meter persegi itu.

Selepas setengah jam, satu persatu peserta mula keluar selepas tidak sanggup bertahan lagi. Suhu sejuk mula menggigit pipi dan bibir.

Pengunjung lain bersilih ganti keluar dan masuk sehingga ada ketika ruang itu sepi meninggalkan hanya 13 peserta lagi yang masing-masing masih bertahan menahan ketar selepas dua jam.

Saya pula mengalami kebas jari tangan dan kaki. Akibat duduk terlalu lama menyebabkan kaki seakan membeku dan sukar melangkah pada awalnya.


Pemenang bersama hadiah. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Berdasarkan maklumat penganjur, peserta ekspedisi Ekspedisi Wanita ke Antartika (AWETA), pernah tinggal di situ selama tiga hari sebagai persiapan menempuh suhu sejuk.

Ini menambah semangat kami untuk meneruskan cabaran itu dan 13 peserta yang tinggal berjaya melepasi tempoh dua jam ditetapkan.

Oleh kerana masih tiada pemenang, penganjur mengenakan syarat baharu yang ‘kejam’ iaitu meminta kami menanggalkan jaket dan hanya perlu berdiri di tingkat bawah saja.

Ternyata langkah itu juga ternyata gagal mematahkan semangat kami walaupun terpaksa menahan ketar dan selepas tiga jam, kami diminta menanggalkan sarung tangan, selain diminta berdiri di titik paling sejuk.

Tiga setengah jam masa berlalu, ternyata tiada di antara kami yang mahu mengalah.

Agak melucukan apabila penganjur meminta kami berbincang untuk memilih hadiah disediakan iaitu hadiah pertama, penginapan tiga hari dua malam di Hotel Grand Genting, tiket masuk ke The Void dan Skytropolis untuk dua orang, sijil serta trofi.

Tempat kedua, penginapan tiga hari dua malam di Resort World Langkawi dan tiket masuk ke Skytropolis untuk dua orang, sijil serta trofi dan tempat ketiga pula penginapan tiga hari dua malam di Hotel Awana, Genting dan tiket masuk ke Skytropolis untuk dua orang, sijil serta trofi.

Lima hadiah sagu hati iaitu penginapan dua hari satu malam di Hotel First World dan tiket masuk ke Skytropolis untuk dua orang serta sijil.

Saya dan lima lagi peserta memilih hadiah sagu hati manakala peserta lain secara rela berkongsi hadiah sama ada hanya memilih penginapan dan sijil atau trofi saja bagi hadiah utama.

Info

* Keluasan Snow World:

- 70,000 meter persegi

* Ketinggian:

- 25 meter

*Paras:

- 3 tingkat

(Paras 2 dan 3 -setengah tingkat)

*Lokasi:

- Tingkat 2, First World Plaza.

* Waktu operasi:

- Hari biasa:

bermula 10 pagi hingga 10.30 malam.

- Hujung minggu:

9 pagi hingga 11.30 malam.

* Bayaran:

- RM40 warganegara dewasa

(diskaun RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas).

- Warga asing

caj tambahan sebanyak RM10

Berita Harian X