Ahad, 14 Julai 2019 | 10:31am
Orang ramai memenuhi meja makan di ruang dalam Kantin@Setor. - Foto BHOnline
Koleksi jam lama yang turut dijual kepada pengunjung dengan harga berpatutan. - Foto BHOnline
Tarikan generasi baharu untuk melihat barangan lama sambil menikmati makanan. - Foto BHOnline
Suasana di luar Kantin@Setor terdapat banyak gerai peniaga bebas menjual barangan lama. - Foto BHOnline

'Layan' nostalgia

Ada kalanya kita buntu mencari tempat makan dan menu lazat sambil membeli-belah dalam suasana santai bersama keluarga.

Jika anda melintasi lalu di Batu 4 1/2, Jalan Gombak, Selangor, boleh singgah di Kantin@Setor yang menyediakan suasana berbeza bagi memenuhi misi itu.

Kantin@Setor yang dibuka awal April lalu dengan keluasan 2,314 meter persegi dilengkapi gerai makan, pasar karat dan tapak permainan kanak-kanak yang dibina di kawasan bekas kilang lama.

Operasi bermula jam 5 petang hingga 3 pagi itu semakin dipenuhi orang ramai menjelang malam.

Apa kata sesekali, luangkan masa membawa keluarga atau pasangan ke lokasi ini.


Orang ramai tertarik dengan barangan lama yang dipamer untuk dijual. - Foto BHOnline

Barangan mainan lama dan baharu menarik perhatian kanak-kanak dan orang dewasa. - Foto BHOnline

Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Putera Al Matin Mohd Zain, berkata lokasi ini dulu terbiar dan usang, kemudian diubah dan dibangunkan menjadikan kawasan yang menyeronokkan serta kondusif.

Katanya, tempat ini menyediakan pelbagai menu meliputi sajian tempatan, Barat, Nusantara dengan matlamat mahu menjadi viral dan teruja mahu ke sini.

“Setakat ini, ada hampir 20 gerai makanan yang popular dan menyelerakan.

“Lokasi ini direka untuk pelbagai lapisan usia termasuk pasangan yang ingin membawa anak kecil. Suasana persekitaran moden dan bercirikan ‘urban' serta terbuka menjadikan ia destinasi popular dalam kalangan golongan muda,” katanya.


Pengunjung mula beratur untuk mendapatkan makanan dari hampir gerai makan di dalam Kantin@Setor. - Foto BHOnline

Antara tarikan makanan seperti sotong bakar di Kantin@Setor. - Foto BHOnline

Dengan tapak kekal dikenali Gudang Lima, tempat ini dilengkapi dewan serba guna untuk pelbagai acara dan ruang persembahan busker.

Putera Al Matin berkata, nama kantin diambil berikutan sinonim dengan tempat makan yang menawarkan harga makanan berpatutan, di samping konsep jualannya juga seperti kantin iaitu pembeli perlu membeli makanan di gerai sebelum menikmatinya di ruang makan disediakan.

“Kami sengaja menggunakan nama kantin kerana mahu mengembalikan nostalgia ketika zaman persekolahan. Nama ini juga simbolik kepada tempat makan layan diri.

“Ada beberapa jenama makanan popular. Saya yakin tempat ini mampu digemari pengunjung," katanya turut menyediakan kawasan permainan termasuk perkakas permainan seperti papan gelungsor dan buaian.


Antara barangan pakaian lama yang dijual di pasar karat. -Foto BHOnline

Koleksi basikal lama untuk dijual. - Foto BHOnline

Tempat ini juga disediakan pasar karat menjual pelbagai produk antik, vintaj dan terpakai seperti pakaian, kasut, aksesori diri dan perhiasan rumah.

Kira-kira 30 peniaga bebas berniaga di pasar karat ini. Selepas menjamu selera, pengunjung boleh bersiar ke lorong pasar karat untuk menjamu mata mencari barangan lama.

Lorongnya disinari lampu kuning suram tampak klasik, selain lukisan mural untuk mencantikkan lokasi ini.


Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian setiap malam oleh kumpulan seni yang berbeza. - Foto BHOnline

Aneka barangan lama yang menarik perhatian pengumpul barangan lama. - Foto BHOnline

INFO: Kantin@Stor

  • Terletak di Jalan Gombak, Selangor
  • 14 minit menaiki kereta dari LRT Wangsa Maju.
  • Menjual pakaian, aksesori, barangan rumah, basikal dan mainan kanak-kanak.
  • Memuatkan 400 orang dalam satu masa.
  • Berita Harian X