Ahad, 7 Julai 2019 | 10:15am
Papan tanda gergasi menarik perhatian pengunjung.
Kampung Janda Baik dikelilingi alam semula jadi yang indah.

Janda Baik, Janda Balik

KAMPUNG Janda baik yang terletak kira-kira 45 minit pemanduan dari pusat bandaraya Kuala Lumpur memiliki keunikan alam semula jadi, menarik ribuan pelancong tanpa mengira masa.

Di sebalik lapan sungai yang mengalir di kampung itu, hutan menghijau, inap desa dan aktiviti pertanian, ramai tertanya-tanya asal usul nama kampung berkenaan.

Ada juga tercari-cari, siapa gerangan si janda atau berkira-kira sama ada wanita berkenaan cantik atau terlalu baik sehingga diangkat sebagai nama kampung berkenaan.

Penduduk tempatan dan Pemandu Pelancong, Mohamad Atal Abdul Manap, 68, berkata Kampung Janda Baik sebenarnya diteroka oleh tiga haji pada 1930.

Mereka dikenali sebagai Haji Idris, Haji Yasih dan Haji Kadir yang membawa keluarga besar masing-masing dengan 13 sehingga 18 anak setiap seorang, berpindah selepas kampung asal mereka iaitu Kampung Benus, Pahang, dilanda banjir besar pada 1926.

“Keluarga besar ini berjalan mengikut laluan lama dan berhenti di satu lembah di Ulu Sungai Benus, kini dikenali sebagai Pulau Santap untuk membina penempatan di situ.


Mohamed Atal Abdul Manap di Janda Baik. - NSTP/Salhani Ibrahim

Lokasi perpisahan dan pertemuan semula Endut dan Embok di antara Sungai Benus (kiri) dan Sungai Cherengin (kanan) yang kini dikenali sebagai Pulau Santap atau Sungai Benus. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Mereka berkebun dan menanam padi huma sebagai sumber pendapatan dengan bantuan Orang Asli suku Jakun yang kedua-dua mereka penduduk awal di situ dikenali sebagai Embok dan isterinya Endut,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, kampung itu dikenali sebagai Kampung Tiga Haji sempena nama tiga sahabat itu. Bila datang orang besar berempat Pahang dikenali sebagai Datuk Hussin, nama kampung bertukar kepada Ulu Benus.

Pada 1932, berlaku pergaduhan antara Embok dan Endut dan bercerai, yang membawa Embok ke Sungai Cherengin dan Endut ke Sungai Benus.

Sungai Benus menghala ke Negeri Sembilan dan Sungai Cherengin pula menghala ke Selangor.


Peta Kampung Janda Baik.

Selepas beberapa purnama, tiba-tiba keduanya teringat padi huma yang ditanam sudah masak dan kembali semula mengikut sungai berkenaan dan bertemu di Kuala Sungai Cherengin.

“Empat minggu selepas berbalik semula, Pegawai Daerah, Sir Henry Peacock dan Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9, Datuk Hussein Awang Muhammad Taib iaitu datuk kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak. Haji Kadir bercerita mengenai kisah Embok dan Endut kepada mereka.

“Sir Henry pun mencadangkan mereka menukar nama kampung berkenaan kepada Janda Balik dan akhirnya ditukar kepada Janda Baik iaitu janda yang berbaik semula dengan suaminya,” katanya.

Pada 19 September 1936, kampung berkenaan diisytiharkan secara rasmi sebagai Kampung Janda Baik iaitu di padang berdekatan Sekolah Kebangsaan Janda Baik.


Pemimpin dan penduduk awal Kampung Janda Baik.

Info Janda Baik

- Sempadan Gombak, Selangor dan Jelebu, Negeri Sembilan

- Pintu masuk ke Pahang/Pantai Timur melalui Lebuhraya KL-Karak

- Janda Baik ke Bentong - 35 kilometer (km)

- Janda Baik ke Kuala Lumpur - 25 kilometer

Aktiviti di Janda Baik:

- Pertanian (pelancongan agro)

- Inap desa

- Bengkel masakan tradisional

- Berkuda

- Mandi-manda/berkelah

- Sukan lasak

- Kem bina semangat

1656 dibaca
Berita Harian X