Ahad, 30 Jun 2019 | 11:05am

Lepas 'gian' luncur jet di bekas lombong

KITA sering melihat peminat sukan air, ski jet layan hobi mereka di laut, tetapi demi mencari pengalaman dan kepuasan berbeza, kini tasik bekas lombong menjadi lubuk baharu penggemar aktiviti ekstrem itu melepaskan ‘gian’ terutama pada hujung minggu di pinggir ibu kota.

Barang kali anda pernah mendengar mengenai Tasik Biru Kundang, Rawang, Selangor yang menjadi destinasi popular dalam kalangan penggemar sukan air terutama ski jet berkumpul setiap petang, memenuhi tuntutan jiwa, menarik pendikit atau throttle jentera lasak di permukaan air itu bagi menikmati kederasan.

Namun, populariti Tasik Biru yang terletak 38 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Lumpur, terus menjadi perhatian dalam kalangan pengunjung domestik sekitar Lembah Klang kerana kedudukannya begitu strategik, tak perlu lagi memandu jauh mencari pantai dan lautan.

Kini bekas lombong tinggal menjadi produk pelancongan popular untuk aktiviti sukan lasak berkenaan.

Pemilik ski jet yang juga Setiausaha Persatuan Ski Jet dan Sukan Air Selangor, Kamaruzzaman Sayuti, 60, berkata, bilangan penggemar sukan air berkenaan terutama dalam kalangan pelancong semakin menunjukkan pertambahan menggalakkan gara-gara promosi ‘mulut ke mulut’ mengenai populariti Tasik Biru.


AKTIVITI ski jet semakin sinonim di Tasik Biru. Foto NSTP - Eizairi Shamsudin

Jenama Tasik Biru dan ski jet begitu sinonim. Lazimnya, penggemar aktiviti lasak itu perlu bercuti ke pantai atau laut untuk layan jet-ski, kini bekas lombong menjadi pilihan.

Tidak perlu merancang awal percutian anda, rasa-rasa nak main jet-ski, ‘terjah’ sahaja Tasik Biru, yang penting cuaca cantik.

“Namun, kami amat menitik beratkan keselamatan pengunjung. Kami akan memantau cara tunggangan atau pengendalian ski jet dalam kalangan penunggang baharu.

“Lebih selesa sekiranya pengunjung itu ada jet-ski sendiri. Bagi pelancong asing yang ingin menyewa jet-ski, ramai pemilik persendirian boleh membantu,” katanya yang memiliki 12 ski jet persendirian.

Tidak dinafikan cabaran menunggang ski jet di laut lebih menyeronokkan, berbanding dalam tasik.

Namun, beliau percaya, setiap orang ada cita rasa tersendiri. Penulis sendiri belum ada pengalaman menunggang jet-ski di tasik, tapi sebaik mencubanya, ia lebih santai kerana tidak perlu melawan arus atau ombak ganas, sesuai bagi penunggang baharu.

Presiden, Jetpro Watersport Club, Elisa Mohd Isa, 39, berkata orientasi ski jet di Tasik Biru adalah arah lawan jam mengelilingi pulau kecil di tengahnya dan berbeza dengan orientasi di lokasi berlainan.

Namun, kelebihan Tasik Biru ia mempunyai pulau kecil di tengahnya yang menjadikan bekas lombong itu seolah-olah sirkit perlumbaan ski jet bertaraf nasional.

Pulau kecil ini memudahkan pemantauan pergerakan jet-ski kerana pihaknya sangat mengutamakan keselamatan. Berbeza dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi, risiko ski jet jauh lebih rendah.


BEKAS lombong popularkan Tasik Biru sebagai pusat aktiviti lasak. Foto NSTP - Eizairi Shamsudin

Ski jet kita tarik penuh throttle, minda jadi lapang dan lupa segala masalah.

“Sebaliknya pulas penuh throttle motosikal berkuasa tinggi, ibarat nyawa di hujung tanduk.

“Bagaimanapun, menunggang ski jet di Tasik Biru popular dalam kalangan pelancong asing yang baru hendak berjinak-jinak dengan aktiviti ekstrem berkenaan, sekali gus mempromosikan keindahan tasik bekas lombong ini di persada antarabangsa,” katanya.

Bagi kanak-kanak seawal usia enam tahun, mereka juga dibenarkan menunggang ski jet, namun perlu bimbingan daripada penjaga. Bagi penulis, sekiranya menunggang jet-ski atas kapasiti rekreasi, anda perlu santai sahaja, tidak perlu menunjuk-nunjuk kehebatan yang akhirnya mungkin membahayakan diri sendiri.

FAKTA NOMBOR

• 32 hektar keluasan Tasik Biru termasuk kawasan rekreasi sekitarnya

• 600 meter laluan ski jet mengelilingi pulau di tengah Tasik Biru

• 130 kilometer/sejam kelajuan maksimum perlumbaan jet-ski Tasik Biru

• 100 kuasa kuda kemampuan enjin jet-ski tujuan rekreasi

INFO

• Tasik Biru tumpuan peminat ski jet terletak di Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang

• Asalnya lombong bijih timah diusahakan ketika zaman kolonial British

• Dulu Tasik Biru adalah lombong bijih timah terbesar di daerah Rawang

• Antara lombong bijih terbesar di Selangor

• Dikenali dengan nama Tasik Biru disebabkan airnya berwarna biru kerana kedalaman tasik berkenaan.

• Ada sebuah pulau kecil di tengah tasik berkenaan

• Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertanggung jawab menyelia dan menyelenggara infrastruktur serta kebersihan Tasik Biru sebagai destinasi pelancongan

818 dibaca
TASIK Biru Kundang, lubuk baru aktiviti ski jet di Rawang. Foto NSTP - Eizairi Shamsudin
Berita Harian X