Ahad, 16 Jun 2019 | 11:01am

MRT lancarkan perjalanan, elak kesesakan

PERKARA amat merunsingkan pengunjung ketika bercuti di kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur (KL) apabila terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas. Keadaan menjadi lebih parah apabila hujan.

Sudah pasti berlaku kesesakan melampau, selain kesukaran mendapatkan kemudahan tempat letak kenderaan berhampiran destinasi pilihan.

Namun, kesesakan dan kesukaran mendapatkan tempat parkir boleh dielakkan jika pengguna bijak dengan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan terbaik ke destinasi pusat beli-belah utama di sekitar pusat bandar raya.

Pastinya perjalanan lebih lancar ke lokasi yang menempatkan gedung beli-belah terkemuka, selain KL Sentral, pusat pembangunan transit dan hab pengangkutan yang semakin padat laluan ke destinasi itu, menjadi lebih selesa dengan pengangkutan awam.

Justeru, satu-satunya pengangkutan awam pilihan yang melancarkan perjalanan dalam kalangan pengunjung dan pelancong ke pusat bandar raya KL ialah Transit Aliran Massa atau Mass Rapid Transit (MRT).

Tren cepat, tambang berpatutan

Pengangkutan ini sebagai alternatif ke destinasi popular menuju ke lokasi tumpuan pelancong di tengah ibu kota. Perkhidmatannya mudah, cepat dengan kadar tambang berpatutan.


Jajaran pertama dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan jarak 51km. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Gedung beli-belah wajib kunjung. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Jajaran MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai 2017, apabila setiap tren empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang, selain kekerapan setiap 3.5 minit sangat praktikal dengan kehidupan di ibu kota yang sentiasa berkejar dengan masa.

Kemudahan ini melancarkan perjalanan apabila hampir ke semua stesen di sepanjang laluan berkenaan menempatkan gedung beli-belah, pusat komersial dan premis makanan popular.

Destinasi pertama menjadi pilihan penulis selepas memulakan perjalanan dari Sungai Buloh ialah Stesen Bukit Bintang atau SBK 18A. Lokasi ini menempatkan gedung beli-belah terkemuka pilihan pelancong, Pavilion Kuala Lumpur.

Ramai pengunjung menjadikan Pavilion Kuala Lumpur sebagai destinasi wajib lawat, terutama pelancong dari Asia Barat yang gemar berbelanja mewah di kawasan kejiranan elit itu, selain menawarkan deretan restoran Arab, pasti memenuhi cita rasa mereka.

Bagi pengunjung tempatan pula, terutama remaja gemar berbelanja kelengkapan harian seperti pakaian di pusat beli-belah Lot 10 dan Sungei Wang Plaza. Menariknya semua gedung beli-belah berkenaan memerlukan anda berjalan kaki kurang daripada lima minit sahaja dari Stesen Bukit Bintang. Justeru, tiada kesesakan lalu-lintas dan masalah parkir.

Nikmati nasi kandar

Dari Stesen Bukit Bintang penulis meneruskan perjalanan menaiki MRT ke Stesen Kota Damansara (SBK 06) kerana di situ ada sebuah restoran nasi kandar popular berasal dari Pulau Pinang. Nasi beriani ayam ros sajian istimewanya pasti menambat selera.

Apabila anda berkunjung ke stesen kedua terakhir, iaitu Stesen Stadium Kajang (SBK 34), jangan lepaskan peluang menikmati sate Kajang yang terletak berhampiran stesen MRT berkenaan. Jalan kaki kurang daripada lima minit, sate panas bersama nasi impit sudah menanti untuk dinikmati.


Sate Kajang berdekatan stesen Stadium Kajang. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Penuntut institusi pengajian tinggi dan penumpang Laluan SBK, Farah Nassuha Mohd Rafi, 22, berkata beliau menggunakan pengangkutan awam itu untuk berulang-alik ke universiti, selain sering memilih Stesen Cochrane (SBK 21) kerana laluan bawah tanahnya bersambung dengan gedung beli-belah popular dan pusat kelengkapan rumah terkemuka IKEA dari Sweden.

“MRT Laluan SBK mudah, cekap dan menawarkan tambang berpatutan. Sebagai penuntut, memang berbaloi menggunakan perkhidmatan MRT untuk membeli-belah dan ke KL Sentral untuk pulang ke kampung.

“Tak perlu pening kepala memikirkan kesesakan lalu-lintas dan masalah parkir yang sangat kritikal di KL ini. Saya lihat ramai pelancong sudah beralih menggunakan MRT berbanding perkhidmatan e-hailing kerana lebih cepat,” katanya.


Kesesakan dan kesukaran mendapatkan tempat parkir boleh dielakkan jika pengguna bijak dengan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

FAKTA NOMBOR

• 1 jam 20 minit perjalanan dari SBK 1 (Sungai Buloh) hingga SBK 35 (Kajang)

• 100 km/j kelajuan maksimum tren

• 42 buah bilangan tren MRT Laluan SBK

• 28 meter kedalaman terowong Stesen MRT Bukit Bintang dari jalan raya


Jajaran tren ke pelbagai destinasi memudahkan perjalanan, elak kesesakan lalu lintas. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

INFO

• Jajaran pertama dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan jarak 51 kilometer (km)

• MRT Laluan SBK bermula dari Sungai Buloh di barat laut Kuala Lumpur, melalui pusat bandar dan berakhir di Kajang, tenggara Kuala Lumpur

• Seni bina stesen bertingkat sepanjang Laluan SBK berkonsep wakaf, binaan tradisional tempat berhenti dan berehat untuk pengembara suatu ketika dahulu

• Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Negara adalah pengendali MRT Laluan SBK, manakala Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) adalah pemilik aset

399 dibaca
Berita Harian X