Ahad, 2 Jun 2019 | 10:00am
PENGUNJUNG boleh merasai suasana beraya di desa di Tropicana Golf & Country Resort (TGCR). - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SUASANA malam Aidilfitri di perkampungan melayu Tropicana Golf & Country Resort (TGCR). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Nostalgia raya di desa

HANYA berbaki tiga hari lagi umat Islam akan meraikan Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran selepas sebulan berpuasa dan ‘berperang’ dengan hawa nafsu.

Kini, tiba masanya bergembira setahun sekali berkumpul bersama sanak-saudara di kampung halaman, sambil menikmati juadah istimewa.

Di halaman rumah pula, kanak-kanak bermain bunga api menambah kemeriahan suasana lebaran.

Namun, dalam setiap kegembiraan itu, pasti ada insan yang berduka apabila tidak berkesempatan bersama keluarga di desa menyambut 1 Syawal kerana kekangan tugas yang tidak mengizinkan mereka menikmati suasana hari raya.

Tidak bermakna mereka dipinggirkan kerana masih berpeluang meraikan suasana Syawal di desa, namun kemeriahan di kampung halaman itu dinikmati di bandar.

Maknanya, sekalipun berada di kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur, suasana lebaran di desa seperti rumah kampung, basikal tua, kereta antik, makanan tradisional dan pengalaman mengacau dodol masih mampu dirasai.

Justeru, bagi yang ingin merasai suasana beraya di desa, boleh singgah ke Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), Petaling Jaya, Selangor, kerana ada set berlatar belakangkan perkampungan Melayu dengan suasana Syawal.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana pasti teruja melihat rekaan disediakan dikenali Kampung Tropicana terletak di pekarangan rumah kelab sebagai usaha menarik perhatian pengunjung, terutama pelancong asing bagi melihat secara dekat kemeriahan malam raya di desa.

Selain set rumah kampung, props tambahan seperti kereta antik, basikal tua, kawah dodol, lampu panjut, tikar mengkuang, tudung saji tradisional dan sajian istimewa hari raya, benar-benar menampilkan suasana malam Syawal di kampung halaman.

Sekalipun berada di pusat bandar, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini pengunjung pasti merasai suasana malam lebaran.

Justeru, Kampung Tropicana menjadi pilihan lima sahabat karib yang tidak berpeluang menyambut Syawal di desa, berkumpul beramai-ramai di kampung berkenaan bagi merasai kemeriahan sambutan hari raya.

Lantaran mereka tidak berpeluang berbuat begitu pada Aidilfitri nanti apabila terikat dengan kekangan tugas masing-masing.


SELAIN set rumah kampung, props tambahan seperti kereta antik, basikal tua, kawah dodol, lampu panjut, tikar mengkuang, tudung saji tradisional dan sajian istimewa hari raya, benar-benar menampilkan suasana malam Syawal di kampung halaman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SUASANA malam Aidilfitri di perkampungan melayu Tropicana Golf & Country Resort (TGCR). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Bagi Mohamad Haikal Masood, 28, yang berasal dari Muar, Johor, beliau tidak berkesempatan pulang pada 1 Syawal apabila perlu berada di Thailand.

Seminggu di sana bertugas bersama syarikat pengurusan acara memerlukannya berada di bumi asing ketika sanak-saudara berkumpul di kampung halaman menyambut Aidilfitri.

“Mujurlah ada set perkampungan Melayu dengan suasana Syawal, benar-benar mengubat kerinduan terhadap kampung halaman. Ada pula props kawah dodol, memang terasa suasana malam raya,” katanya.

Pengusaha katering, Aqila Najlaa Amirul Arshad, 27, yang berasal dari Shah Alam, Selangor, terpaksa menyambut Aidilfitri dengan melayani tempahan katering yang banyak, terutama pada hari raya pertama dan kedua, apabila beliau sendiri terpaksa turun padang kerana kekurangan kakitangan.

“Walaupun beraya di Shah Alam, saya tidak berpeluang bersama keluarga pada malam Syawal dan hari raya pertama kerana terlalu banyak tempahan yang perlu diuruskan.


HIASAN rumah kampung di Tropicana Golf & Country Resort (TGCR). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SUASANA malam Aidilfitri di perkampungan melayu Tropicana Golf & Country Resort (TGCR). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

“Bermula selepas takbir raya dan selepas sembahyang sunat Aidilfitri, saya mempunyai tidak kurang daripada 10 tempahan perlu diurus. Justeru, berada di Kampung Tropicana, sedikit sebanyak terubat kesedihan,” jelasnya.

Peniaga produk kosmetik, Nooraida Abdul Mutalib, 36, berasal dari Johor Bahru, Johor, tidak berpeluang bersama keluarga pada pagi Aidilfitri kerana perlu berada di Seoul, Korea Selatan menguruskan perniagaannya kerana 1 Syawal jatuh pada pertengahan minggu atau hari bekerja.

Justeru perancangan yang sudah diatur sejak awal dan membabitkan banyak pihak, perlu diteruskan juga.

Petugas syarikat swasta, Nur Amalia Abd Razak, 23, dari Jeli, Kelantan tidak berkesempatan pulang ke desa pada hari raya pertama dan kedua kerana terikat dengan tugas di unit kewangan yang beroperasi setiap hari apabila perlu bertugas lantaran kekurangan kakitangan bukan Melayu.

Bagi mereka, set perkampungan desa dengan suasana Syawal di tengah ibu kota benar-benar mengembalikan nostalgia kerana props, terutama rumah kampung, basikal tua dan keseronokan bermain bunga api, sudah cukup menggembirakan hati masing-masing, sekalipun terpaksa berjauhan dengan sanak-saudara di Aidilfitri.

Model sambilan yang juga Miss Malaysia Tourism Queen, Chun Joo Yee, 25, berasal dari Ipoh, Perak, mengakui beliau seronok bersama rakan menyambut Aidilfitri kerana berpeluang mendalami adat dan budaya orang Melayu, terutama menikmati hidangan istimewa disediakan menjelang Syawal.

“Walaupun berada di tengah bandar, props yang dihasilkan kelab golf ini benar-benar membuatkan saya terleka seolah-olah menyambut lebaran bersama kawan di kampung.

“Pelita dan lampu panjut menambahkan kemeriahannya. Buat kali pertama, saya berpeluang bermain bunga api, seronoknya. Lemang dan rendang yang disediakan, itu tak boleh dilepaskan,” katanya teruja.

155 dibaca
Berita Harian X