Ahad, 12 Mei 2019 | 10:00am

Magis Putrajaya 360 darjah

Lazimnya pelancong berkunjung ke Lembah Klang akan memilih pusat bandar raya Kuala Lumpur (KL) sebagai destinasi wajib dilawati.

Destinasi utama dikunjungi termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar PETRONAS atau KLCC yang pastinya begitu indah serta mempesona pada waktu malam.

Antara destinasi pelancongan wajib dikunjungi adalah bandar raya pintar dan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan iaitu Putrajaya.

Terkenal sebagai bandar raya futuristik, Putrajaya yang juga di bawah Wilayah Persekutuan ketiga di Malaysia amat unik dan menarik dikunjungi terutama pada waktu malam.

Paling unik, di kawasan Putrajaya sahaja mempunyai tujuh jambatan dengan reka seni bina yang mengagumkan menambah keceriaan dan keindahan bandar raya termasuk waktu malam.


PENGUNJUNG bersiar-siar menaiki bas persiaran dua tingkat dari pusat bandar Kuala Lumpur ke Putrajaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bukan sahaja penduduk tempatan, pelancong asing juga dapat menikmati pemandangan indah di wilayah berkenaan yang berbeza di pusat bandar.

Mereka akan merasa puas melintasi tujuh jambatan berkenaan, iaitu Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra, Jambatan Seri Bestari, Jambatan Seri Bakti, Jambatan Seri Perdana, Jambatan Seri Wawasan serta Jambatan Seri Saujana yang disimbahi pelbagai rona cahaya terang-benderang.

Namun, rekaan binaan jambatan paling popular dalam kalangan pelancong ialah Jambatan Seri Gemilang dan Jambatan Seri Wawasan.

Jambatan Seri Gemilang merentangi Tasik Putrajaya dengan jarak 240 meter (m) mula dibuka kepada orang ramai pada 2003. Ia menjadi laluan utama kepada pengunjung ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Reka bentuknya adalah inspirasi jambatan melengkung atau arch bridge yang banyak dibangunkan di Greece terutama bandar Athens dan Santorini.


PESONA Jambatan Seri Gemilang dari puncak bukit buatan PICC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

MELINTASI Jambatan Seri Gemilang seolah-olah berada di Santorini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jambatan melengkung tertua di dunia ialah Jambatan Mycenaean Arkadiko di Greece yang dibangunkan pada 1300.

Justeru, pemandangan Jambatan Seri Gemilang sangat memukau pada waktu malam dan ketika melintasinya seolah-olah anda berada di Santorini.

Sebuah lagi jambatan yang merentangi Tasik Putrajaya ialah Jambatan Seri Wawasan, juga mempunyai panjang yang sama dengan Jambatan Seri Gemilang, iaitu 240 m.

Binaannya asimetri dan sangat futuristik dengan reka bentuk jambatan gaya kabel atau asymmetric cable-stayed bridge.

Lebih menarik mengenai Jambatan Seri Wawasan apabila ia dipancarkan dengan cahaya yang berlainan pada setiap malam.

Namun, cahaya neon yang sering kelihatan menerangi jambatan berkenaan ialah biru laut, merah jambu, hijau dan ungu. Banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan atas jambatan berkenaan apabila pengunjung sering merakamkan momen indah menjelang senja dan malam.

Sekiranya pelancong ingin menikmati keindahan Putrajaya, lebih pesona apabila berkunjung ke sana pada waktu malam. Ini kerana, hampir kesemua jambatan berkenaan dan bangunan pencakar langit di destinasi berkenaan diterangi cahaya neon pelbagai warna, sekali gus menampilkan panorama menakjubkan.


PUSAT Konvensyen Antarabangsa Putrajaya disimbahi lampu neon pelbagai warna. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bagi memudahkan perjalanan dan kunjungan ke Putrajaya, penulis menaiki bas persiaran dua tingkat dengan bumbung terbuka dari KL atau lebih dikenali KL Hop-On Hop-Off (HOHO).

Perkhidmatan ini menyediakan pakej istimewa iaitu Putrajaya Night Bridge Tour yang membawa anda bersiar-siar mengelilingi destinasi percutian itu tanpa masalah mendapatkan tempat letak kenderaan atau parkir.

Pastinya yang menjadi pilihan pengunjung setiap kali menaiki bas berkenaan ialah melepak di kawasan bumbung terbuka kerana anda berpeluang menikmati pemandangan Putrajaya daripada sudut 360 darjah tanpa sebarang halangan.

Anda boleh mengambil seberapa banyak gambar sepuas hati, sekali gus berswafoto sambil berlatar belakangkan pemandangan indah.

Destinasi utama pengunjung apabila bertandang ke Putrajaya ialah berada di puncak bukit buatan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Apabila bas berhenti di destinasi berkenaan, anda berpeluang menikmati pemandangan menakjubkan Jambatan Seri Gemilang, sekali gus menampakkan sebahagian kawasan kejiranan berkenaan bergemerlapan diterangi cahaya neon berwarna-warni.

Justeru, inilah masa paling sesuai untuk anda berswafoto berlatar belakangkan Jambatan Seri Gemilang. Apabila bas melewati jambatan berkenaan, sekali lagi pelancong tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di tengah jambatan, pemandangannya sangat luar biasa, seolah-olah berada di dunia fantasi.

Penulis bersama beberapa pelancong sempat menikmati pemandangan indah apabila berada di Dataran Putra apabila di situ turut menempatkan pejabat rasmi perdana menteri iaitu Perdana Putra dan bersebelahannya ialah Masjid Putra.


CAHAYA lampu Jambatan Seri Wawasan bertukar warna setiap malam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dua binaan berkenaan bermandi cahaya neon berwarna-warni, sekali gus menjadi kawasan melepak dan beriadah apabila berkunjung ke Dataran Putra.

Bagi yang gemar suasana romantik, berdiri di kawasan bumbung terbuka apabila bas melewati Jambatan Seri Wawasan yang berwarna biru laut pada malam berkenaan.

Lampu neon di jambatan berkenaan akan bertukar warna setiap malam, tetapi tetap menampilkan persekitaran yang mendamaikan dan menjadi pilihan kaki swafoto merakam momen indah.

Pelancong turut berpeluang memenangi hadiah percutian ke Bali, Koh Samui dan Krabi dengan menyertai peraduan ‘Selfie, Tag, Share & Like’ anjuran bas persiaran berkenaan, sekali gus menggalakkan pengunjung mengambil seberapa banyak gambar menarik apabila mereka bertandang ke Putrajaya pada waktu malam.

FAKTA NOMBOR

  • RM120 - harga tiket seorang dewasa pakej Putrajaya Night Bridge Tour
  • 89.6 kilometer - jumlah perjalanan (KL - Putrajaya - KL)
  • 4 jam - anggaran perjalanan (KL - Putrajaya - KL).
  • INFO

  • Pakej Putrajaya Night Bridge Tour mula diperkenalkan kepada pengunjung pada 15 Mac lalu.
  • Pelancong yang ingin menikmati pakej berkenaan perlu menunggu bas di Kiosk Bukit Bintang (berhadapan Plaza Sungei Wang).
  • Perjalanan disediakan setiap hari mulai jam 6 petang dan berakhir sekitar 10 malam.
  • 776 dibaca
    PEMANDANGAN Masjid Putra yang terletak bersebelahan Perdana Putra begitu indah pada waktu senja.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
    Berita Harian X