Isnin, 6 Mei 2019 | 3:01pm

Terbang persis Iron Man

TENGOK dari jauh nampak macam senang hendak terbang atau terapung di atas permukaan tasik, beraksi persis watak superhero Iron Man. Tetapi apabila buat sendiri terutama percubaan kali pertama baru tahu keadaannya apabila jatuh terlentang ke dalam tasik dan ‘meneguk’ air.

Itulah cabaran pahit getir dilalui penulis baru-baru ini, apabila cuba terbang atau terapung di atas permukaan tasik dengan permainan sukan air baharu diperkenalkan di Malaysia iaitu flyboard. Niat di hati memang hendak jadi seperti Iron Man, tapi apakan daya apabila beberapa percubaan untuk terbang, penulis jatuh tersembam ke dalam air seperti Kluang Man.

Pengalaman menyeronokkan, meluncur ke udara Selepas Malaysian Profesional Flyboarder, Adam Eizaaz Rashid, 23, menunjuk ajar cara mengimbangi badan ketika berada di atas flyboard dengan kedua-dua kaki perlu berada dalam posisi tegak sebaik flyboard mencecah permukaan air.


PENGALAMAN sukan air ekstrem Flyboard Malaysia di Putrajaya. - Foto Rosela Ismail.


ADAM meluncur di udara seperti Iron Man. - Foto Rosela Ismail.


PENERBANG flyboard sedang diberi taklimat oleh Raja Aris. - Foto Rosela Ismail.


NURUL Siti Maisara berjaya terapung di udara kira-kira 10 saat. - Foto Rosela Ismail.

Akhirnya penulis berjaya merealisasikan impian terbang persis Iron Man sekalipun untuk beberapa ketika sahaja. Pemilik Flyboard Malaysia, Raja Aris Raja Dzulkifli, 49, bertindak sebagai ketua jurulatih, berkata flyboard adalah pengalaman terbang atau terapung di atas permukaan air.

Beliau berkata, pengalaman meluncur ke udara menggunakan kuasa tujahan air daripada hos yang disambungkan kepada enjin jet-ski apabila penerbang flyboard bertindak seperti ‘kepala’ manakala jet-ski adalah ‘ekornya’.

Sebagai amatur atau penerbang flyboard yang kali pertama mencuba sukan air berkenaan, jatuh terlentang atau tersembam ke dalam tasik, sekali gus ‘meneguk’ bergelen-gelen air. Situasi ini perkara lazim sebelum mereka berjaya mengimbangi badan dan kaki terutama bahagian tumit serta jari kaki yang perlu digerakkan ke belakang atau ke depan.

Mesti yakin, jangan panik

“Sebagai amatur atau pengunjung kali pertama mencuba flyboard, berjaya terbang atau terapung di udara sekurang-kurangnya selama 10 saat, percubaan itu sudah dikira sangat selesa atau dianggap cukup membanggakan bagi mereka yang baharu mencuba sukan air berkenaan selepas beberapa kali terjatuh ke dalam tasik.

“Tak perlu pandai berenang, sebaliknya mesti yakin apabila berada di dalam tasik. Maknanya sebaik berada di dalam air, jangan panik atau menggelupur takut tenggelam kerana dilengkapi jaket keselamatan. Mereka yang ada penyakit kronik seperti masalah jantung atau wanita mengandung tidak dibenarkan,” katanya.

Cabar keberanian diri

Penerbang flyboard amatur perlu memiliki tahap keseimbangan badan yang baik, sentiasa mendengar dan patuh kepada arahan jurulatih. Ketika badan masih berada dalam air, kaki perlu dibengkok sedikit, sebaik sahaja flyboard berada di permukaan air, kedua-dua kaki perlu tegak dan sekiranya badan masih dalam posisi mencangkung, pasti anda jatuh dalam air.

Raja Aris menambah, selain pengunjung domestik, kebanyakan pelancong berminat mencuba keberanian mengendalikan flyboard adalah dari India, China, Korea Selatan dan Australia. Mereka sanggup berbelanja besar untuk terbang dengan flyboard selama sejam, namun selepas 20 minit pertama, rata-ratanya sudah keletihan apabila flyboard menuntut kudrat yang tinggi.

Bagi pengunjung, Nurul Siti Maisara Hashim, 30, Norshamila Mat Jusoh, 30, dan Nur Nadia A Razak, 23, masing-masing yang baharu mencuba mengakui kepuasan serta keseronokan pasti diperoleh sebaik sahaja berjaya terbang atau terapung di atas permukaan dalam tempoh 10 saat. Ternyata mereka berpuas hati dapat menikmati panorama Putrajaya yang indah dikelilingi bangunan pencakar langit.

FAKTA NOMBOR

----------------------

* 70 kilometer/sejam kederasan air darienjin jet-ski

* 18 meterketinggian maksimum terapungdari permukaan tasik

* 135 kgberat maksimum penerbang flyboard

* RM370bayaran seorang untuk satu sesi 20 minit

INFO

-------

Sukan air flyboard

*Berasal dari Perancis dan direka cipta oleh Franky Zapata pada 2012

* Flyboard mula mendapat perhatian penggemar aktiviti lasak di Malaysia pada 2015

* Perkhidmatan itu ada di Marina Putrajaya, Presint 5, Putrajaya

666 dibaca
PERMAINAN flyboard tuntut kudrat yang tinggi. - Foto Rosela Ismail.
Berita Harian X