Ahad, 28 April 2019 | 10:01am

Nostalgia Batu Arang

HAMPIR lima dekad sejak 1913, pekan Batu Arang, Selangor dipenuhi hampir 25,000 pekerja dan keluarga yang mencari rezeki di lombong batu arang milik Malayan Collieries Ltd.

Inisiatif pelombong arang batu British, John Archibald Russell menubuhkan syarikat perlombongan di situ nyata mengubah kawasan hutan dan perkampungan kecil menjadi bandar segera serba lengkap.

Disebabkan permintaan arang batu yang tinggi, aktiviti perlombongan itu beroperasi 24 jam sehari dengan 5,000 pekerja bertugas dalam sistem tiga giliran sehari.

Kini, selepas lebih satu abad, pekan yang pernah digelar Bukit Emas Mini agak sepi, tanpa banyak inisiatif untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancongan atau tapak warisan sejarah.


DERETAN kedai lama pekan Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Sedangkan, banyak kesan atau tinggalan sejarah serta bukti bagaimana penjajah mengaut untung besar di Tanah Melayu pada ketika ini masih kekal, tetapi tidak cukup dipulihara.

Cuma, tugu simbolik batu arang berdiri megah di tengah-tengah bulatan yang menghubungkan Jalan Pekan, Jalan Tenaga serta Jalan Albert Ferelum.

Tugu berwarna hitam dan putih yang dikelilingi 18 batu bulat itu menggambarkan keagungan yang pernah dinikmati penduduk setempat pada ketika itu.

Beberapa lombong korek terbiar dilitupi teratai dan dipenuhi semak. Sekali imbas, tiada siapa yang tahu bahawa lombong nombor 8 dan lombong nombor 2 masih setia menanti.


JALAN Albert Fenelum Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Itu belum dikira 10 lombong bawah tanah yang pernah mengeluarkan hasil hampir 15 juta tan arang batu sepanjang aktiviti perlombongan hampir 50 tahun, dengan hasil dianggarkan RM163 juta selepas ditutup pada 1961.

Apa yang ada, cuma dua bangunan kecil yang menempatkan pintu masuk ke lombong yang mempunyai kedalaman dianggarkan 1,000 kaki ke bawah tanah.

Satu daripadanya kelihatan agak terurus apabila penduduk tempatan mengambil inisiatif menebang pokok besar serta semak yang tumbuh di atas dan sekelilingnya.

Bangunan kecil berhampiran lombong nombor 2 itu, mempunyai satu laluan dipercayai pintu masuk serta satu lubang besar yang dipasang kipas gergasi sebagai laluan angin keluar masuk ke lombong bawah tanah.

Laluan masuk selebar tiga meter dengan panjang dianggarkan 10 meter masih perlu dipulihara kerana kini diselutupi akar pokok menjalar dan berisiko untuk pecah dan runtuh.


SALAH satu bekas tapak lombong di Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Satu lagi pintu masuk terletak bersebelahan dengan Pusat Komuniti KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara). Difahamkan, terdapat banyak l

lagi pintu masuk ke lombong tetapi gagal dikesan kedudukannya.

Pejabat Pos Batu Arang juga adalah antara bukti kesan pembangunan ekonomi di sini. Bangunan kayu dua tingkat itu masih kekal dengan ciri binaan lama dan sehingga kini, tidak diganti dengan binaan konkrit kerana dipercayai dibina di atas lombong bawah tanah.

Bekas pejabat Malayan Collieries Ltd serta kawasan menempatkan berek askar Gurkha pula kini dijadikan Balai Polis Batu Arang.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil inisiatif meletakkan papan tanda serta maklumat bahawa tapak itu pernah dijadikan pusat operasi perlombongan di Batu Arang.


PEJABAT pos Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Beberapa bangunan rumah kedai lama masih kekal beroperasi seperti biasa, bahkan padang bola sepak yang pernah dijadikan pusat sukan sejak sebelum merdeka masih digunakan sehingga ke hari ini.

Padang bola di Jalan Yap Voon Choong itu terletak bersebelahan Masjid Jamek dan bangunan dipercayai pejabat sukan kini dijadikan pejabat MCA Batu Arang,

Mengimbau detik kegemilangan pekan Batu Arang, bekas pesara posmen, S Palani, 84, mengakui dia masih terkenangkan bagaimana meriahnya pekan kecil itu kerana pekerja sentiasa aktif sepanjang tempoh 24 jam sehari.


PALANI Sivasamy

“Saya datang ke sini ketika berusia tujuh tahun. Ketika itu, majoriti pelombong dan penduduk di sini adalah orang Cina dan India. Hanya ada tiga keluarga Melayu di sini.

“Hidup senang kerana semua kemudahan disediakan. Ada bekalan air bersih, bekalan elektrik dan hospital. Bahkan, ada juga perkhidmatan bas untuk ke ibu negara (Kuala Lumpur) dan perkhidmatan kereta api ke Kuang dan ke Ipoh.

“Tetapi apabila syarikat ditutup, kami semua hidup susah. Dahulu, walaupun gaji pekerja cuma RM6 sehari, kami hidup senang kerana syarikat sediakan kemudahan secara percuma,” katanya.

Warga emas yang menjalankan perniagaan runcit di pekan Batu Arang ini adalah antara beberapa individu masih hidup yang pernah merasai pengalaman ketika aktiviti perlombongan masih aktif.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga pernah merasai bahang sengsara ketika tentera Jepun menguasai Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua.

Palani berkata, pada Oktober 2011, penduduk serta bekas pelombong mengambil inisiatif mengadakan Karnival 100 tahun Pekan Warisan Batu Arang yang dirasmikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


(Oktober 1979) PEKAN Batu Arang di Daerah Ulu Selangor adalah pusat pengeluaran arang batu terbesar di Selangor sekitar tahun 40an hingga 50an.

“Sudah pasti mereka berkongsi detik manis dan kenangan lalu. Dulu, kesatuan pekerja di sini aktif menganjurkan acara sukan, terutama pertandingan bola sepak. Hanya itu satu daripada cara pekerja melepaskan tekanan dan berehat.

“Majikan ambil alih dan jadikan program itu lebih besar. Setiap tahun, pekerja memang menanti acara tahunan ini. Jika musim gaji, ramai pekerja bujang akan pergi menonton wayang di Kuala Lumpur,” katanya.

Apabila syarikat mengumumkan tempoh pajakan sudah tamat dan era penggunaan diesel mula mengambil alih peranan batu arang, ramai pekerja mula berhenti secara berperingkat.

Bagi mereka yang berpengalaman mengendalikan mesin kaut dan mesin korek bawah tanah, mereka mudah diterima bekerja di lombong bijih besi di Bukit Besi, Terengganu yang pada ketika itu baru memulakan operasi.

Bagi Palani, yang mula bekerja sebagai posmen pada 1969 sebelum bersara pada 1990, tugu hitam dan putih yang dibina di laluan utama pekan itu memang simbolik dengan kehidupan penduduk tempatan.

“Kami pernah merasai zaman terang (gemilang) dan zaman gelap (suram). Cuma, kini kami harapkan kawasan ini terus dijaga, dipulihara dan dijadikan pusat tarikan pelancongan bandar warisan,” katanya yang berkahwin dengan M Eeralutchumi, 77, dan kini mempunyai 13 cucu.

Info:

1908- Aktiviti perlombongan tradisional

1913 - Aktiviti perlombongan komersial

1961- Syarikat Malayan Collieries Ltd ditutup

1969 - Klinik kesihatan dibina

25 pengurus British

25 gerabak kereta api

Tarikan dan kesan tinggalan sejarah:

Pejabat Pos Batu Arang

Pintu masuk lombong

Lombong nombor 2

Lombong nombor 8

Tugu batu arang

Bangunan bekas pejabat Malayan Collieries Ltd

Bekas berek askar Gurkha

Balai polis Batu Arang

Pekan Batu Arang:

Di bawah seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS)

Daerah Gombak

Mukim Bandar Batu Arang

Kawasan berhampiran: Bandar Country Homes, Sungai Buloh, Rawang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Kundang, Ijok, Kampung Bukit Badong dan Batang Berjuntai.

350 dibaca
MERCU tanda pekan Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir
DERETAN kedai lama pekan Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir
BANGUNAN Corong Udara di Batu Arang. - Foto Luqman Hakim Zubir
TAPAK pembakaran Pasu Arang Batu yang masih kekal di Pekan Warisan Batu Arang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X