Isnin, 22 April 2019 | 12:00pm

Melompat gembira di Taman Trampolin

MELOMPAT dan melonjakkan badan ke udara dengan peralatan rekreasi trampolin atau kanvas akrobatik nampak begitu mudah, malah kanak-kanak seusia tiga tahun pun mampu melakukan pelbagai aksi apabila mereka melantun ke udara.

Lebih penting, apabila melakukan senaman atau lompatan atas trampolin kira-kira 10 minit, keletihan seperti berlari 30 minit, sekali gus berupaya membakar ratusan kalori.

Lazimnya, trampolin disediakan di tempat terbuka seperti halaman rumah, taman permainan atau rekreasi, namun apabila anda berkunjung ke Jump Street Asia di Petaling Jaya, Selangor, ia menempatkan 100 unit trampolin di bawah satu bumbung. Asalnya taman trampolin tertutup itu adalah sebuah gudang alat ganti, namun kini diubah suai menjadi taman trampolin terbesar di Asia.

Lakukan 10 minit regangan

Justeru, penulis mengambil peluang melakukan lompatan atas trampolin apabila beranggapan ia lebih mudah daripada bersenam atau berjoging selama 30 minit.

Pengurus operasi taman trampolin berkenaan, Fadhirul Yahya, berkata pihaknya mementingkan keselamatan apabila mengikut aktiviti itu.


PENGALAMAN bermain lompatan Trampolin Jumpstreet Asia di Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah

Katanya, penerangan ringkas diberikan, pelompat atau jumper tidak dibenarkan memakai kasut apabila berada atas trampolin, sebaliknya harus mengenakan stoking cengkam disediakan.

“Sebelum lompatan anda disaran melakukan 10 minit regangan supaya otot tidak ‘terkejut’ selepas lama tidak bersenam. Ketika lompatan, kaki dan kedudukan badan perlu lurus sepanjang masa. Hanya membengkokkan lutut apabila jika mahu berhenti melompat.

“Anda dilarang membuat pendaratan lompatan dengan aksi bahaya, iaitu kepala dahulu atau terjunan secara melulu,” katanya.

Berkesan untuk sistem kardiovaskular

Selepas melakukan 10 kali lompatan penulis tidak mampu meneruskannya kerana kepenatan. Justeru, mereka yang jarang bersenam melakukan lompatan atas trampolin begitu ‘menyeksakan’, tetapi demi kesihatan, penulis gagahkan juga.

Fadhirul berkata, trampolin sangat berkesan untuk sistem kardiovaskular, terutama kesihatan jantung, pengaliran darah dan pembuluh darah. Ia juga mampu menurunkan berat badan selepas pembakaran kalori. Tidak hairanlah, Jump Street Asia kerap menerima kunjungan daripada ahli sukan gimnastik dan mereka yang menitik beratkan soal penjagaan kesihatan.


PENGALAMAN bermain lompatan Trampolin Jumpstreet Asia di Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah

Bagi memperoleh lompatan asas, jumper yang baru kali pertama mengenal trampolin perlu memahirkan diri melakukan empat jenis lompatan di gelanggang utama, iaitu lipatan atau tuck, celapak (straddle), tombak (pike) dan pintalan (twist).

Undang-undang asas pula, termasuk satu trampolin hanya untuk seorang dan anda dilarang berlari di kawasan gelanggang.

Tumpuan pelancong

Taman trampolin tertutup ini juga menjadi destinasi wajib kunjung dalam kalangan pelancong, terutama dari Perancis, Jepun, Korea Selatan dan Eropah. Kebanyakan rumah di Eropah mempunyai trampolin di halamannya kerana penduduknya sangat prihatin soal kesihatan. Apabila bertandang ke Malaysia, mereka teruja negara kita mempunyai taman trampolin terbesar di Asia.

Walaupun baru memulakan operasi beberapa tahun, taman trampolin tertutup ini kerap menjadi pilihan pelancong apabila mereka bercuti di Lembah Klang. Selain baik untuk penjagaan kesihatan, ia juga menjadi destinasi pilihan pengunjung cilik kerana mengikut ibu bapa mereka menggilap kemahiran melakukan pelbagai aksi lompatan atas trampolin yang lebih mencabar.

FAKTA NOMBOR

-----------------------

* 11,818 meter persegi

keluasan Jump Street Asia

* 100 unit

trampolin disediakan

* RM28 (hujung minggu)

harga seorang selama sejam

INFO

-------

* Trampolin ialah alat yang terdiri daripada kerangka direntangi kanvas dan dilengkapi spring tempat untuk melompat atau melonjak, ringkasnya kanvas akrobatik

* Jump Street Asia dinamakan sebagai taman trampolin terbesar di Asia, selain satu-satunya taman trampolin tertutup pertama di Malaysia terletak di Petaling Jaya

* 10 minit pertama melakukan lompatan atas trampolin seolah-olah anda berjoging selama 30 minit, sekali gus mampu membakar antara 298 hingga 355 kalori

790 dibaca
PENGALAMAN bermain lompatan Trampolin Jumpstreet Asia di Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah
PENGALAMAN bermain lompatan Trampolin Jumpstreet Asia di Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah
PENGALAMAN bermain lompatan Trampolin Jumpstreet Asia di Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X