Selasa, 2 April 2019 | 8:48am
PENGURUS Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengan (KETENGAH), Ahmad Fathil Abdul Ghani bersama sebahagian wakil media seronok bermain bersama ratusan kelah liar di Santuari Kelah Lubuk Kejor, Sungai Petang. - Foto Aswadi Alias

Bercanda bersama ikan kelah liar

BERKUNJUNG ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu tidak sempurna tanpa menjejakkan kaki ke Santuari Kelah Lubuk Kejor, di Sungai Petang.

Pusat santuari ini antara lokasi wajib kunjung ke tasik buatan manusia kerana antara destinasi menarik menempatkan ratusan ribu ikan kelah liar.

Menaiki bot laju kira-kira sejam dari jeti Pengkalan Gawi atau hentian Air Terjun Sungai Lasir, pengunjung disajikan dengan panorama indah air tasik yang hijau, berlatarbelakangkan pemandangan bukit serta gunung tenang serta mendamaikan.

Memandangkan ikan kelah spesis haiwan dilindungi, pengunjung terlebih dulu diwajibkan singgah ke Pusat Kawalan Santuari Kelah untuk diberi taklimat.

Difahamkan, ikan kelah adalah spesis istimewa malah harganya mahal berbanding ikan air tawar lain.


WAKIL media Ekspresi Media Kenyir 2019 bergambar di pintu masuk utama Santuari Kelah selebum memulakan perjalanan 45 minit. - Foto Aswadi Alias

Menuju ke lubuk dataran kelah yang menempatkan ribuan ikan kelah hitam dan hijau, pengunjung perlu merentasi laluan batu dan jambatan gantung yang dibina pada 2013.

Perjalanan sejauh 2.2 kilometer (km) mengambil masa kira-kira 45 minit rasa terhibur kerana didendangkan dengan pelbagai bunyi haiwan liar seperti rusa, burung, kijang, cengkerik, unggas dan tikus.

Ternyata penyertaan penulis dalam pengembaraan Ekspresi Media ke Kenyir (EMK 2019) anjuran Tourism Malaysia dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), baru-baru ini, membuang perasaan takut dan geli apabila masuk ke sungai berkenaan.

Sebaik tiba di lubuk dataran kelah, hati teruja, apabila dapat mengikuti aktiviti lasak dan mencabar.

Diberikan masa kira-kira 30 minit dalam sesi lawatan, lebih 20 peserta EMK 2019 seronok bergelak ketawa dapat mandi dan bermain bersama ribuan ikan kelah sambil memberi makan.

Pada awalnya penulis ragu-ragu dan tidak yakin untuk masuk ke sungai bermain bersama ikan kelah, namun dengan bantuan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), akhirnya disertai juga.

Pengalaman berbeza apabila ikan menggigit manja kaki terutama ketika diberi makan khas iaitu palet.


PENGUNJUNG perlu berjalan di atas titi menyeberangi sungai Petang sebelum sampai ke Lubuk Kelah. - Foto Aswadi Alias

Menurut pemandu pelancong Alam Sekitar terbaik 2014, Khairul Abu Bakar, kawasan Sungai Petang dijadikan santuari kerana eko sistem terbaik.

Keindahan lubuk kelah dengan keunikan spesis ini sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir.

“Memandangkan ikan kelah spesies terpelihara, KETENGAH menetapkan 200 pelawat sehari atau 50 pelawat untuk tempoh 30 minit saja.

“Kita perlu mengehadkan kunjungan untuk keselamatan pelancong.

“Sepanjang Mac hingga Oktober, kita menerima lebih 100,000 pengunjung. Pada November hingga Februari, lokasi ini ditutup kepada pelancong kerana ketika itu musim ikan kelah bertelur, tambah pula Terengganu mengalami musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melatih ikan kelah supaya tidak terlalu bergantung kepada manusia untuk mendapatkan makanan.

Ketika ditutup kepada orang ramai, ikan berkenaan perlu keluar mencari mencari makanan sendiri.

“Ikan kelah hanya hidup di air sungai yang bersih dan berenang melawan arus, ikan kelah dijaga rapi.

“Pengunjung yang berada di Kelah Santuari dilarang memberikan makanan lain selain palet khas yang boleh dibeli di kedai disediakan.

“Makanan yang diberikan pula dibuat khas bagi menjaga kualiti ikan berkenaan,” katanya.

Ikan kelah dianggap ikan air tawar paling mahal selain dikatakan mengandungi kolagen.

Biarpun banyak tulang tetapi ia mudah ditarik, selain antara sajian paling sedap dengan tekstur lembut malah sisiknya juga boleh dimakan.


BERJALAN di jambatan gantung sejauh 700 meter dapat menyaksikan pemandangan sungai yang tenang dan ikan kelah merah dari dengan ketinggian 50 meter dari paras air. - Foto Aswadi

INFO:

Santuari Kelah Lubuk Kejor

* Dibuka dari Mac hingga Oktober

* Merentasi jambatan gantung sejauh 700 meter

* Terletak 21 kilometer dari Pengkalan Gawi atau 40 minit menaiki bot laju

* Keluasan: 4,464 hektar atau 4,640,000 meter persegi

* Panjang Sungai Petang : 21 km panjang dalam jarak ke Taman Negara dengan 91 aliran air yang mengalir

* 200 pelawat sehari

* 50 pelawat ditetap dalam tempoh 30 minit.

* Diwartakan sebagai zon larangan memancing untuk perlindungan, pemeliharaan dan pembiakan ikan air tawar

391 dibaca
Berita Harian X