Ahad, 31 March 2019 | 11:48am

Pesta belut sawah lubuk rezeki

SUNGAI BESAR: Perkara pertama terlintas di fikiran ketika bersama sekumpulan pemburu belut ialah pelbagai peribahasa yang berkaitan dengan spesies Synbranchidae ini.

Bagai belut digetil ekor, licin bagai belut, seperti belut pulang ke lumpur, bagai belut diregang dan bagai belut kena ranjau.

Semuanya berkaitan dengan sifat belut yang menggambarkan betapa dekatnya haiwan ini dalam kehidupan masyarakat dan memang diakui, agak sukar menangkap spesies ini yang ada nilai ekonomi serta ekologi tersendiri.


ANAK katak (gambar kecil) digunakan sebagai umpan belut. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Bagi penduduk di Parit 6 Timur, di sini, aktiviti menangkap belut dianggap sebagai mainan harian, bahkan ia boleh bertukar kepada skala lebih besar atau seolah-olah menjadi pesta pada musim tertentu.

Mereka bergerak dalam kumpulan kecil, tetapi disebabkan terlalu banyak kumpulan yang bergerak di kawasan bendang serentak, ia mencetuskan tarikan tersendiri yang menggambarkan pesta belut sudah bermula.

Kebiasaannya, aktiviti menangkap belut ini meriah bermula Februari hingga April, iaitu sebelum bermulanya musim menanam padi.


SEBAHAGIAN belut yang ditangkap di Kampung Parit 6 Timur, Sungai Besar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Ketika ini, cuaca panas yang agak ekstrem menyukarkan aktiviti menangkap belut kerana banyak kawasan kontang, tetapi bagi pemburu tegar, ia bukan masalah besar mencurah keringat mencari rezeki di sawah.

Hampir setiap petang, kawasan bendang dipenuhi penduduk yang menangkap belut yang bersembunyi di lubang kecil di parit tepi sawah dan tali air.

Aktiviti ini semakin meriah menjelang malam kerana cuaca lebih sejuk menyebabkan belut akan keluar ke permukaan lubang.

Mohd Hanapiah Hashim, 48, adalah antara pemburu tegar yang menjadikan aktiviti menangkap belut sawah (Monopterus albus) ini sebagai punca pendapatannya.

Hanya berbekalkan umpan katak dan anak ikan, Hanapiah bersama beberapa rakannya akan meredah parit, punca air atau saliran air untuk mencari lubang belut.


MOHD Hanapiah dan Alias membersihkan belut yang ditangkap. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Sepintas lalu, memang sukar mengenal pasti lubang belut ini, tetapi bagi mereka yang cukup berpengalaman, diibaratkan ‘sepintas ikan di air, sudah tahu jantan atau betina’.

“Mesti pandai cari lubang. Walaupun musim panas dan air di parit agak kering, belut masih boleh hidup dalam lubang.

“Belut akan masuk jauh ke dalam lubang. Kami menggunakan umpan katak dan anak ikan kerana baunya cukup kuat dan boleh menarik perhatian belut untuk keluar,” katanya.

Mereka menggunakan joran yang dipasang tali pendek diikat mata kail dan menggunakan hujung joran itu untuk mengocak air di permukaan lubang.

Jika belut ada di dalam lubang itu, ia akan bertindak balas dan akan kelihatan seperti air disedut ke dalam lubang atau mengeluarkan buih.

Umpan katak akan diletakkan ke permukaan lubang dan jika belut memakannya, mereka akan menarik pantas tali pancing dan terus dimasukkan ke dalam jaring yang diikat bersama guni.

Belut sukar dipegang dengan tangan kerana terlalu licin, dan jika tersilap langkah, tangkapan akan terjatuh ke dalam air dan hilang.

Bagi Alias Yusop, 54, dia lebih gemarkan aktiviti pada waktu malam kerana hasil tangkapan lebih lumayan berbanding petang.

“Malam lebih meriah. Belut suka cuaca sejuk. Jika hujan di sebelah petang, kami akan menangkap belut pada waktu malam kerana banyak kawasan air bertakung dan banyak kawasan lembap,” katanya.

Pada masa sama, Alias mengakui menangkap belut pada waktu malam ada risiko tersendiri dan agak berbahaya jika tidak berhati-hati.

Dengan hanya berbekalkan lampu suluh yang dipasang di kepala, jarak penglihatan mereka agak terhad. Sedangkan, pada waktu itu, binatang lain terutama ular juga memburu anak ikan, tikus di kawasan sawah.

“Mesti pakai kasut dan baju lengan panjang kerana banyak nyamuk dan agas di kawasan sawah. Bagi kami, ia perkara biasa, tetapi bagi yang baru berjinak-jinak, perkara kecil ini boleh mendatangkan masalah,” katanya.

Jika Alias dan Hanapiah menjadikan aktiviti menangkap belut sebagai antara punca pendapatan, lain pula dengan seorang guru, Rahmat Basri, 52, yang menjadikannya sebagai tarikan mempromosikan kawasan itu.

Bahkan, Rahmat kerap menggunakan belut yang ditangkap sebagai sesi pengenalan, terutama kepada kanak-kanak yang datang menginap bersama keluarga di inap desa atau homestay di kampung mereka.

“Kami pernah jalankan aktiviti memegang dan menangkap belut. Ia seperti sukaneka. Ramai yang menjerit kerana geli dan takut, tetapi mereka seronok dan meraih pengalaman baharu,” katanya.

Napiyah Idris, 60, pula tidak pernah menangkap belut, tetapi sering memberi sokongan dan kerap bersama penduduk lain turun ke bendang.

“Inilah aktiviti orang kampung yang jarang ada di tempat lain. Inilah keistimewaan tempat kami,” katanya yang mengakui turut memantau aktiviti itu bagi mengelak salah laku termasuk menggunakan kaedah menangkap yang tidak dibenarkan.

489 dibaca
MOHD Hanapiah (kanan) dan Alias memburu belut pada waktu malam di Kampung Parit 6 Timur, Sungai Besar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X