Ahad, 31 March 2019 | 10:00am
Pemandangan di Santuari Kelah pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias
Sebahagian pegngamal media dan orang ramai dapat bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Kelah jinak di Lubuk Kejor

Berkunjung ke Tasik Kenyir tidak sempurna tanpa menjejakkan kaki ke Santuari Kelah Lubuk Kejor di Sungai Petang. Pusat santuari ini antara lokasi wajib kunjung ke tasik buatan manusia kerana antara destinasi menarik menempatkan ratusan ribu ikan kelah liar.

Menaiki bot laju kira-kira sejam dari jeti Pengkalan Gawi atau hentian Air Terjun Sungai Lasir, pengunjung disajikan dengan panorama indah air tasik yang hijau, berlatarbelakangkan pemandangan bukit serta gunung tenang lagi mendamaikan.

Memandangkan ikan kelah spesis haiwan dilindungi, pengunjung terlebih dulu diwajibkan singgah ke Pusat Kawalan Santuari Kelah untuk diberi taklimat. Difahamkan, ikan kelah adalah spesis istimewa malah harganya mahal berbanding ikan air tawar lain.

Menuju ke lubuk dataran kelah yang menempatkan ribuan ikan kelah hitam dan hijau, pengunjung perlu merentasi laluan batu dan jambatan gantung yang dibina pada 2013. Biarpun agak jauh, perjalanan selama 45 minit atau sejauh 2.2 kilometer, didendangkan dengan pelbagai bunyi haiwan liar seperti rusa, burung, kijang, cengkerik, unggas dan tikus.

Menyertai pengembaraan Ekspresi Media ke Kenyir anjuran Tourism Malaysia dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), baru-baru ini, penulis dapat menangani perasaan takut dan geli apabila masuk ke sungai berkenaan.


Antara laluan yang disediakan untuk ke Santuari Kelah pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Hilang rasa takut

Sebaik tiba di lubuk dataran kelah, perasaan itu pada awalnya tidak dapat diungkapkan. Bukan seorang yang gemar aktiviti lasak dan mencabar, tetapi memikirkan peluang yang datang bukan selalu tambah pula penat selepas merentasi perjalanan selama hampir sejam dari Hentian 1, penulis tekad mencuba.

Diberikan masa kira-kira 30 minit untuk satu sesi lawatan, lebih 20 peserta EMK 2019 seronok bergelak ketawa dapat mandi dan bermain bersama ribuan ikan kelah sambil memberi makan.

Bagaimanapun, penulis pula menjerit-jerit ketakutan dan memperuntukkan masa kira-kira 20 minit hanya memasukkan kaki ke dalam sungai berkenaan. Dengan bantuan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), akhirnya penulis masuk sehingga bahagian lutut. Ratusan ikan mula menggigit manja kaki terutama ketika diberi makan khas iaitu palet

Mungkin aksi penulis agak keterlaluan hingga mengalirkan air mata tetapi itulah yang sering berlaku kebanyakan pengunjung di Kelah Santuari apabila tiada keberanian.

Menurut pemandu pelancong Alam Sekitar terbaik 2014, Khairul Abu Bakar, kawasan Sungai Petang dijadikan santuari kerana eko sistem terbaik. Keindahan lubuk kelah dengan keunikan spesis ini sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir.


Sebahagian petugas media bergambar kenangan bersama ikan kelah di Santuari Kelah pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Pemandangan di Santuari Kelah pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Hadkan jumlah pengunjung

“Memandangkan ikan kelah spesies terpelihara, KETENGAH menetapkan 200 pelawat sehari atau 50 pelawat untuk tempoh 30 minit saja. Kita perlu mengehadkan kunjungan untuk keselamatan pelancong.

“Sepanjang pembukaan dari Mac hingga Oktober, kita menerima lebih 100,000 pengunjung. Pada bulan November hingga Februari, lokasi ini ditutup kepada pelancong kerana ketika itu musim ikan kelah bertelur, tambah pula Terengganu mengalami musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya melatih ikan kelah supaya tidak terlalu bergantung kepada manusia untuk mendapatkan makanan. Ketika ditutup kepada orang ramai, ikan berkenaan perlu keluar mencari habitat sendiri dan berdikari.

“Ikan kelah hanya hidup di air sungai yang bersih serta berenang melawan arus, ikan kelah dijaga rapi. Pengunjung yang berada di Kelah Santuari dilarang memberikan makanan lain selain palet khas yang boleh dibeli di kedai yang disediakan.

“Makanan yang diberikan pula dibuat khas bagi menjaga kualiti ikan berkenaan,” katanya.

Ikan kelah juga sajian ikan air tawar paling mahal selain dikatakan mengandungi kolagen. Biarpun banyak tulang tetapi ia mudah ditarik, selain antara sajian paling sedap dengan tekstur lembut malah sisiknya juga boleh dimakan.


Pemandangan di Santuari Kelah pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias

INFO: Santuari Kelah Lubuk Kejor

  • Dibuka dari Mac hingga Oktober
  • Perjalanan 1.85 km untuk sampai ke destinasi
  • Merentasi jambatan gantung sejauh 700 meter
  • Terletak 21 kilometer dari Pengkalan Gawi atau 40 minit menaiki bot laju
  • Keluasan: 4,464 hektar atau 4,640,000 meter persegi
  • Panjang Sungai Petang : 21 km panjang dalam jarak ke Taman Negara dengan 91 aliran air yang mengalir
  • 200 pelawat sehari atau 50 pelawat untuk tempoh 30 minit saja.
  • Diwartakan sebagai zon larangan memancing untuk perlindungan, pemeliharaan dan pembiakan ikan air tawar
  • Kawasan larangan merokok
  • Tidak dibenarkan membawa makanan luar
  • Sungai Petang, berasal nama Kampung Petang apabila penduduknya keluar bekerja seharian suntuk dari hingga petang hari.
  • 2308 dibaca
    Berita Harian X