Ahad, 24 March 2019 | 10:01am

Jalan Alor 'bersalin kulit'

HENDAK makan ketam, anda perlu berjalan seperti ketam. Itulah situasi yang berlaku sekiranya anda bercadang menikmati hidangan makanan laut seperti ketam segar di deretan gerai atau restoran yang terdapat di sepanjang Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pelawat ramai berkunjung ke destinasi popular pelancongan itu sehingga hendak berjalan pun terpaksa mengiring seperti ketam.

Jalan Alor dikenali di pentas dunia sebagai ‘syurga makanan’ apabila ia hanya dipenuhi pelancong asing terutama dari China, Eropah, Korea Selatan dan Indonesia.

Lebih terkenal dalam kalangan pelancong asing, lokasi ini dibanjiri mereka hampir semua gerai mahupun restoran yang terdapat di sepanjang Jalan Alor.

Terus terang, penulis kali pertama menjejakkan kaki di Jalan Alor baru-baru ini, untuk meninjau suasana waktu siang dan malamnya dilihat bertukar wajah.

Dulu dikenali kawasan hitam yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral kepada pengunjung hidung belang, kini gelaran ‘Red Light District’ tidak boleh diguna pakai lagi.

Hanya deretan gerai makanan dan restoran sahaja memenuhi kawasan itu.

Seorang teman pernah memaklumkan, sekiranya ingin berkunjung ke Jalan Alor mahupun Bukit Bintang, pastikan anda berpeluang menikmati dua suasana yang berbeza. ‘Semangat’ siang lain, ‘semangat’ malam lain.


SUASANA waktu siang di Jalan Alor, Bukit Bintang. - Foto Saddam Yusoff

Itulah keunikan destinasi segi tiga emas Kuala Lumpur yang menyediakan pelbagai bentuk hiburan, pusat beli-belah terkemuka dan beraneka jenis makanan yang pasti memenuhi cita rasa.

Siang hari Jalan Alor dan Bukit Bintang tidak ubah seperti kawasan komersial lain, sibuk dengan urusan jual-beli dan deretan kenderaan yang memenuhi kaki lima kedai.

Bising hiruk-pikuk di sekitar Bintang Walk dengan pelancong terutama backpackers mundar-mandir, mungkin mencari penginapan bajet di kawasan Changkat Bukit Bintang.

Bagi yang berkemampuan, pusat beli-belah mega menjadi pilihan.

Sebaik saja memasuki Jalan Alor, kelihatan beberapa peniaga sedang sibuk membuat persiapan sebelum memulakan perniagaan sebaik matahari ‘berlabuh’.

Begitu juga dengan kaki lima sebuah restoran makanan segera, pelawat hanya mundar-mandir, tiada apa-apa yang istimewa berlaku di kawasan berkenaan.


ANTARA gerai yang terdapat di Jalan Alor, Bukit Bintang. - Foto Saddam Yusoff

Penulis mengambil kesempatan meninjau deretan gerai dan restoran yang ada papan tanda halal, tetapi tidak ditemui.

Peniaga mendakwa menyediakan makanan halal, walaupun logo jenama minuman keras terpampang di hadapan premis berkenaan.

Hanya beberapa meter sebelum di penghujung Jalan Alor, penulis terpandang restoran yang memaparkan tulisan ‘Bismillahhirahmanirahim’ dan pekerjanya warga asing beragama Islam, selain ramai pelancong dari Asia Barat di situ.

Barang kali restoran seperti ini akan menjadi pilihan dalam kalangan pelancong domestik beragama Islam.

Magis lokasi ‘hitam’


PENGUNJUNG berpeluang menikmati hiburan pemuzik jalanan atau buskers di Jalan Alor. - Foto Saddam Yusoff

Menjelang malam, Jalan Alor dan Bukit Bintang ‘bersalin kulit’. Limpahan cahaya neon menerangi setiap sudut seolah-olah ada perayaan besar seperti sambutan Tahun Baharu Cina.

Pemandangan itu biasa di sini ramai bertandang ke destinasi ‘syurga makanan’ itu.

Peniaga bertali-arus memanggil pelancong masuk bertandang ke premis makanan mereka.

Boleh dikatakan hampir setiap meja dipenuhi pengunjung yang menggemari makanan laut seperti ketam, udang kara, sotong dan ikan kerapu.

Lokasi ini seolah-olah seperti di Chinatown apabila hampir kesemua peniaga berbangsa Cina, manakala pelanggan mereka pelancong asing.

Sekitar jam 9 malam, kawasan lapang berhampiran restoran makanan segera di persimpangan Jalan Alor, pengunjung berpeluang menikmati hiburan pemuzik jalanan atau buskers.

Mereka bermain muzik dan menyanyi pelbagai genre lagu serta bahasa sekali gus menggamit pelancong asing ‘melekat’ menyaksikan persembahan mereka.

Ramai tertumpu di situ ada yang turut menari, menyanyi, bersila dan melontarkan syiling serta wang kertas terhibur melihat keasyikan nyanyian mereka.

Itu ‘magis’ yang tersembunyi di Jalan Alor yang mungkin tidak mendapat perhatian daripada pengunjung domestik, barang kali terlepas pandang.

Namun, bagi pelancong asing destinasi ini antara wajib dikunjungi.


SUASANA waktu malam di Jalan Alor, Bukit Bintang. - Foto Saddam Yusoff

FAKTA NOMBOR

* 500 meter

panjang Jalan Alor

* 6,000 orang

anggaran pengunjung

setiap malam

* 5 petang

restoran makanan laut

mula beroperasi

INFO

* Jalan Alor terletak di belakang Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang bermula dari Changkat Bukit Bintang hingga ke Jalan Tong Shin

* Jolokan ‘Red Light District’ Bukit Bintang apabila pernah dilabel sebagai ‘kawasan panas’ yang menyediakan aktiviti pelacuran

* Kini, Jalan Alor dikenali sebagai ‘syurga makanan’ apabila menjadi tumpuan pelancong

* Tempat melepak selepas berhibur di kelab malam

2258 dibaca
JALAN Alor dikenali di pentas dunia sebagai ‘syurga makanan’ apabila ia hanya dipenuhi pelancong asing terutama dari China, Eropah, Korea Selatan dan Indonesia. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X