Ahad, 17 March 2019 | 2:26pm
St Regis Kuala Lumpur, janjikan kemudahan penginapan istimewa.
Delgado; (empat dari kiri), Rajeev; (lima dari kiri) dan Clavell (lima dari kanan) mengadakan dialog potensi sektor hospitaliti pelbagai segmen di St Regis Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Staycation hujung minggu semakin popular

TREND percutian berhampiran rumah antara aktiviti warga kota yang bertujuan mengisi masa lapang bersama keluarga, selepas seminggu penat bekerja.

Ketua Pegawai Operasi Marriott International Inc, Rajeev Menon, berkata aktiviti walaupun nampak kecil namun berupaya menjana sektor pelancongan sesebuah negara selain memajukan industri hospitaliti tempatan.

Sejak kebelakangan ini, tempahan bilik untuk hujung minggu di beberapa hotel terkemuka sekitar ibu kota Kuala Lumpur, begitu baik.

“Kami melihat senario ini sebagai perkembangan positif dengan segmen hotel mewah menjadi pilihan. Peratusan tetamu tempatan lebih ramai berbanding pelancong pada hujung minggu,” katanya pada dialog pertumbuhan industri pelancongan tempatan dan antarabangsa di St Regis Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden Kawasan Singapura, Malaysia dan Maldives, Rivero Delgado.

Ahli keluarga berkumpul

Percutian hujung minggu ini kata Naib Presiden Luxury Asia Pasifik, Victor Clavell, dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti keluarga dan saudara mara berkumpul.

“Mereka memilih hotel berhampiran sebagai lokasi pertemuan sama ada untuk merayakan ulang tahun, sambutan ulang tahun perkahwinan mahupun majlis meraikan sahabat dari luar negara datang berkunjung,” katanya.

Tetamu berpeluang mendapatkan kadar sewa sungguh berpatutan menerusi laman web marriott.com dengan diskaun 20 peratus.

Sambutan menggalakkan itu memberi peluang pihaknya memperkenalkan kad keahlian Marriott Bonvoy, bertujuan menghargai tetamu sama ada yang datang bermalam atau menikmati hidangan di semua restoran rangkaian hotel Marriott.

Keahlian membolehkan tetamu mengumpul mata ganjaran untuk ditebus semula dalam bentuk pelbagai kemudahan yang ditawarkan apabila mereka berkunjung semula.

Mengulas potensi industri berkenaan, Clavell berkata, aliran ini memberi peluang tetamu menikmati kemudahan hospitaliti bertaraf lima bintang pada harga yang sungguh berpatutan.

Beliau berkata, tetamu ditawarkan pelbagai kemudahan rekreasi antaranya gimnasium, spa, jakuzi selain menikmati sarapan dalam suasana berbeza.

439 dibaca
Berita Harian X