Rabu, 13 March 2019 | 1:07pm
Kawasan khas yang disediakan untuk pengunjung berkhemah di De Rhu Beach Resort, Balok. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Kawasan khas yang disediakan untuk pengunjung berkhemah di De Rhu Beach Resort. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Kolam mandi di De Rhu Beach Resort. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Percutian santai, berkhemah di pantai

SUASANA hijau dengan desiran ombak menghempas pantai bukan sahaja mengujakan pengunjung, tetapi turut membawa keriangan kepada anak-anak kecil.

Saat matahari mulai terbenam, unggun api dinyalakan menerangi kawasan, sambil menikmati hidangan dengan ketenangan dan keseronokan dirasai sukar digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang dirasai saat berkhemah bersama keluarga di tepi pantai, selain menikmati keindahan alam semula jadi.

Pilihan destinasi perkhemahan santai bersama keluarga di Kem Nemo bersebelahan dengan De Rhu Beach Resort yang terletak di Kampung Balok, Kuantan, Pahang amat tepat sekali.

Tapak perkhemahan disediakan memberi peluang kepada pengunjung memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga, sambil ibu bapa berpeluang mendedahkan aktiviti luar yang santai kepada anak-anak mereka.

Terletak di tepi Pantai Balok di sini, tapak perkhemahan milik De Rhu Beach Resort itu bukan sahaja luas dan selesa, malah dilengkapi kemudahan asas seperti bilik air dan tempat mandi yang bersih serta selesa.

Dengan bayaran serendah RM30 sehari, anak dan ibu bapa dapat berkhemah sambil menikmati pemandangan indah dan persekitaran cantik memukau seperti hamparan pantai memutih dan suasana pantai yang mendamaikan.


Pengurus Besar De Rhu Beach Resort, Reza Rashid. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Pengurus Besar De Rhu Beach Resort, Reza Rashid berkata, Kem Nemo adalah tempat sesuai untuk mereka yang sukakan kehidupan di pantai atau mahu mencari ketenangan dari kesesakan di bandar.

"Keindahan alunan ombak dan tiupan bayu pagi sangat tenang, amat sesuai untuk riadah bersama keluarga, aktiviti sekolah, universiti, kolej atau jabatan kerajaan dan swasta.

Terdapat pelbagai aktiviti seperti kem motivasi, kepimpinan dan jati diri.

"Kem Nemo ini mula beroperasi sejak awal tahun ini dan mampu menempatkan kira-kira 350 pengunjung pada satu-satu masa.

Selain itu, ia juga boleh menempatkan kira-kira 140 khemah pelbagai saiz," katanya.

Pengunjung yang datang tidak perlu membawa khemah kerana pihaknya sudah menyediakan semua kelengkapan untuk perkhemahan, termasuk barbeku.

“Kita menyediakan pelbagai jenis khemah antara family glam king size, queen tent, dorm size tent dan khemah biasa.

“Kem Nemo turut menyediakan perkhidmatan inap desa yang mempunyai tujuh bilik.

“Kemudahan lain seperti dewan boleh memuatkan tetamu seramai 500 orang, tandas yang selesa dan plug untuk kegunaan peralatan elektrik," katanya.

Pelawat boleh menggunakan taman tema air mini yang terletak di De Rhu Beach Resort secara percuma jika menginap di kem berkenaan.

"Kita pentingkan keselamatan dengan dijaga 24 jam sehari dan di pintu depan dan belakang," katanya.


Kolam mandi di De Rhu Beach Resort. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Info:

Kem Nemo

• Harga inap desa: RM30 - RM350

• Memuatkan 500 orang

• Layari laman sesawang www.derhu.com.my

• Hubungi talian 09-5579000 atau laman sosial Facebook Kem Nemo

3285 dibaca
Berita Harian X