Ahad, 10 March 2019 | 10:00am
PENGUNJUNG boleh menikmati musim salji di Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM) di Taman Botani, Bukit Cerakah. - Foto Aziah Azmee

Main salji di Malaysia

TIDAK perlu berbelanja besar mengembara jauh untuk menikmati keunikan cuaca empat musim, sebaliknya pengalaman musim sejuk, luruh, bunga dan panas boleh dinikmati di negara ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu di Taman Botani, Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor ada Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM) dan pengunjung boleh menikmati suasana itu.

Menariknya, Rumah Empat Musim yang sentiasa menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara ini cukup lengkap dan sempurna.

Ia bagi membawa pengunjung menyelami suasana sebenar seperti perubahan cuaca di negara beriklim sejuk seperti Amerika Syarikat dan Eropah.


RUMAH Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM) di Taman Botani menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Rumah dengan keluasan kira-kira 2,438 meter persegi ini bertukar musim mengikut tempoh yang sama seperti negara lain, iaitu musim sejuk pada Disember hingga Februari; musim bunga (Mac hingga Mei); musim panas (Jun hingga Ogos) serta musim luruh (September hingga November).

Baru-baru ini penulis sempat berkunjung ke Bukit Cerakah untuk menikmati musim sejuk dengan pemandangan bagaikan di Kutub Utara, sambil merasai kesejukan salji sehingga menyucuk tulang.

Bangunan di dalam rumah ini berlatarbelakangkan pemandangan bersalji. Membawa suasana lebih menakjubkan, rumah berkenaan diperindahkan lagi hiasan kincir angin dan laluan berkayu menuju ke pagola utama.

Beberapa patung penguin, diperbuat daripada salji dan patung rusa menambah aura suasana musim sejuk, selain taburan salji tersangkut di pohon yang kekeringan menyerikan suasana.

Kelihatan pengunjung kanak-kanak dan dewasa teruja seperti sedang melancong ke Eropah, sekali gus membuatkan empat musim itu riuh rendah.

Petugas Rumah Empat Musim, Mohd Salim Sulaiman yang sudah berkhidmat 30 tahun di Taman Botani, berkata cuaca sejuk itu boleh mencapai suhu -2 hingga - 6 darjah Celsius.

Salji yang ada di dalam rumah ini 95 peratus sama seperti salji sebenar.

Katanya, pihaknya tidak membenarkan pengunjung masuk beramai-ramai, sebaliknya akan kawal dengan membenarkan 50 pengunjung dalam satu masa.

“Dianggarkan 2,500 pelawat mengunjungi tempat ini pada setiap hujung minggu. Lazimnya pengunjung lebih ramai datang ketika tempoh musim sejuk.


ANTARA hiasan yang terdapat di Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM) di Taman Botani, Bukit Cerakah. - Foto Aziah Azmee

“Kita juga menerima kunjungan ramai ketika musim bunga. Pelbagai jenis bunga diimport dari Belanda dibawa masuk bagi membawa suasana mengasyikkan dengan rona warna-warni dan berbau semerbak.

“Antara bunga dibawa masuk ialah tulip yang popular di Amsterdam, selain pelbagai jenis bunga ros.

“Musim panas paling kurang menerima kunjungan, mungkin disebabkan negara ini beriklim Khatulistiwa yang sedia panas.

“Tidak ramai yang tahu sepanjang musim panas, rumah ini hanya mencapai suhu 20 darjah Celsius dan kelihatan cantik apabila dipenuhi bunga-bunga di sekitarnya,” katanya.

Jurutera, Zarina Johan, 36, yang membawa empat anak beriadah ke Taman Botani sempat berkunjung ke rumah berkenaan.

Katanya, kunjungan ke rumah itu berbaloi, terutama kepada yang belum berkesempatan melancong ke luar negara sebagai persediaan merasai kesejukan salji sebenar.

“Kewujudan rumah ini dapat membuka minda pengunjung dan memberi peluang kepada orang ramai bermain salji. Lebih penting ia menjimatkan wang ringgit bagi mereka yang tidak berkemampuan.

“Ini adalah kos yang paling murah tetapi mampu memberi pengalaman yang menakjubkan buat sesiapa sahaja yang ingin bermain salji,” katanya.


PENGUNJUNG bergambar bersama patung penguin yang terdapat di Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM) di Taman Botani, Bukit Cerakah. - Foto Aziah Azmee

INFO:

Rumah Empat Musim, Taman Botani

* Dibuka sejak 1990

* 50 pengunjung dibenarkan masuk sesuatu masa

* Keluasan lebih 2,438 meter persegi

* 1.5 kilometer laluan sepanjang merentasi Rumah Empat Musim

* Tidak disediakan baju sejuk untuk musim sejuk

* RM5 bayaran masuk

* Waktu operasi : Jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang

Berita Harian X