Isnin, 28 Januari 2019 | 9:28am
KEUNIKAN perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan, Pahang bersama pelancong asing. - Foto Saddam Yusoff

Jejaki 'syurga' kehidupan kaum Bateq

“Oo elah! Oo elah!” - bermaksud selamat pulang. Suara kanak-kanak suku kaum Bateq, di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang, memecah kesunyian di hutan belantara itu.

Perkataan itu disorak berulang kali oleh sekumpulan kanak-kanak suku kaum Bateq kepada penulis dan sekumpulan pelancong asing selepas hampir sejam kami bersama mereka di perkampungan berkenaan

Ternyata kehidupan Orang Asli suku kaum Bateq di taman berkenaan antara keunikan yang menarik orang ramai.

Mereka yang menghuni pondok kecil diperbuat daripada daun langkap untuk dijadikan atap dan dinding, pakaian tersidai di ampaian, sesetengahnya dijadikan ‘kain langsir’ atau ‘pintu’ menutup ruangan terbuka di hadapan pondok, adalah pemandangan biasa bagi golongan itu.

Bagi orang luar, situasi itu dilihat sebagai pengalaman baru bagi mereka dan peluang terbaik untuk melihat kehidupan mereka secara dekat.

KANAK-KANAK di perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan, dengan aktiviti tersendiri. - Foto Saddam Yusoff

Bagi penulis, pemandangan perkampungan Orang Asli di Kampung Tersek Baru, tebing Sungai Tembeling yang terletak di hutan simpan Taman Negara Kuala Tahan itu sangat jarang ditemui.

Lazimnya kebanyakan Orang Asli mengamalkan gaya hidup moden, menghuni rumah batu, dilengkapi kemudahan asas seperti air dan elektrik, sesetengahnya pula bekerja kilang serta mampu memiliki kereta.

Sebaliknya kehidupan dan gaya hidup suku kaum Bateq dikategorikan sebagai separuh primitif, serba-serbi kekurangan, tiada kemudahan asas, namun itulah ‘syurga’ mereka.

Hasil hutan dan sungai dianggap nadi untuk meneruskan kehidupan. Mereka hanya ke pekan berdekatan sebulan sekali untuk membeli keperluan asas terutama beras, minyak masak dan kopi.

AKTIVITI Orang Asli suku kaum Bateq di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan, Pahang bersama pelancong asing. - Foto Saddam Yusoff

Bagi kanak-kanak yang kebanyakannya tidak berbaju, kelihatan cukup seronok menerima kedatangan tetamu.

Yang pasti, lebih 30 pelancong asing begitu teruja mendekati budaya dan gaya hidup mereka di kampung berkenaan yang hanya boleh dilalui menerusi jalan sungai.

“Justeru, kami perlu menaiki perahu jalur dari jeti berdekatan dengan masa perjalanan hampir 20 minit sambil menempuh arus deras,” katanya.

Suku kaum Bateq mahir menggunakan sumpit untuk berburu di hutan, menjadikan monyet, tupai, kera dan burung sebagai sumber makanan.

Mereka tidak menggunakan pemetik api, sebaliknya kaedah kuno seperti rotan dan kayu meranti yang digesel selama beberapa minit untuk mengeluarkan haba, lalu terhasillah bara yang akhirnya mengeluarkan api untuk mereka memasak.

Apabila hasil hutan hampir kehabisan di kawasan berkenaan, mereka akan berpindah mencari penempatan baharu.

Mereka kerap berpindah-randah demi kelangsungan hidup dan lazimnya hanya ada 10 hingga 15 keluarga sahaja dalam perkampungan yang baharu diteroka.

PENEROKAAN pelancong asing di Taman Negara Kuala Tahan. - Foto Saddam Yusoff

Setiap kali kehadiran pelancong ke kampung berkenaan, suku kaum Bateq akan membuat demonstrasi cara menghasilkan api daripada bara secara tradisional dan kemahiran menggunakan sumpit untuk berburu.

Pelancong warga asing kelihatan begitu tekun mendengar penerangan sambil mengambil gambar, selain belajar menggunakan sumpit. Berswafoto dengan suku kaum Bateq adalah wajib.

Manakala Sungai Tembeling adalah sumber utama mereka mendapatkan bekalan air, mandi, mencuci pakaian dan minuman, selain pengangkutan utama menggunakan perahu jalur ke pekan Kuala Tahan membeli barangan keperluan harian.

Lantaran kehidupan kaum Bateq sangat jarang ditemui dalam kehidupan serba moden hari ini, ia mampu menarik perhatian pelancong terutama dari Barat untuk bertandang ke kampung mereka hampir setiap hari.

Pemandu pelancong lazimnya akan membawa tetamu mereka dari hotel atau chalet berdekatan ke Kampung Tersek Baru.

KANAK-KANAK kaum Bateq ceria menerima kedatangan pelancong. - Foto Sadaam Yusoff

Pelancong dari Belanda, Koen Gerrits yang ditemui berkata, lazimnya beliau akan menghabiskan percutian dengan mengembara ke negara yang kaya dengan alam semula jadi dan kali ini memilih Taman Negara Kuala Tahan apabila dimaklumkan usia hutan simpan berkenaan lebih tua daripada Hutan Amazon.

“Saya sangat bertuah kerana di Taman Negara Kuala Tahan masih ada masyarakat Orang Asli yang mengamalkan gaya hidup separuh primitif.

“Keadaan ini sangat sukar ditemui di kebanyakan negara, sebaliknya Malaysia masih memelihara budaya dan menonjolkan kehidupan pribumi seperti suku kaum Bateq yang hidup berpindah-randah,” katanya.

Wakil Tok Batin, Along Pinang bertindak sebagai jurucakap, berkata masyarakatnya sering menjayakan pelbagai demonstrasi di hadapan pengunjung menjelaskan, kehadiran pelancong asing yang bertali arus setiap hari, secara tidak langsung menambah pendapatan mereka.

“Ini termasuk jualan kraf tangan seperti sumpit pendek dan mata damak, lazimnya mendapat perhatian pelancong kerana ia dianggap barangan yang sangat jarang ditemui.

“Apabila ada sumber pendapatan daripada pelancong, kami boleh beli barangan keperluan harian.

“Sekiranya kurang pelancong, aktiviti harian kami adalah berburu, menjala ikan dan menghasilkan kraf tangan,” katanya yang sudah berumah tangga dengan pasangannya, Esah Man dan dikurniakan lima cahaya mata.

Mengikut kepercayaan suku kaum Bateq, remaja lelaki yang hebat berburu menggunakan sumpit dan cekap menyalakan api menggunakan rotan serta kayu meranti, layak untuk berumah tangga.

PELANCONG asing kerap menjadikan tempat menarik seperti ini untuk diterokai. Foto Saddam Yusoff

FAKTA NOMBOR

• 90 peratus pengunjung dari Mutiara Taman Negara

• RM5 bayaran dikenakan kepada pelancong

• 5 kampung Orang Asli di sepanjang Sungai Tembeling

• 1 kilometer jarak Kampung Tersek Baru ke Jeti Kuala Tahan

INFO

• Orang Asli suku kaum Bateq dipercayai berasal dari Papua New Guinea dan Indochina kira-kira 7,000 hingga 8,000 tahun dahulu

• Turut dikenali sebagai suku kaum Bateq Negrito dan kebanyakannya menghuni di Kampung Dedari, Kuala Tahan, antara puak minoriti yang masih menghuni hutan hujan tropika

• Selain suku kaum Bateq, suku kaum Semak Beri adalah antara komuniti terbesar yang menghuni perkampungan Orang Asli di Taman Negara Kuala Tahan

• Perbezaan ketara antara suku kaum Bateq dengan Semak Beri adalah berdasarkan kategori rambut apabila Bateq mempunyai rambut kerinting, manakala Semak Beri berambut lurus

• Perkampungan Orang Asli di Kampung Tersek Baru dan Kampung Dedari adalah paling ramai dan kerap dikunjungi pelancong terutama dari Belanda, Jerman, Perancis dan Itali

Berita Harian X