Isnin, 24 Disember 2018 | 10:00am
PELANCONG tempatan teruja berpeluang memegang anak-anak tuntung. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Pusat Konservasi Hidupan Liar melindungi, memelihara dan memulihara populasi tuntung. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Sungai Perak, terkenal sebagai habitat tuntung bertelur.- NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Tuntung Sungai Perak terancam

RAMAI yang tak kenal tuntung berbeza kura-kura dan penyu, walaupun rupanya seakan serupa.

Kesemua spesies reptilia ini kelihatan sama pada mata kasar apabila diamati fizikalnya, seolah-olah serupa, tetapi sebenarnya tak sama.

Namun, barangkali perbezaan ketara hanyalah terhadap saiz mereka sahaja.

Perbezaan tuntung dengan penyu adalah ia mempunyai kaki renang yang berkuku seperti kura-kura. Ini membolehkan tuntung berjalan di atas tanah atau pasir untuk bertelur.

Tuntung juga mempunyai kepala yang kecil dan boleh disembunyikan di dalam karapas apabila diganggu. Nama saintifik tuntung atau tuntung sungai ialah batagur baska.

Reptilia itu mempunyai kaitan rapat dengan budaya masyarakat Asia Tenggara. Misalnya di Kemboja, tuntung dikenali sebagai Penyu Diraja kerana daging dan telurnya dijadikan santapan istimewa kerabat Diraja.

Pada penghujung abad ke-19, di Tanah Melayu, Kesultanan Melayu Kedah dan Perak pernah menjadikan telur tuntung sebahagian daripada santapan Diraja.

Habitat utama tuntung adalah di perairan air payau dan dikategorikan sebagai spesies labi-labi air tawar apabila ia lebih banyak menghabiskan waktunya di dalam air berbanding naik ke darat.


PENGUNJUNG merakam foto habitat pembiakan tuntung. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Daging dan telur tuntung boleh dimakan, sekali gus menjadikan reptilia berkenaan buruan penggemar makanan eksotik.

Gara-gara kepupusan yang semakin serius, Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) yang terletak di Bota Kanan, Perak (kira-kira 800 meter dari tebing Sungai Perak) ditubuhkan untuk melindungi, memelihara dan memulihara populasi tuntung dan habitatnya melalui kajian penyelidikan, mengawal eksploitasi telur, program kesedaran awam dan penguatkuasaan undang-undang.

Sebagai nilai tambah, pusat pemeliharaan tuntung secara tersusun bagi mengatasi kepupusan itu turut menjadi destinasi tumpuan pengunjung terutama dari luar Perak melihat reptilia berkenaan secara dekat.

Sekali gus menjadikan perairan dan tebing Sungai Perak produk pelancongan popular dalam kalangan pelancong asing, barangkali seumur hidup mereka belum pernah melihat tuntung.

Tebing Sungai Perak berdekatan Bota Kanan dikenali Pasir Telur iaitu lokasi tuntung mendarat dan bertelur apabila pusat konservasi di situ adalah habitat semula jadi yang landai, tinggi dan berpasir, sangat sesuai untuk reptilia berkenaan membiak.

Kewujudan tuntung di Perak bermula apabila Sultan Perak bertandang ke Kedah apabila baginda dihadiahkan sepasang tuntung.

Sultan Perak memelihara tuntung di selat Bota Kanan dan hari ini sekitar kawasan berkenaan dibangunkan menjadi pusat pemeliharaan tuntung.


PENGUNJUNG melihat replika telur tuntung.NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membantu melindungi tuntung. Paling penting tidak memakan daging dan telurnya, selain meningkatkan kesedaran umum dengan menghebahkan keunikan reptilia ini kepada orang ramai terutama pelancong supaya generasi akan datang terus mengenali haiwan terancam ini.

Lebih menarik, tuntung turut dikenali sebagai ‘pelayar malam’. Ini kerana antara November hingga Februari, tuntung liar akan berenang ke hulu Sungai Perak untuk bertelur pada waktu malam.

Tuntung memerlukan tebing sungai yang mempunyai saiz pasir tertentu untuk bertelur.

Jika di Terengganu, pelancong melihat penyu bertelur di tepi pantai, manakala di Sungai Perak, menyaksikan tuntung bertelur.

588 dibaca
Berita Harian X