Ahad, 16 Disember 2018 | 10:23am
PENGUNJUNG mempelajari tentang wau pada Program Road to Agro Tourism siri 4. - NSTP/Munira Abdul Ghani
DEMONSTRASI menghasilkan wau pada Program Road to Agro Tourism siri 4. - NSTP/Munira Abdul Ghani
DEMONSTRASI bermain wau pada Program Road to Agro Tourism siri 4. - NSTP/Munira Abdul Ghani

Keunikan wau tambah seri negeri Jelapang Padi

CUACA panas terik dengan bayu bertiup sederhana adalah saat yang dinanti-nantikan oleh pencinta wau untuk menguji keupayaannya yang dihasilkan melayang-layang terbang menerjah ruang angkasa.

Beberapa ahli Persatuan Wau Negeri Kedah, Kampung Pulau Ubin, Mukim Padang Perahu, Jitra sudah berada di tengah bendang yang sedang menguning bersama wau Jala Budi di tangan.

Mereka cuba untuk menaikkan Jala Budi yang dihasilkan sejak beberapa bulan lalu iaitu wau kebanggaan negeri jelapang padi yang berwarna kuning keemasan.

Sementara itu, beberapa ahli lain pula sedang sibuk menyiapkan wau di bengkel yang terletak tidak jauh dari kawasan bendang.

Pengurus Persatuan Wau Negeri Kedah, Ghazali Md Isa, berkata Jala Budi juga dikenali sebagai ‘Ladies Kite’ (wau wanita) kerana bentuknya yang ramping di bahagian tengah, seakan pinggang seorang wanita.


DEMONSTRASI menghasilkan wau pada Program Road to Agro Tourism siri 4. - NSTP/Munira Abdul Ghani

“Wau ini juga dinamakan sebagai jala kerana bentuk ekornya seakan-akan ekor ikan yang ditangkap menggunakan jala.

“Coraknya pula berbentuk kerawang dengan warna kuning sebagai warna latar utama,” katanya.

Semakin hilang ditelan zaman

Ghazali berkata, terdapat pelbagai jenis wau lain yang turut dihasilkan oleh ahli bawah persatuan berkenaan seperti Wau Kuning, Wau Bulan dan Wau Merak.

“Ciri dan reka bentuk wau bergantung kepada dari negeri mana ia berasal. Keindahan dan keunikan wau juga berdasarkan warna dan seni lukisan yang dipaparkan pada muka wau berkenaan,” katanya.


DEMONSTRASI menghasilkan wau pada Program Road to Agro Tourism siri 4. - NSTP/Munira Abdul Ghani

Wau lazimnya sinonim dengan di Kelantan tetapi hakikatnya ia turut dihasilkan di Kedah suatu ketika dulu tetapi semakin hilang ditelan zaman.

Bagi mengembalikan kegemilangan wau di negeri itu, persatuan berkenaan mengendalikan bengkel membuat wau dengan menggalakkan penyertaan penduduk setempat.

Kesungguhan persatuan itu berhasil apabila sudah tiga kali berturut-turut tampil sebagai juara dalam Pertandingan Pesta Wau peringkat antarabangsa sejak 2015.

Persatuan berkenaan ditubuhkan pada 1980-an tetapi mula aktif sejak 1999 dan mula menyertai Pesta Wau sejak sembilan tahun lalu yang diadakan di Johor, Kelantan, Bintulu dan Satun, Thailand.

Pikat pelancong

Beliau berkata, dalam pertandingan ciri wau yang dipertimbangkan termasuk keindahannya ketika di bumi iaitu sebelum diterbangkan dan setinggi mana ia mampu terbang.

“Ciri wau yang penting mestilah ringan iaitu kira-kira 200 sehingga 300 gram saja supaya mudah diterbangkan,” katanya.


PENGUNJUNG merasai pengalaman bermain wau pada Program Road to Agro Tourism siri 4. - NSTP/Munira Abdul Ghani

Rangka wau pula diperbuat daripada Buluh Duri atau nama saintifiknya, Bambusa Blumeana yang diraut sebelum dibentuk rangka wau diinginkan.

Tali tangsi digunakan untuk menerbangkan wau yang mana ia direndam terlebih dulu sebelum digunakan.

Pembuat wau perlu memiliki kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan wau yang baik.

Keindahan dan keunikan permainan wau ini boleh menarik perhatian dan menggamit pelawat yang berkunjung ke negeri itu untuk mengetahui lebih lanjut berkaitannya terutama pelancong asing.

Info

Mengenai wau

* Dikatakan berasal daripada perkataan kerajaan Melayu Pattani di Thailand

* Permainan tradisional terkenal di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

* Keupayaan terbang:

12 meter

* Tempoh siap:

5 hari sehingga 2 minggu (bergantung kepada saiz)

* Kos

RM200

177 dibaca
Berita Harian X