Isnin, 5 November 2018 | 5:06pm
KUALA LUMPUR 09 OKTOBER 2018. Jejak Warisan Klang Bandar Diraja. NSTP/Saifullizan Tamadi

Klang pilihan pelancong

HIRUK-PIKUK deruan pelbagai jenis kenderaan, kesesakan lalu lintas dan pelbagai projek infrastruktur di bandar Klang menandakan kepesatan pembangunan dari sudut ekonomi dan pelancongan amat terserlah.

Rentetan pembangunan di Klang amat panjang. Bermula dari sejarah penubuhannya dipercayai lebih awal daripada sejarah kerajaan Melaka. Klang dipercayai sebahagian daripada jajahan takluk kerajaan Srivijaya dan Majapahit.

Klang menjadi semakin penting dan terkenal pada abad ke-19 berikutan perkembangan aktiviti perlombongan bijih timah di Lembah Klang.

Shah Alam adalah ibu negeri bagi Selangor manakala Klang kekal sebagai Bandar Diraja yang sarat dengan lipatan sejarah.

Banyak binaan atau bangunan sekitar Klang dibangun bercirikan kolonial Inggeris, mahupun struktur tradisional kesan daripada penjajahan dan perdagangan silam, sekali gus menjadikan Klang antara destinasi wajib kunjung bagi pelancongan di negeri Selangor.

KTM Komuter mudahkan perjalanan

Hanya dengan berjalan kaki menerokai Jejak Warisan Klang, pengunjung terutama pelancong asing berpeluang mendalami sejarah Bandar Diraja Klang yang menampilkan deretan ikon pelancongan popular, sekali gus menjadikan Klang antara destinasi percutian popular negeri Selangor.

Bagi warta tempatan dan pelancong asing, mereka boleh meneroka Klang dengan lebih mudah, cekap dan pantas dengan menaiki perkhidmatan KTM Komuter dari KL Sentral Kuala Lumpur.

Berikut disenaraikan beberapa Jejak Warisan Klang popular yang lazimnya menjadi pilihan pelancong atau pengembara untuk dikunjungi.

Selain itu, populariti nasi ambeng yang menjadi menu istimewa dalam kalangan masyarakat Jawa sekitar Klang dalam majlis keramaian seperti kenduri kesyukuran dan kenduri arwah turut menjadi pilihan pelancong.

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz


- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Antara bangunan tertua di daerah Klang. Bangunan berkenaan bercirikan neo classic dan direka oleh arkitek A B Huback, dibangunkan pada 1909. Pernah dijadikan Pejabat Pegawai Daerah ketika zaman pemerintahan British. Sewaktu perang dunia kedua, pihak Jepun menggunakan bangunan ini sebagai markas tenteranya.

Apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah menaiki takhta pada 2001, baginda menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman dijadikan Galeri Diraja yang baharu. Kini, bangunan berkenaan menjadi pusat pameran utama, sekali gus dikenali sebagai Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang banyak memaparkan sejarah kesultanan Selangor.

Kelab Diraja Klang


- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Dibangun dan diasaskan pada 1901. Terletak di Jalan Istana berhampiran Istana Alam Shah. Kelab ini ditubuhkan untuk menjayakan aktiviti sosial dan rekreasi kepada ahlinya yang berketurunan British. Ketika zaman pemerintahan Jepun, kelab berkenaan digunakan sebagai mes rekreasi pegawai tenteranya.

Apabila tentera Jepun berundur, Kelab Diraja Klang digunakan sebagai pusat sosial dan rekreasi oleh pegawai tentera berbangsa Eropah. Kini, kelab berkenaan terus berdiri teguh menyediakan kemudahan sosial dan rekreasi kepada ahlinya sahaja.

Jalan Tengku Kelana / Little India


- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Sebuah kawasan membeli-belah paling popular yang terletak di Bandar Klang Selatan. Turut dikenali Little India dalam kalangan penduduk setempat kerana kebanyakan peniaga di premis berkenaan terdiri daripada kaum India. Terdapat barangan yang diimport terus dari India turut dijual di sini.

Berdasarkan maklumat, Jalan Tengku Kelana dinamakan sebagai Little India yang terbesar di Malaysia pada hari ini. Masyarakat India sekitar Klang mahupun pengunjung luar akan berpusu-pusu untuk membeli-belah di sepanjang Jalan Tengku Kelana menjelangnya perayaan Deepavali.

Jambatan Kota


- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Destinasi wajib kunjung apabila bercuti di Klang, Jambatan dua tingkat sepanjang 500 meter yang merentangi Sungai Klang ini menjadi penghubung utama antara Klang Selatan dan Utara. Jambatan dua tingkat ini adalah yang pertama dibina di Tanah Melayu ketika pemerintahan British oleh syarikat Dorman Long Bridge and Engineering Limited pada 1957 bagi menggantikan Jambatan Brickfield.

Popularnya mengenai Jambatan Kota yang menjangkau usia lebih 60 tahun ini apabila menyediakan lokasi ‘Kunci Cinta’ sebagai simbolik kepada pasangan kekasih atau pengantin baharu untuk ‘mengunci’ kasih sayang dan berikrar untuk menyayangi pasangan mereka sepanjang hayat.

Muzium Balai Bomba


- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja ini turut dijadikan Muzium Balai Bomba. Ia terletak di Jalan Gedung Raja Abdullah dibina pada 1890-an. Lebih menarik mengenai balai bomba berkenaan adalah reka bentuk bangunannya yang bercirikan gaya zaman victoria dan masih dikekalkan hingga hari ini.

Sejarah awal mengenai perkhidmatan bomba terutama pakaian dan peralatan digunakan dipamer kepada pengunjung di ruangan galeri Muzium Balai Bomba, sekali gus menarik kehadiran pelancong apabila menampilkan peralatan atau kelengkapan bomba yang kini menjadi warisan negara.

Masjid India Muslim Tengku Kelana


- Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Binaan ikonik ini menjadi mercu tanda bagi Bandar Diraja Klang. Terletak di Jalan Tengku Kelana, bangunan asal masjid ini dibina pada 1910 untuk menjayakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dalam kalangan kaum India-Muslim yang menetap di Klang dan kawasan sekitarnya.

Bangunan asal masjid ini akhirnya dirobohkan dengan binaan masjid baharu pada 1973. Namun, binaan itu juga turut dirobohkan lalu diganti dengan bangunan masjid dua tingkat yang baharu dan lebih luas serta moden untuk menampung pertambahan jemaah.

653 dibaca
Berita Harian X