Ahad, 28 Oktober 2018 | 12:36pm
PENGUNJUNG Langkawi Nature Park menaiki bot meninjau hutan paya bakau. - Foto NSTP/Hamzah Osman
PINTU masuk laluan pejalan kaki sejauh 800 meter merentasi hutan bakau turut disediakan pengurusan Langkawi Nature Park di Kampung Belanga Pecah, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
PENGUNJUNG kanak-kanak teruja menaiki unta ketika berkunjung ke Langkawi Nature Park di Kampung Belanga Pechah, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman

Hutan bakau tarikh baharu pulau lagenda

LANGKAWI mempunyai pelbagai produk pelancongan alam semula jadi dan pembangunan taman tema, selain pulau bebas cukai menjadikan lokasi yang kerap dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara.

Kawasan paya bakau antara tarikan yang unik kerana menyediakan kawasan dipenuhi dengan keindahan alam dan udara bersih begitu mendamaikan.

Langkawi Nature Park, umpamanya adalah pusat eco pelancongan terbesar di Langkawi yang menempatkan lebih 80 spesis haiwan di kawasan hutan paya bakau semula jadi yang mempunyai laluan pejalan kaki sepanjang 800 meter.

Melangkah masuk ke Langkawi Nature Park (LNP), di Kampung Belanga Pecah, Langkawi, menjanjikan keseronokan dan kedamaian, malah amat sesuai untuk riadah seisi keluarga.

LLNP adalah produk pelancongan baharu memiliki 270 haiwan dan kepelbagaian pastinya menggamit pengunjung untuk menikmati kelestarian hutan bakau.


DR Mahathir Mohamad merasmikan Langkawi Nature Park di Kampung Belanga Pecah, Langkawi. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Taman tema dibangunkan Sentoria Group Berhad (Sentoria) dengan kos RM15 juta di kawasan seluas 10.1 hektar itu dibuka kepada orang ramai sejak awal tahun ini.

Sentoria syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang bergiat aktif dalam sektor hartanah dan pelancongan di beberapa lokasi strategik dalam negara.

LNP dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Ogos lalu kini muncul antara daya tarikan baharu di Langkawi.

Pengunjung pelbagai peringkat usia bukan sahaja boleh melihat aksi haiwan dalam kurungan, malah boleh berinteraksi dan memberi haiwan makan secara dekat.

Antara haiwan luar negara yang ada di taman itu, Beruang Perang, Beruang Matahari, Binturong, Dubuk Belang, Singa Putih, Cimpanzi, Kuda Belang dan Unta.


PEMANDANGAN bahagian hadapan Langkawi Nature Park di Kampung Belanga Pechah, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman

Sementara spesies tempatan yang turut ditempatkan di taman itu ialah Ular Sawa Batik, Kancil, Kambing, Kerbau, Landak Raya dan Nibung, Monyet, Serindit serta Baji.

Pengerusi Sentoria, Datuk Aznam Mansor, berkata pembangunan taman berkonsepkan geopelancongan itu dilakukan secara lestari yang menggabungkan aspek pelancongan dan pendidikan.

"Kami membina laluan pejalan kaki sejauh 800 meter ke dalam hutan bakau dengan pengawasan rapi Jabatan Perhutanan dan gangguan minimum kepada kelestarian alam.

"Malah, kedudukan taman di kawasan Kilim Geoforest Park turut membolehkan pelancong menaiki bot bagi menikmati alam semula jadi secara lebih dekat," katanya.

Pengarah Jabatan Veterina dan Zoologi LNP, Dr Adznan Abdul Karim, berkata kewujudan taman itu turut menyumbang kepada proses pemuliharaan dan konservasi haiwan liar.

"Ada haiwan liar seperti Singa Putih, Harimau Belang dan Cimpanzi yang dipelihara di sini adalah dipinjamkan daripada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Ini baik untuk proses pemuliharaan haiwan itu kerana kami memiliki kepakaran dan kemudahan lengkap untuk menjaga kebajikan haiwan terbabit," katanya.


KUDA Belang antara haiwan luar negara yang dipelihara di Langkawi Nature Park di Kampung Belanga Pechah, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman

Beliau berkata, LNP turut mengutamakan aspek pendidikan dan bersedia bekerjasama dengan universiti untuk membuat kajian atau penempatan pelajar menjalani latihan.

"Kami sedang membangunkan ruang pertunjukan hidupan liar secara semula jadi iaitu pertunjukan haiwan tanpa sentuhan oleh petugas.

"Menjelang awal tahun depan, projek ini dijangka siap sepenuhnya dan diyakini bakal menjadi tarikan baharu pengunjung ke taman ini," katanya.

Beliau berkata, Pertunjukan Api Langbara pada setiap malam di hadapan Rumah Kedah turut menjadi sebutan pengunjung yang berkesempatan membawa keluarga ke taman itu.

Katanya, malah pengalaman naik unta yang diawasi oleh petugas, pasti menjadi kenangan manis, khususnya kepada pengunjung kanak-kanak.

Taman yang dikendalikan 50 kakitangan itu dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 9 malam.

Info:

Langkawi Nature Park

* Terletak di Kampung Belanga Pecah, Jalan Ayer Hangat, Kuah

* Dibuka setiap hari

* Operasi jam 10 pagi hingga 9 malam

* Menyediakan lawatan ke paya bakau

* Meninjau lebih 80 spesies haiwan

21 dibaca
Berita Harian X