Ahad, 4 March 2018 | 9:57pm
XIU Keng mengusahakan Kedai Gunting Seng Huat sejak 60 tahun lalu. - Foto Khairunisah Lokman
XIU Keng (kanan) mencukur janggut pelanggan menggunakan pisau lipat. - Foto Khairunisah Lokman
ANTARA koleksi gambar kenangan milik Xiu Keng. - Foto Khairunisah Lokman
XIU Keng tidak pernah berhasrat untuk bersara walaupun mengakui pendapatannya sebagai tukang gunting tidak menentu disebabkan generasi muda lebih gemar ke salun. - Foto Khairunisah Lokman
ANTARA peralatan yang digunakan oleh Xiu Keng untuk menggunting rambut pelanggan. - Foto Khairunisah Lokman

Kedai gunting 'old school' imbau nostalgia

MELAKA: Di sebalik bandar tumpuan pelancong, siapa sangka masih wujud kedai gunting rambut yang masih mengekalkan identiti cara lama atau 'old school' di Jonker Walk, di sini.

Diusahakan sejak 60 tahun lalu oleh Soo Xiu Keng, 82, Kedai Gunting Seng Huat tetap serasi dengan cara lama iaitu gunting dan cukur, walaupun industri itu kini berkembang dengan melalui pelbagai pembaharuan.

Walaupun persaingan sengit, kedai gunting rambut ini masih menjadi pilihan pelanggan setia termasuk pelancong luar yang rata-ratanya mengakui serasi dengan 'sentuhan' lama wanita warga emas itu.

Xiu Keng anak jati Melaka sudah menjadi tukang gunting sejak berusia lingkungan 20-an dan menjadikan kerjaya itu sebagai sumber pendapatan tetapnya sehingga kini.

"Ini sahajalah punca rezeki saya, memang dari dahulu saya minat gunting rambut orang...dari situ saya kumpul modal sedikit demi sedikit dan belajar daripada seorang guru sebelum buat bisnes kecil-kecilan.

"Dengan bayaran RM10 hingga RM15 bagi gunting rambut biasa, khidmat saya masih menjadi pilihan pelanggan walaupun ada kedai lain yang mempunyai kelengkapan serba moden," katanya ketika ditemui, di sini.

SOO Xiu Keng di hadapan kedai Seng Huat di Jalan Tukang Besi, Jonker Walk. - Foto Khairunisah Lokman

Warga emas itu mengakui walaupun kedainya tidak mempunyai kelengkapan moden dan hanya dilengkapi barangan asas kedai gunting sahaja, dia masih mampu memenuhi keperluan dan yakin dapat memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan.

"Saya hanya tawar khidmat guntingan biasa kepada pelanggan. Tiada kelengkapan moden seperti alat kerinting atau pengering rambut. Yang ada hanyalah gunting, pencukur, bedak dan sebuah cermin.

"Istimewanya saya akan gunting rambut pelanggan berserta cukur sekali yang memakan masa hampir sejam untuk seorang.

"Orang muda sekarang tak buat macam ni lagi..di kedai saya, selepas gunting rambut, pelanggan akan dibaringkan di atas kerusi dan saya akan mencukur bulu pada muka dan misai. Walaupun sudah tua kudrat masih ada dan syukur pelanggan masih setia," katanya.

Tarikan kerusi antik

Kedai milik Xiu Keng dianggap unik apabila menggunakan sebuah kerusi antik berusia lebih 100 tahun lalu yang dibeli dari Singapura dan ia masih berfungsi dengan baik sehingga kini.

"Dahulu ia murah dan kelebihannya mempunyai tempat duduk laras serta sangat selesa. Saya sebenarnya ada dua biji kerusi ini, tetapi beberapa tahun lalu sebuah daripadanya sudah dibeli seorang lelaki Melayu dengan harga lebih RM10,000.

"Sekarang saya hanya ada satu ini sahaja, kalau jual juga macam mana nak berniaga. Sekarang mana ada lagi bentuk yang sebegini," katanya.

KEDAI milik Xiu Keng dianggap unik apabila menggunakan sebuah kerusi antik berusia lebih 100 tahun lalu yang dibeli dari Singapura dan masih berfungsi dengan baik sehingga kini. - Foto Khairunisah Lokman

Xiu Keng yang masih bujang tidak pernah berhasrat untuk bersara dalam bidang digemarinya itu walaupun mengakui pendapatannya sebagai tukang gunting tidak menentu disebabkan generasi muda lebih gemar ke salun.

"Perniagaan dulu sangat baik dan kawasan ini menjadi perniagaan tempatan, tetapi sekarang ada banyak kekangan apabila generasi sekarang lebih suka tempat yang lebih bergaya.

"Saya hanya mengharapkan pelanggan lama dan setia, selain daripada pelancong yang datang ke negeri ini. Merekalah yang membantu mempromosikan kedai saya di internet, mengambil gambar di kerusi antik dan sebagainya," katanya.

Rakan karib peneman setia

Selain kedai gunting, Xiu Keng turut ditemani sahabat karibnya, Kan Yuan Lin, 81, yang menjalankan perniagaan menjahit pakaian secara kecil-kecilan di kedai sama.

"Dialah tempat saya meluahkan rasa dan teman di kala sunyi. Saya sudah anggap dia macam keluarga sendiri kerana susah senang bersama. Selagi ada upaya, saya tidak akan berhenti menjadi tukang gunting dan bersahabat dengannya (Yuan Lin)," katanya.

Sementara itu, pelanggan Xiu Keng yang sempat ditemubual yang hanya ingin dikenali Ah Weng, 69, berkata dia antara pelanggan tetap dan mendapatkan khidmat warga emas itu tiga minggu sekali sejak 19 tahun lalu.

XIU Keng sudah menjadi tukang gunting sejak berusia lingkungan 20-an dan menjadikan kerjaya itu sebagai sumber pendapatan tetapnya sehingga kini. - Foto Khairunisah Lokman

"Saya dah biasa dengan dia (Xiu Keng) dan tak suka amoi (perempuan) yang potong rambut. Dia (Xiu Keng) buat pelanggan rasa selesa dari A sampai Z (mula sampai habis)...mana ada lagi kedai buat macam ni yang gunting rambut, cukur misai dan muka sekali.

"Saya sebagai pelanggan kagum dengan semangatnya, sejak dulu memang datang cari Xiu Keng. Cuma kasihan dengannya kerana kebanyakan pelanggan yang datang hanyalah pelanggan tetap dan pelancong. Anak muda mana mahu masuk kedai papan macam ini," katanya.

Info:
Kedai Gunting Seng Huat

  • Lokasi di Jalan Tukang Besi, Jonker Walk
  • Beroperasi setiap Ahad, 9 pagi-6 petang
  • Bayaran RM10-RM15 gunting rambut, cukur misai dan bulu muka
Berita Harian X