Selasa, 21 November 2017 | 10:32pm
SYAMSUL Idris Saleh (kanan) bersama rakan menunjukkan pokok herba yang terdapat di Laman Herba Taman Botani Negara Shah Alam.- Foto Mohd Asri Saifudin

Konservasi herba untuk generasi masa depan

SHAH ALAM: Hanyir Ikan, Jarum Tujuh Bilah, Subang Nenek, Bunga Bawang Putih, Kesing Pijat dan Yesterday, Today, Tomorrow kini boleh didapati di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), di sini.

Pokok herba dengan nama yang unik berdasarkan ciri-ciri dan bentuknya itu ditanam di Laman Konservasi Herba dan Tanaman Ubatan TBNSA bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung mengenai kelebihan pelbagai herba yang boleh digunakan sebagai alternatif untuk rawatan moden.

Penolong Pegawai Pertanian TBNSA, Syamsul Idris Saleh yang bertanggungjawab menjaga dan menyelia taman itu, berkata herba yang ditanam di situ boleh digunakan bagi merawat pelbagai kanser, cirit-birit, tenaga untuk lelaki dan wanita, leukimia, luka dan sakit kepala.


ANTARA pokok herba Hanyir Ikan yang terdapat di Laman Herba Taman Botani Negara Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Beliau berkata, tumbuhan Hanyir Ikan misalnya, dikatakan berkhasiat untuk merawat penyakit leukemia, obesiti, pneumonia dan memiliki ciri-ciri antibakteria.

Katanya, daun pokok itu yang berbentuk seperti hati dengan ukuran antara empat sentimeter (cm) hingga sembilan cm panjang dan antara tiga cm hingga lapan cm lebar akan menghasilkan bau hanyir ikan mentah yang memualkan apabila dihancurkan.

"Bagaimanapun, herba bukan seperti ubat yang dibekalkan oleh hospital yang boleh mendapatkan hasil segera. Herba sebaliknya perlu diamalkan setiap hari, bukan sekali makan terus baik. Kaedah menggunakan herba juga perlu betul agar tidak memudaratkan.


SYAMSUL Idris Saleh (kiri) bersama rakan menunjukkan pokok herba yang terdapat di Laman Herba Taman Botani Negara Shah Alam.

"Individu yang ingin mengamalkan penggunaan herba perlu menjaga pemakanan dan bersenam selain mengamalkan gaya hidup sihat," katanya kepada BH Plus.

Syamsul berkata, menerusi projek eksplorasi, kumpulan khas diwujudkan untuk meredah hutan bagi mencari dan mengumpul herba untuk ditanam di laman berkenaan.

Katanya, projek itu sangat penting kerana ada tanaman herba yang hampir pupus dan jika tidak ditanam semula, pihaknya bimbang generasi akan datang tidak berkesempatan mengenalinya.

"Buat masa ini, koleksi herba diperoleh di sekitar dalam negara iaitu hutan di Semenanjung Malaysia," katanya.


"Jarum Tujuh Bilah" yang terdapat di Laman Herba Taman Botani Negara Shah Alam.

Pengunjung ke bahagian Koleksi Herba boleh melihat sendiri pelbagai tanaman herba yang boleh dimakan atau dijadikan ubat-ubatan seperti Sambung Nyawa, Ulam Raja, Pokok Kadok, Kacip Fatimah, Bunga Bawang Putih, Ekor Naga, Kucing Galak, Belalai Gajah, Tenggek Burung, Selasih Hitam, Putarwali, Haba Neraka, Gandarusa Hitam dan Hempedu Bumi.

Taman Rempah Ratus pula dipenuhi dengan tanaman seperti kopi, lada hitam, kayu manis, teh, limau nipis, limau kasturi, gelugur dan mengkudu manakala di Laman Zingiberales, pengunjung dapat melihat 11 tanaman berubi seperti halia, kunyit, lengkuas serta kesing pijat.

Syamsul Idris berkata, pihaknya akan mengambil lebih daripada satu sampel bagi setiap tumbuhan herba yang ditemui bagi membolehkan tumbuhan itu ditanam di laman ini selain untuk tujuan konservasi dan herbarium di pusat data TBNSA.

"Kami akan meletakkan koordinat Sistem Pengesanan Global (GPS) di setiap lokasi pengambilan sampel tumbuhan, bagi memudahkan ia dikesan pada masa akan datang," katanya.


ANTARA pokok rempah ratus yang terdapat di Taman Rempah Ratus, Taman Botani Negara Shah Alam.

Di pusat data TBNSA, terdapat banyak tumbuhan yang dikumpulkan sebagai herbarium iaitu pelbagai jenis tumbuhan herba yang diawet atas lembaran kertas dan dipasang bingkai.

Syamsul Idris berkata, selain projek eksplorasi, TBNSA amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang ingin menyumbang tumbuhan herba yang hampir pupus dan bernilai tinggi seperti kunyit hitam, pokok dua daun, kecubung, pokok sarang semut dan pokok serai kayu.

Penyelidikan dan pendidikan

TBNSA membangunkan laman herba dengan kepelbagaian spesies tumbuhan sebagai usaha memberi pengetahuan mengenai herba yang mungkin sebahagian besar tidak begitu dikenali umum.

"Kami tidak menanam semua herba ini secara komersial, sebaliknya membuat persampelan kerana ada sesetengah tanaman herba hampir pupus seperti jelai dan ketum.


TAMAN Rempah Ratus turut terdapat di Taman Botani Negara Shah Alam.

"Tumbuhan herba di sini bukan untuk dibeli atau dibawa pulang tetapi hanya untuk tatapan pengunjung iaitu datang untuk lihat dan kenal sahaja," katanya.

Beliau berkata, pengunjung berpeluang mengenali herba yang ditanam kerana setiap pokok herba diletakkan papan tanda yang memaparkan penerangan nama saintifik, nama panggilan, serta khasiat tumbuhan berkenaan.

INFO

Antara tumbuhan herba yang ditanam di TBNSA:

Hanyir Ikan (Houttuynia Cordata)

  • Dikatakan berkhasiat untuk merawat penyakit leukemia, obesiti, pneumonia dan ada ciri-ciri antibakteria.
  • Jarum Tujuh Bilah (Pereskia Sacharosa)

    • Di setiap ruas batang batang pokoknya terdapat tujuh batang duri yang tajam seperti jarum tetapi tidak semua ruas mempunyai tujuh batang duri.
    • Dikatakan baik untuk mencegah barah, darah tinggi dan kencing manis, selain daunnya boleh dimakan sebagai ulam.

    Subang Nenek (Sthenodesme Temtanara)

    • Bunga kecil, berwarna kuning kejinggaan, tersusun dalam jambak bunga yang berbentuk bulat membusut di tengahnya seakan-akan subang wanita.
    • Digunakan secara tradisional untuk merawat bengkak gusi dan sakit gigi.

    Bunga Bawang Putih (Mansoa Alliacea)

    • Daun pokok ini mempunyai bau bawang putih yang digunakan dalam masakan.

    Kesing Pijat (Phaeomeria Speciosa)

    • Bau tumbuhan ini seakan-akan pepijat namun rasa manis apabila dikunyah. Ia dikatakan untuk rawatan bagi wanita selepas bersalin.

    Yesterday, Today, Tomorrow (Brunfelsia Pauciflora)

    • Bunga YTT ini berubah warna iaitu masa mula kembang berwarna ungu, keesokan hari berubah menjadi ungu muda dan hari berikutnya menjadi putih.

    Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA):

    • Merekodkan semua maklumat lengkap berkaitan tumbuhan herba secara lebih sistematik bagi tujuan penyelidikan, konservasi dan pendidikan.
    • Dibuka pada 2011 di atas tapak berkeluasan 2.02 hektar.
    • Bermula dengan 100 tanaman, kini ia menempatkan lebih 500 tumbuhan herba.
    • Dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Koleksi Herba, Taman Rempah Ratus dan Laman Zingiberales.
    • Menerima spesimen menerusi projek eksplorasi selain sumbangan orang ramai.
    • Terdapat dua jenis eksplorasi iaitu eksplorasi di dalam kawasan TBNSA dan eksplorasi di hutan luar TBNSA seluruh Semenanjung Malaysia.
    • Dua renjer ditugaskan menjaga laman, setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
    • Projek eksplorasi dianggotai sekumpulan 17 pegawai dan kakitangan TBNSA dari pelbagai seksyen diketuai Seksyen Agrobotani.
Berita Harian X