Selasa, 25 Jun 2019 | 6:19pm
MADIHA meraikan Syawal bersama teman di Malaysia di salah sebuah rumah kawannya di Illinois.
MERAIKAN Syawal bersama teman Malaysia di Illinois sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu pada keluarga.

Kemeriahan sambut Syawal di Illinois dirasai

PENGALAMAN beraya di perantauan memberikan pengalaman berbeza kerana dapat melihat dan merasai bagaimana negara tertentu meraikan Syawal.

Bagi suri rumah, Madiha Bakri, 36, yang menetap di Naperville, Illinois, Amerika Syarikat bersama suaminya, jurutera, Mohd Nazri Mohd Hatta, 37, sejak dua tahun lalu, kemeriahan sambutan sudah sama tidak sama dengan di Malaysia.

Ibu kepada dua cahaya mata, Dyana, 8, dan Nuh, 3, berkata, perasaan sayu teringatkan kedua-dua ibu bapa dan keluarga serta kemeriahan menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Pontian, Johor, terus segar dalam minda.


MADIHA bergambar bersama suami, Mohd Nazri dan anak mereka, Dyana dan Nuh.

Namun, meraikan Syawal bersama teman Malaysia di sana sedikit sebanyak dapat mengubat rasa rindu pada keluarga.

“Memang rasa sedih apabila tidak dapat rasa pulang ke kampung apatah lagi bersalam-salaman dengan ibu ayah, keluarga serta sanak saudara. Tetapi dengan dengan adanya teknologi memudahkan capaian bagi menghubungi insan tersayang bagi menghilangkan rasa sedih.

“Pada malam raya saya dan suami sempat membuat panggilan video untuk melihat suasana persiapan raya keluarga di kampung. Dapat juga rasa keseronokan meskipun kami berada di perantauan,” katanya.

Buat panggilan video

Beliau berkata, jika di Malaysia pengumuman hari raya disiarkan di televisyen selepas melihat anak bulan, di Amerika Syarikat pula, sambutan Aidilfitri dimaklumkan oleh Pusat Islam Naperville menerusi e-emel sehari sebelum 1 Syawal.

Sebaik dimaklumkan, selepas subuh, saya terus menyiapkan juadah raya untuk tetamu yang berkunjung ke rumah pada pagi lebaran. Sebelum itu, terlebih dulu, saya dan teman di sini berpakat memasak juadah untuk dinikmati bersama.

Beliau bersyukur kerana dalam keadaan sarat mengandung diberi kekuatan untuk memasak dan menyediakan beberapa hidangan antaranya nasi minyak, daging masak hitam, kuah kacang dan sayur lodeh untuk menjamu tetamu dengan kuih raya.


MADIHA meraikan Syawal bersama teman di Malaysia di salah sebuah rumah kawannya di Illinois.

“Walaupun hari raya kami disambut secara sederhana saja di rumah tetapi masih meriah dengan kehadiran tetamu yang datang bersama anak-anak masing-masing.

“Tetamu lain turut membawa hidangan mereka seperti ayam masak merah, sambal goreng, rendang daging dan ketupat. Kami juga hanya sempat berkunjung ke rumah seorang teman yang lain pada raya pertama.

“Sebelum itu, suami dan umat Islam lain sempat bersolat sunat Aidilfitri di masjid berdekatan di Pusat Islam Naperville yang diadakan dua sesi iaitu jam 7.30 pagi dan 9 pagi,” katanya.

Suami mohon cuti raya

Memandangkan AS tiada peruntukan cuti umum sempena hari raya, suaminya yang bekerja dalam bidang minyak dan gas memohon cuti tahunannya sehari dan bekerja semula pada hari raya kedua.

Begitu juga dengan anak-anak kembali ke sekolah pada keesokan harinya.

“Alhamdulillah. Ketika ini musim panas dan cuaca sangat baik sepanjang kami beraya iaitu sekitar 27 darjah celsius saja,” katanya.


MADIHA meraikan Syawal bersama suami, Mohd Nazri di Illinois.

INFO:

Mengenai Illinois

* Terletak kira-kira 199 kilometer (km) dari bandar Chicago.

* Islam adalah agama ketiga terbesar di Amerika Syarikat

* Kajian yang dilakukan Institute for Social Policy pada 2017 menganggarkan 3.45 juta umat Islam tinggal di AS, iaitu kira-kira 1.1 peratus daripada jumlah penduduk AS

* warga Islam di AS mengikut perbezaan

- 25 peratus - berkulit hitam

- 24 peratus - berkulit putih

- 18 peratus Asia

- 18 peratus Arab,

- 7 peratus campuran kaum

- 5 peratus Hispanik


MADIHA meraikan Syawal bersama teman di Malaysia di salah sebuah rumah kawannya di Illinois.

Berita Harian X