Rabu, 12 Jun 2019 | 1:36pm
Rudy menunjukkan baju kemeja-t terpakai memaparkan gambar karektor kartun ‘sumo’ yang bernilai RM10,000. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Koleksi 'bundle' jana pendapatan lumayan

SANDAKAN: RM10,000! Itu harga yang harus dibayar untuk mendapatkan sehelai baju kemeja-t terpakai memaparkan gambar karektor kartun ‘sumo’ ini.

Ia mungkin tidak masuk akal, lebih-lebih lagi melihatkan kondisi kainnya yang menipis, namun cukup bernilai kepada pengumpul koleksi kemeja-t unik dan pelik.

Difahamkan, kemeja-t berkenaan antara pakaian yang sukar ditemui, seiring dengan usianya mencecah puluhan tahun.

Ia antara pakaian ‘rare’ dan ‘vintage’ dijual di Auss Bundle, di Taman Megah Jaya, di sini milik pengumpul koleksi barangan terpakai, Rudy Alham Zulkifli, 39.

Malah, pelbagai barangan dijual di kedai itu, termasuk beg, kasut, seluar dan pakaian dari kategori `barangan koleksi’ yang menampilkan jenama terkenal Jepun seperti Comme Des Garcon’s, Bounty Hunter dan Mastermind.


Rudy menunjukkan pelbagai beg berjenama yang diperoleh dari luar negara. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Lebih menarik peminat ‘bundle’, Auss Bundle yang mengambil sempena nama anak lelaki Rudy, turut menyimpan pakaian kumpulan rock seperti Iron Maiden yang kini sukar diperolehi selain beberapa koleksi pakaian kumpulan muzik lagi yang harganya mencecah ribuan ringgit.

Bermula dengan cuma sebagai hobi mengumpul koleksi barangan terpakai, Rudy yang juga bekas penjawat awam, berkata, dia mula berjinak-jinak menjual barangan ‘bundle’ menerusi Facebook dan blog pada 2009.

Katanya, ‘kegilaan’ untuk menjual barangan ‘bundle’ semakin menjadi-jadi apabila menyedari ia mampu menjana pendapatan, sekali gus mendorongnya untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian terhadap perniagaan hingga membuka perniagaan itu pada 2016.

“Saya mula sedar ‘bundle’ boleh menjana pendapatan apabila mula berniaga secara dalam talian. Asalkan kita ada pengetahuan mengenai ‘bundle’, sudah tentu kita boleh jual barangan.

“Bayangkan saya pernah ada pelanggan daripada Jepun yang membeli baju-T kumpulan Iron Maiden pada harga RM6,000. Mereka sanggup beli kerana tahu ia pakaian yang sukar ditemui,” katanya ketika ditemui BH, di sini baru-baru ini.

Rudy menjelaskan koleksi dijual di kedainya kebanyakan diperolehi ketika melancong di luar negara seperti Thailand, Korea dan Jepun, selain turut mencari sendiri di kedai bundle lain dan pasar tamu di sekitar Kota Kinabalu, Ranau, Telupid dan Tawau.


Koleksi kepala tali pinggang berharga antara RM250 hingga RM450. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Rudy menunjukkan koleksi topi yang bernilai ratusan ringgit turut dijual di kedainya. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Katanya, beliau menetapkan harga mengikut harga pasaran, selain turut membuat carian dalam internet seperti e-Bay dan buku.

“Dulu orang anggap ‘bundle’ sebagai pakaian buruk dan murah, tetapi sekarang persepsi itu sudah berubah. Barangan ‘bundle’ boleh dikatakan mempunyai 1,001 misteri kerana bukan saja boleh dijual pada harga tinggi, tetapi ‘harta’ pun boleh ditemui.

“Saya sendiri pernah menemui jam tangan emas dan mata wang Jepun bernilai RM2,800,” katanya

Ditanya mengenai kepuasan menjadi pengumpul barangan ‘bundle’, Rudy berkata, ‘bundle’ kini dipandang seperti emas yang mempunyai nilai tinggi dengan konsep semakin lama barangan, harganya semakin mahal kerana menjadi ‘rare’ dan ‘vintage’.

Katanya, ada antara barangan yang dikumpul termasuk baju-T hanya disimpan kerana sedar pakaian terbabit bakal mempunyai nilai lebih tinggi pada masa akan datang.

“Sebab itu, apabila ada festival diadakan termasuk di Semenanjung, kami sanggup datang untuk ‘menyelam’ kerana mahu mendapatkan barangan yang ‘rare’, berkualiti dan boleh dijual,” katanya.

Berita Harian X