Jumaat, 31 Mei 2019 | 3:50pm
NOORMAH Mohd Noor meninjau gerai jualan Bazar Tarakucha Raya 19 di KL Sentral.

KL Sentral tumpuan beli belah kelengkapan raya

KUALA LUMPUR: Hub pengangkutan terbesar ibu kota, Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) tidak ketinggalan memeriahkan Aidilfitri dengan deretan bazar bagi memudahkan pengguna membuat persiapan menjelang hari raya.

Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) lokasi sinonim tumpuan warga kota untuk perjalanan seterusnya ke lapangan terbang, jajaran komuter serta tren atau sekadar mengunjungi pusat beli-belah berhampiran.

KL Sentral menggamit kunjungan ramai dengan kemeriahan bazar bertemakan Bazar Tarakucha Raya 19, dibawakan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor, berkata sebanyak 40 gerai jualan mengambil bahagian dengan menampilkan koleksi selebriti seperti Neelofa, Syafiq Kyle, Nabil Ahmad, Hanez Suraya dan Ozlynn.

Beliau berkata, penganjuran pertama di KL Sentral membawa busana serta cetusan fesyen, kelengkapan raya, tudung dan selendang terkini sebagai pelengkap persiapan Aidilfitri.

“Lokasi strategik untuk kakitangan pejabat sekitar membeli-belah kelengkapan dari hujung rambut ke hujung kaki untuk produk kosmetik, kasut dan pakaian sukan dan biskut serta kudapan raya. Kami memilih seni hiasan klasik Tarakucha Raya 19, terjemahan kepada nostalgia silam setiap kali menjelang Syawal,” katanya yang memaklumkan bazar berlangsung hingga 2 Jun ini.

25,000 penumpang sehari

Katanya, bazar terletak di Ruang Ketibaan KL Ekspres, deretan lot gerai Tarakucha Raya jelas dilihat kira-kira 25,000 pengguna tren aliran transit ringan (LRT) setiap hari.

“Penganjur optimis bazar ini mendapat sambutan menggalakkan kerana setiap hari seramai 160,000 orang keluar masuk ke hub pengangkutan darat terbesar di negara ini, selain tarikan selebriti, usahawan muda yang membawakan fesyen terkini.


NOORMAH Mohd Noor meninjau gerai jualan Bazar Tarakucha Raya 19 di KL Sentral.

“Kita berbangga dengan kesungguhan selebriti muda, rajin dan terkenal seperti Neelofa, Shafiq Kyle dan Nabil Ahmad yang menjadi contoh kepada usahawan lain memajukan perniagaan,” katanya yang turut menggalakkan orang ramai berbelanja menggunakan e-dompet untuk mendapatkan diskaun hebat.

ERL selaku operator perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit turut meletakkan kepercayaan kepada Tarakucha Events, kolaborasi antara The Space Rocker dan RSVP KL. kedua-dua rakan kongsi rasmi KLIA Ekspres, mengetengahkan jenama Muslimah dan koleksi tudung.

Sempena penganjuran bazar, ERL turut menyediakan pentas khas untuk selebriti bertemu peminat, dengan ruang gerai berhawa dingin, limpahan cahaya menyaksikan dekorasi era tahun 60-an dan 70-an.

Hiasan itu mewujudkan suasana kegemilangan layar hitam dan putih umpama Malaya Klasik, intipati Tarakucha Raya.

Tarakucha Raya dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan potongan harga berpatutan selain jualan istimewa sehingga 50 peratus oleh Al Ikhsan.

65 dibaca
Berita Harian X