Selasa, 7 Mei 2019 | 1:16pm
Mohd Hafiz Noordin, 50, memiliki tanah seluas 0.6 hektar yang dimajukan sebagai Ladang Ayam Sebang Agrofarm, Pulau Sebang, Alor Gajah. - Foto Hassan Omar

Ayam kampung MARDI jana pulangan

MELAKA: Ayam kampung yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) lebih pejal berbanding ayam kampung kacuk atau ayam kampung biasa.

Malah, kadar tumbesarannya boleh mencecah berat 1.5 kilogram (kg) dalam tempoh 12 minggu.

Pengarah MARDI Melaka, Saniah Kormin, berkata itu antara kejayaan agensi itu dalam menghasilkan pembiakan anak ayam kampung asli melalui ayam jantan dan induk betina terpilih.

Katanya, ayam berkenaan diternak dalam reban intensif terbuka dengan nisbah 1:10 jantan kepada betina.

“Kadar pengeraman telur ialah 120 biji setahun berbanding 80 biji bagi ayam kampung biasa atau kacuk, sekali gus memberikan pulangan memuaskan kepada penternak,” katanya ketika ditemui di Ladang Ayam Sebang Agrofarm di Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah.

Ladang milik Mohd Hafiz Noordin, 50, dan rakan kongsinya, Azri Khairi Juaher, 27, itu adalah satu daripada tiga syarikat usahawan tani di negeri itu yang terpilih sebagai pengeluar utama ayam kampung asli MARDI atau ‘Grand Parents Stock’ untuk dibekalkan kepada penternak ayam kampung di dalam dan luar negeri.


Ayam kampung asli MARDI yang diternak Azri Khairi Juaher, 27, dan Mohd Hafiz Noordin, 50, dipasarkan pada harga antara RM2.20 hingga RM3.50 seekor di Ladang Ayam Sebang Agrofarm, Pulau Sebang, Alor Gajah. - Foto Hassan Omar

Azri Khairi berkata, berbekalkan modal RM100,000 beliau dan rakan kongsinya memajukan tanah seluas 0.6 hektar milik Mohd Hafiz untuk membina enam reban yang setiap satu berkeluasan 6 x 7.6 meter persegi.

“Struktur bawah binaan reban ialah blok batu setinggi 0.3 meter dipagari dawai setinggi tiga meter manakala lantainya simen ditutupi dengan habuk kayu,” katanya.

Katanya, pada awal operasi, mereka hanya membeli 1,000 anak ayam kampung asli pada harga RM2.10 seekor daripada pengeluar di Pulau Pinang dan selepas dipelihara selama 12 minggu, haiwan itu dipasarkan pada harga RM14 sekilogram.

Hasil kesungguhan memajukan industri itu, syarikat mereka dipilih menerima geran `Inkind Contribution’ MARDI bernilai RM30,000 pada Disember 2015 dan menggunakan modal membeli kelengkapan seperti inkubator (mesin eraman telur), kotak ayam bertelur dan makanan ayam.

Mereka diberikan kepercayaan MARDI Melaka untuk menjadi satu daripada ‘Grand Parents Stock’ pada 2016 yang dijanjikan untuk menerima pelbagai kemudahan, terutama 1,200 anak ayam kampung dari MARDI Bandar Muadzam Shah.


Peniaga , Mohd Shaharudin Shafie, 26, (kanan) dibantu oleh rakan - rakannya membakar ayam yang diberi nama Ayam Payang Dalam Kenangan yang dijual dengan harga RM 24 seekor di bazar Ramadan Pantai Batu Buruk sempena memperingati rakan kongsi nya yang meninggal dunia pada dua tahun lalu. ROZAINAH ZAKARIA

Sementara menunggu bekalan anak ayam itu, Azri Khairi dan Mohd Hafiz mendapatkan telur ayam kampung asli MARDI daripada peserta Grand Parents Stock MARDI di Kemaman, Terengganu pada harga 75 sen sebiji dengan kadar pembelian 3,000 biji setiap tiga minggu.

Kini mereka mampu berbangga dengan kejayaan memasarkan ayam kampung MARDI yang mendapat permintaan tinggi daripada penternak ayam kampung dan peniaga restoran yang menyediakan menu ayam kampung dari seluruh negeri dan Lembah Klang.

Maklumat lanjut, layari Facebook Sebang Agrofarm atau hubungi Azri Khairi di talian 011-31996618.

Berita Harian X