Jumaat, 3 Mei 2019 | 11:35am
Saanah menyusun benang menggunakan sifir khas di Pusat Tenunan Songket Rajang, Mukah, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Songket Sarawak, Pua Karap seni unik bumi Kenyalang

MUKAH: Rahsia keunikan kain tenun songket Sarawak tersembunyi di sebalik formula berasaskan sifir khas yang hanya difahami lapan tukang tenun di Kampung Kuala Rajang, Belawai, Sarawak.

Formula yang mengandungi 19 sifir itu dicipta sendiri oleh Tukang Ulung Tenunan Songket Sarawak, Sanaah Suhaili, 63, bersama Adiguru Tenunan Songket Sarawak, Dayang Norsalam Pengiran Perseh.

Sanaah yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang tenunan songket Melanau, berkata penggunaan formula itu berjaya menghasilkan motif atau corak lebih kreatif serta inovatif.

“Sifir ini umpama formula yang dicipta bagi menghasilkan tenunan lebih halus dan teliti, sukar ditafsir oleh mana mana tukang tenun lain termasuk mereka yang ‘sekolah tinggi’.

“Tenun songket Sarawak juga berbeza dengan hasil tenunan dari tempat lain kerana menggunakan teknik ‘sembunyi benang’ yang menjadikan jahitan di bahagian luar dan dalam tiada bezanya kerana sama kemas, membolehkan kedua-dua bahagian dipakai,” katanya.

Sanaah yang juga Pengerusi bengkel Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pusat Tenun Songket Sarawak, Kampung Kuala Rajang ditemui BH, baru-baru ini.

Dapat perhatian kerabat diraja, pemimpin negara

Beliau berkata, seni tenunan tradisional bagi masyarakat Melanau itu, menggunakan benang kapas dan benang emas dengan corak bunga penuh, bunga tabur serta pucuk rebung.

Keunikannya berjaya menarik perhatian golongan atasan, kerabat diraja dan pemimpin terkemuka negara. Kain tenunan ini bukan saja menarik dijadikan samping tetapi juga kain sarung untuk wanita dan selendang.

Nafas baharu dalam penghasilan tenunan songket dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), di bawah agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi penggunaan warna kontemporari berinspirasikan rona bertemakan Malaysia.

Penggunaan warna sejuk dan hangat ini disusun pada benang loseng disulami motif tenunan songket seperti tampuk manggis, pucuk rebung dan buah pedada.

Dijual RM10,000 sehelai

Kain tenun songket bergantung harganya kepada kesukaran menghasilkan sehelai tenunan bermula serendah RM900.

“Harga paling tinggi pernah berjaya dijual adalah RM10,000 sehelai kerana cara menghasilkan kain berkenaan agak merumitkan,” katanya.

Pembeli boleh menempah corak sedia ada dan memilih warna diinginkan atau meminta corak baharu yang dihasilkan khas untuk mereka sahaja.

Kebiasaannya Sanaah mampu menyiapkan sehelai kain samping atau sarung selewat-lewatnya dalam dua bulan. Ketika ditemui BH, Sanaah dan rakan tukang tenun lain sedang menyiapkan tiga helai kain tenun untuk dipamerkan sempena Festival Kraf Tekstil Borneo 2019, anjuran Kraftangan Malaysia.

Bertemakan ‘Jalinan Inspirasi Kehidupan Borneo’, festival, pada 12 sehingga 21 April lalu, di pusat membeli belah Suria Sabah, Kota Kinabalu.

Sementara itu di Bintulu seni Pua Karap pula, selalunya dibuat oleh wanita atau gadis Iban memberikan inspirasi kepada warga emas ini untuk mempelajari dan mempopularkan seni pembuatan tekstil dalam kalangan masyarakat.

Kain tenunan Pua Karap biasanya dijadikan pakaian tradisional seperti baju kurung, skirt atau selampai (selendang) dan jaket untuk lelaki.

Bagi pereka fesyen, Edmund Pawi Gayok, 68, usia bukan penghalang untuk terus bergiat cergas dalam pembuatan tenun itu yang minat itu tersemai sejak 29 tahun lalu apabila sering melihat kakak iparnya yang tinggal di rumah panjang bersama wanita lain menenun kain berkenaan.

Beliau yang juga bekas guru Matematik berkata, pakaian tradisional itu boleh dipopularkan meskipun lazimnya digayakan ketika sambutan Hari Gawai pada setiap 1 Jun dalam kalangan wanita dan lelaki Iban.

“Kain ditenun menggunakan benang kapas beraneka warna, benang emas atau perak sebagai motif rekaan. Biasanya rekaan itu berinspirasikan flora dan fauna seperti bunga tabur, burung dan corak simetri atau berdasarkan mimpi si penenun.

“Tenunan menggunakan alat bertali yang disangkut pada bahagian belakang atau disandang di belakang penenun,” katanya.

Proses rumit

Edmund berkata, Pua Karap dihasilkan melalui proses sama dengan Pua Kumbu iaitu melalui proses mengirit (menyusun benang, mengarap, menegi (menyusun semula) dan karap bunga.

Proses diakhiri dengan menenun, tetapi reka corak penuh Pua Karap dibuat ketika menenun dilakukan. Semua proses itu memakan masa satu hari untuk menyusun benang menegi dan mengarap rekaan selama satu jam.

“Teknik tenunan menggunakan kiraan benang diperlukan untuk membentuk motif tertentu di atas kain sepanjang 2.5 meter. Proses ini memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi kerana sekiranya tersilap kiraan serta terpaksa ulang semula,” katanya.

Sempena Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 yang bertemakan Jalinan Inspirasi kehidupan Borneo, pada 12 sehingga 21 April ini, Edmund sudah menyiapkan kira-kira lapan helai pakaian beraneka corak dan warna untuk dipamerkan atau dijual.

Edmund kini menenun secara sepenuh masa sudah menyiapkan samping dengan motif lebih moden dan seakan songket.

Ini adalah hasil aktiviti Pembangunan Produk, Kraftangan Malaysia bagi memberikan penampilan eksklusif kepada tenunan Pua Karap dengan menggunakan benang emas bagi menggantikan benang polister sebagai benang motif.

Penggunaan warna moden berinspirasikan warna tema Malaysia pada benang loseng menjadikan tenunan Pua Karap lebih segar dari aspek penampilannya dan mampu menarik minat pembeli secara umum apabila dihasilkan sebagai kain samping atau sarong.

Edmund yang juga penerima anugerah Tokoh Pengelandik Jari 2018 atas kreativiti dalam seni anyaman rotan bagi mengekalkan budaya dari Raban Pengelandik Jari.

112 dibaca
Berita Harian X