Sabtu, 23 March 2019 | 5:19pm

Natalia kuda berbulu keemasan Akhal-Teke Perlino

SHAH ALAM: Silauan cerah matahari pagi memantulkan kilauan keemasan mutiara pada bulu kuda baka Akhal-Teke Perlino yang baru tiba di Malaysia dan kini ditempatkan di Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC), di sini.

Akhal-Teke adalah spesies kuda yang menjadi lambang kebangsaan Turkmenistan kerana jarang ditemui dengan keunikannya yang memiliki kilauan emas semula jadi pada bulunya sering diidamkan golongan elit dan kerabat diraja.

Ketika ini, dipercayai terdapat lebih 3,500 kuda baka Akhal-Teke di seluruh dunia.

Bagaimanapun, bagi jenis Perlino, hanya ada 50 ekor menjadikannya spesies sangat jarang ditemui dan dinobatkan sebagai spesies kuda paling cantik kerana memiliki aura bulu berwarna putih mutiara keemasan, bermata biru dan berpeluh dengan warna merah jambu.

Pengasas DARC, Terry Teo, berkata kehadiran kuda baka Akhal-Teke Perlino yang diberikan nama Natalia itu menjadikan beliau sebagai pemilik paling bertuah di Asia Tenggara yang dapat memiliki kuda luar biasa itu selepas berdepan pelbagai cabaran membawanya dari Turkmenistan.

Katanya, segala-galanya bermula tiga tahun lalu apabila beliau membeli sepasang kuda Akhal-Teke Perlino pada harga yang sangat tinggi dan terpaksa menunggu beberapa tahun untuk membawanya ke Malaysia.

“Ketika dalam perjalanan saya meminta supaya kuda itu dibiakkan dan sekarang kuda itu berada di Thailand untuk disesuaikan dengan iklim tropika, makanan dan persekitaran di sini sebelum membawanya ke Malaysia secara berperingkat.

“Kini, saya sudah ada enam ekor Akhal-Teke Perlino. Semuanya masih dijaga di Thailand, melainkan Natalia yang berusia 14 bulan ini baru sampai Malaysia.

“Jika kena pada harganya, saya sedia lepaskan sepasang anak kuda Akhal-Teke Perlino ini iaitu yang berumur dua tahun dan setahun lebih,” katanya dalam temu bual dengan BH Online di sini, baru-baru ini.


KUDA baka Akhal-Teke Perlino sangat jarang ditemui dan dinobatkan sebagai spesies kuda paling cantik kerana memiliki aura bulu berwarna putih mutiara keemasan, bermata biru dan berpeluh dengan warna merah jambu.

Walaupun usia Natalia masih dikategorikan sebagai bayi dan tidak boleh ditunggang, peluang melihatnya beraksi meledakkan staminanya ketika sesi latihan menarik perhatian pengunjung di padang kuda DARC yang kagum dengan pantulan kilauan keemasan di bawah cahaya matahari.

Natalia yang memiliki karakter manja dan mesra dengan manusia itu dinamakan sempena hari kelahirannya pada Krismas 2017, mendapat sentuhan pelatih kuda antarabangsa dari Jerman, Anja Vogel, yang cukup berpengalaman menguruskan kuda dalam persekitaran panas Malaysia.

Mengulas lanjut, Terry berkata, beliau sudah lama mengidam untuk memiliki kuda jenis Akhal-Teke Perlino dan sering menyimpan hasrat terbang ke Turkmenistan semata-mata untuk bergambar dengan kuda berkenaan.

Katanya, walaupun ada menerima jemputan ke pameran kuda di Turkmenistan, beliau melepaskan tiga kali peluang ke sana kerana mereka mempamerkan baka Akhal-Teke jenis lain.

“Saya penggemar kuda, sudah tentu saya kenal apa yang saya gemarkan. Saya hanya minat kuda Akhal-Teke jenis Perlino ini, yang lain saya tak minat kerana itu kuda ini luar biasa dan jika ada duit sekali pun susah cari, mana nak dapat.

“Akhirnya saya dapat (beli) ini pun rezeki. Memang kerajaan di sana nak ambil balik kerana spesies ini lambang kebangsaan Turkmenistan, tetapi mana boleh sebab saya sudah bersusah payah dapatkannya dan bawa ke sini,” katanya.

Ketika ditanya apakah keperluan menjaga kuda spesies biasa, beliau berkata, mana-mana individu yang ingin memiliki sendiri kuda perlulah komited untuk berbelanja antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk kemudahan sewa tempat, makan dan penjagaan kuda.

Katanya, peminat kuda di Malaysia boleh mencari kuda spesies biasa dengan mudah kerana sukan berkuda di negara ini sudah matang dan sentiasa memiliki stok kuda terlatih yang pernah berkhidmat dalam sukan polo atau lumba kuda.

“Kalau mahu kuda boleh dapat pada harga serendah RM7,000 dan bagi kuda sukan polo mungkin mahal sikit, sekitar RM15,000, namun bagi baka luar biasa seperti Natalia, boleh mencecah jutaan ringgit.

“Jangan takut kepada kuda kerana kita sentiasa kena ikhlas dan memberikan kasih sayang. Itu petua untuk menjaga dan menunggang kuda. Selebihnya, jika berlatih dua jam sehari mungkin tiga bulan nanti sudah boleh mahir menunggang kuda,” katanya.

Selain pusat riadah berkuda, DARC turut menempatkan pelbagai aktiviti rekreasi keluarga termasuk chalet, kolam renang, kolam memancing, mini zoo haiwan ternakan, kawasan memanah dan gerai menjamu selera.

Ketika ini, DARC menempatkan 80 ekor kuda sebahagian besarnya digunakan untuk latihan menunggang kuda dan rekreasi kepada pengunjung pada yuran tahunan paling mampu milik.


PENGASAS DARC, Terry Teo. - Foto Aziah Azmee

KUDA baka Akhal-Teke Perlino milik Terry Teo.
Berita Harian X