Khamis, 17 Januari 2019 | 8:00am
PEMANAH tradisional, Ahmad Alrafaie Ali. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Alrafaie pecah monopoli pemanah Hungary

• Siapa sangka seorang anak Melayu dari Malaysia mampu memecah monopoli pemanah Hungary yang sekian lama mengungguli kejohanan HDH-IAA World Historical Traditional Archery, yang dikuasai negara itu sejak dua dekad lalu.

• Kejayaan Ahmad Alrafaie Ali, 40, bukan sekadar mengatasi pemanah hebat dari 30 negara dalam kejohanan itu untuk dinobat juara, malah lebih manis menyandang kedudukan enam terbaik dunia yang selama ini hanya dipegang pemanah Hungary.

• Hungary kuasai 20 tahun penganjuran sukan itu

• Atasi lebih 500 pemanah dari 30 negara

• Dianugerah juara dunia pemanah bertauliah oleh Hungary

• Latihan harian membabitkan 200 hingga 500 anak panah

ALRAFAIE satu-satunya wakil Asia yang merebut gelaran juara di peringkat antarabangsa di Hungary. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

ALRAFAIE (tengah) bersama rakan ketika mewakili Malaysia dalam pertandingan HDH-IAA World Historical Traditional Archery di Gyula, Hungary pada Ogos lalu. - Ihsan Facebook Rafaie Gaharu

KUALA LUMPUR: Bermula dengan ajakan rakan, Ahmad Alrafaie Ali, 40, tidak menyangka akhirnya jatuh cinta pada sukan memanah tradisional sehingga melakar kejayaan membanggakan atas nama Malaysia.

Pertama kali menyertai pertandingan memanah tradisional di Kluang, Johor yang membabitkan penyertaan 500 peserta termasuk dari Singapura dan Thailand, minat Alrafaie semakin mendalam terhadap sukan itu.

Melalui penyertaan dalam beberapa kelab memanah serta pertandingan yang dianjurkan, bakat dan kebolehan Alrafaie mula diperhatikan sehinggalah beliau terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan HDH-IAA World Historical Traditional Archery di Gyula, Hungary pada Ogos lalu.

Alrafaie mengakui status selaku satu-satunya wakil Asia yang merebut gelaran juara di peringkat antarabangsa di Hungary adalah suatu yang tidak pernah dijangka.

"Dalam pertandingan ini saya melepasi beberapa saringan untuk sampai ke peringkat suku akhir, di mana saya bersaing dengan pemanah hebat daripada negara lain termasuk Itali, Hungary dan Amerika Syarikat.

“Mungkin rezeki milik saya apabila dinobat juara dalam pertandingan itu. Lebih membanggakan saya satu-satunya rakyat Aasia yang berjaya sampai ke tahap untuk merebut gelaran juara itu, kerana selama ini ia dimonopoli rakyat Hungry,” katanya.

ALRAFAIE menyandang kedudukan enam terbaik dunia yang selama ini hanya dipegang pemanah Hungary. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Kedudukan enam terbaik dunia

Kecemerlangan Alrafaie tidak terhenti di situ apabila dia turut melakar sejarah penganjuran 20 tahun kejohanan terbabit selepas muncul satu-satunya pemanah Asia yang layak dalam kedudukan enam terbaik dunia, mengalahkan pemanah hebat dari 30 negara yang membabitkan lebih 500 peserta.

“Dengan kedudukan enam terbaik itu, saya dianugerahkan juara dunia pemanah bertauliah oleh Hungary.

“Cukup menarik apabila sambutan sangat di luar jangkaan diterima apabila setiap kali saya memanah, penonton dari pelbagai negara memberi sokongan kepada saya di samping turut menjadi tumpuan media luar negara" katanya.

Mengulas cabaran dilalui ketika beraksi di Hungary, Alrafaie memaklumkan tahap kesukarannya benar-benar di luar pemikiran.

"Kalau sukan moden, aktiviti memanah dilakukan di kawasan lapangan mendatar, namun bagi acara tradisional kita perlu memanah daripada atas istana yang ketinggiannya seperti bangunan lima tingkat, malah panahan dibuat ke bawah dan ke depan dengan hanya menggunakan tiga anak panah.

“Selain itu, proses saringan juga membabitkan aspek taktikal, di mana banyak objek bergerak dan panahan dibuat di celahan pokok. Tahap saringan klasik juga mencabar apabila peserta perlu melakukan panahan dari pelbagai jarak, dengan saiz sasaran sangat kecil umpama tapak tangan,” katanya.

SUKAN memanah tradisional yang semakin berkembang di Malaysia, menjanjikan prospek emas tinggi dalam penganjuran temasya besar. - NSTP/ Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pengiktirafan sukan memanah tradisional

Mengenai persediaan, Alrafaie berkata dia meluangkan masa hampir tiga jam setiap hari dan sepenuh masa pada setiap hujung minggu untuk berlatih, dengan kadar 200 hingga 500 panahan sehari.

Alrafaie yang akan menyertai pertandingan di Indonesia dalam tempoh terdekat ini, berkata dia berharap agar sukan memanah tradisional mendapat pengiktirafan di Malaysia seperti luar negara yang memandang tinggi sukan itu.

"Saya harap kerajaan dapat mengiktiraf sukan memanah ini sebab juara dunia banyak datang dari Malaysia. Jika kerajaan tidak ambil inisiatif dengan peluang yang ada, ia dianggap suatu kerugian.

"Jika Malaysia ada peluang buat sukan SEA atau Sukan Asia di Malaysia, semestinya untuk dapat pingat emas itu sangat mudah," katanya.

Berita Harian X