Ahad, 30 Disember 2018 | 11:04am

EKSKLUSIF: Seram sejuk wartawan dijengah 'kelibat' berjubah putih

• Kelibat seakan-akan lelaki berjubah putih mengintai di sebalik tangga di salah satu hentian Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, ketika waktu menghampiri jam 1 pagi cukup mengejutkan.

• Pengalaman mistik wartawan BH ketika menyertai petugas RapidKL menyusuri terowong laluan bawah tanah yang terletak lebih 40 meter di bawah Tanah Perkuburan Islam Ampang itu, membuka 1,001 persoalan mengenai kesahihan misteri lelaki berjubah putih yang sekian lama dikatakan ‘menghuni’ fasiliti LRT yang mula beroperasi sekitar 1999 itu.

KUALA LUMPUR: Jauh di bawah Tanah Perkuburan Islam Ampang yang menjadi tempat bersemadinya seniman negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarhamah Saloma, terbentang jajaran terowong bawah tanah yang cukup penting.

Dikatakan ‘tersembunyi’ daripada pengetahuan ramai sejak 20 tahun lalu, terowong terletak lebih 40 meter di bawah tanah atau menyamai kedalaman tujuh hingga lapan tingkat bangunan itu menyimpan kisah unik, termasuk berunsurkan mistik.

Pastinya kisah mengenai lelaki tua berjubah putih antara yang menghiasi kisah mistik terowong bawah tanah itu, selain dikatakan turut beberapa kali menampakkan diri di sekitar stesen transit aliran ringan (LRT) Kampung Baru dan Dang Wangi.

Kru dokumentari BH berpeluang menyusuri terowong unik yang dibina khusus sebagai laluan keluar alternatif sekiranya berlaku kecemasan dalam LRT, iaitu akses daripada terowong tren laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Kampung Baru-KLCC.

Bukan untuk merungkai kisah mistik, namun kesempatan ini turut dimanfaatkan untuk menyelami kesahihan kisah yang menyelubungi terowong itu.

IMEJ seakan-akan lelaki berjubah putih (dalam bulatan) dirakam secara tidak sengaja wartawan BH, ketika bersiap sedia meninjau terowong kecemasan bawah tanah di laluan LRT Kelana Jaya. - NSTP/ Foto Che Wan Badrul Alias

Imej misteri muncul dalam foto

Apa yang pasti, kru BH sendiri turut dijengah kemusykilan apabila kelibat seakan-akan lelaki berpakaian putih samar-samar muncul dalam satu foto yang dirakam, sebelum memasuki terowong terbabit.

Kewujudan imej misteri itu hanya disedari beberapa hari selepas tinjauan di terowong terbabit, namun sejauh mana kaitan imej berkenaan dengan kisah mistik lelaki berjubah yang ‘menghuni’ kemudahan LRT itu sukar dipastikan.

Kisah mistik berkaitan terowong bawah tanah LRT heboh ketika awal operasinya iaitu sekitar 1999, apabila timbul dakwaan staf diganggu ketika kerja pengorekan.

Menjejakkan kaki menyusuri terowong gelap bersama-sama petugas RapidKL untuk tujuan latihan kecemasan, perasaan seram sejuk mula dirasai kru BH mengingatkan pelbagai cerita yang tersebar mengenai lokasi terbabit, apatah lagi jam ketika itu menghampiri jam 1 pagi.

KETUA Jabatan Operasi Rel Laluan Kelana Jaya PRASARANA, Muhammad Syafiq Abdullah.

Mungkin ‘rezeki’ penulis apabila Ketua Jabatan Operasi Rel Laluan Kelana Jaya PRASARANA, Muhammad Syafiq Abdullah, berkongsi cerita berdasarkan pengalaman bekerja berhampiran terowong itu.

“Mula-mula dulu ada gangguan seperti terdengar suara orang bercakap dan macam-macam lagi, tetapi tak ada mistik sangat seperti dihebohkan.

“Sebab itu, sekiranya ada latihan kecemasan, kita selalu pesan kepada staf jangan celupar dan jaga adab. Malah, jika ternampak apa-apa mencurigakan jangan sesekali tegur, sebaliknya buat saja kerja seperti biasa,” katanya yang sudah hampir 20 tahun bersama perkhidmatan LRT.

Buka lebih banyak cerita

Reaksi Muhammad Syafiq ibarat menyimpan kisah lebih menarik mengenai terowong yang sukar dikongsi, namun perkongsian hampir tiga jam sepanjang berada di ruang bawah tanah itu, membuka lebih banyak cerita.

“Sejujurnya, saya sendiri ada pengalaman apabila pernah terserempak orang tua memakai baju putih dan berserban, ketika hendak menamatkan operasi di Stesen LRT Kampung Baru.

“Ketika itu sekitar awal pagi dan saya ada tegur dia (lelaki berjubah), tetapi tiba-tiba disedari hilang di kawasan dinding begitu saja, berhampiran kawasan bawah kaunter.

“Gangguan begini bukan hanya berlaku sekitar Stesen LRT khususnya di Kampung Baru, tetapi mana-mana pun ada. Apa yang penting kita buat kerja kita dan biarkan ‘dia’ dengan dunianya dan kita pula dengan dunia kita,” katanya.

Insiden LRT terkandas undang panik

Insiden perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tergendala menyebabkan penumpang terkandas di laluan bawah tanah dua tahun lalu, membuka kisah kewujudan jajaran terowong di bawah Tanah Perkuburan Islam Ampang.

Suasana cemas ketika insiden 11 September 2016 itu dirakam Arif Rusli, seorang daripada penumpang yang terkandas dalam tren ketika melalui terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC, sebelum klip video 30 saat itu dimuat naik ke laman media sosialnya.

Arif menceritakan 10 minit pertama penumpang terkandas masih tenang sambil ada yang menatap telefon pintar masing-masing dengan ditemani aliran pengudaraan dan lampu kecemasan dalam tren.

Terowong gelap

Bagaimanapun, katanya, situasi berubah sejurus bateri simpanan kecemasan tren mula kehabisan menyebabkan terowong bertukar gelap gelita dan sistem pengudaraan terhenti sehingga mencetuskan panik.

“Ada yang memekik untuk memecahkan pintu kerana pernafasan mula terhad, ditambah penumpang sangat ramai,” katanya kepada BH.

Ketua Jabatan Operasi Rel Laluan Kelana Jaya PRASARANA, Muhammad Syafiq Abdullah, berkata dua syaf keselamatan yang berhubung dengan terowong bawah tanah akan diaktifkan segera jika berlaku kecemasan, termasuk menghalang penumpang keluar.

Beliau berkata, syaf keselamatan itu menghubungkan Dang Wangi dan Masjid Jamek serta Kampung Baru dan KLCC untuk menghadapi saat cemas sama ada terperangkap atau kebakaran di laluan bawah tanah sepanjang 4.5 kilometer (km), yang menjadi sebahagian daripada 46.7 km laluan LRT Kelana Jaya.

Mengulas insiden pada 2016, Muhammad Syafiq berkata, apabila berlaku kegagalan sistem atau tren terkandas, pusat kawalan dapat menge-sannya dengan pantas dan terus menghantar kakitangan membuat pemeriksaan.

Katanya, staf hanya dibenarkan keluar selepas bekalan kuasa diputuskan, namun ia mengambil masa sekitar 10 minit untuk sampai ke lokasi tren yang jaraknya satu kilometer.

Kru BH diberi peluang meneroka satu daripada dua terowong syaf keselamatan itu ketika latihan kecemasan rutin bersama staf PRASARANA bagi laluan Kelana Jaya, yang biasa dilakukan dalam tempoh penyelenggaraan antara jam 12.30 malam hingga 4 pagi.

Muhammad Syafiq berkata, laluan LRT Kelana Jaya memiliki lima stesen utama terletak di bawah pusat bandar Kuala Lumpur dan tren empat gerabak selalunya dipenuhi penumpang.

“Selain cabaran kegagalan sistem, paling kami bimbangkan risiko kebakaran. Syarikat pembekal tren, BOMBARDIER beri jaminan badan tren kalis api, namun kita khuatir fius penghubung di antara gerabak yang dibuat daripada plastik dan getah ini terbakar.

Pegawai Bersekutu Fasiliti PRASARANA, Zulkarnain Yahya, berkata staf bahagian penyelenggaraan akan turut menggunakan masa di antara 12.30 hingga 4 pagi terbabit untuk menyelenggara terowong terbabit bagi menutup kebocoran air, membersihkan stalagmit dan stalaktik.

“Tiada orang awam pernah menjejak kaki di terowong ini dan kru BH menjadi orang awam pertama kami benarkan masuk dan membuat rakaman terowong ini,” katanya.

Berita Harian X