Ahad, 16 Disember 2018 | 6:39pm
SOFEA (kiri) dan Erwan (kanan) tidak mengabaikan petua orang lama ketika menjaga empat anaknya yang berkhatan serentak di rumah mereka di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Mengasuh 4 anak 'pantang' berkhatan

MENJAGA anak kecil berkhatan mungkin kelihatan mudah, namun ada petua tertentu boleh diamalkan selain panduan khusus untuk membantu proses penyembuhan yang lebih cepat.

Bagi Mohd Erwan Tahir, 35 dan isteri, Sofea Mohktar, 29, cabaran dilalui mereka lebih besar apabila terpaksa melayan kerenah ‘pantang’ empat anak lelaki berusia antara tiga hingga sembilan tahun, yang dikhatankan serentak, Ahad lalu.

* Empat anak pasangan ini antara 50 peserta yang menyertai program ‘Jom Berkhatan’ anjuran Suara Komuniti BH bersama Badan Khairat The New Straits Time Press Malaysia Berhad (NSTP).

* Proses khatan dilakukan menggunakan laser, dikatakan membantu proses penyembuhan lebih cepat

* Makanan tertentu seperti ayam, telur atau makanan laut khusus sotong dan udang dinasihat elak untuk mengelak gatal.


JIBRAEL yang gementar ketika saat dikhatankan ditenangkan Erwan. - NSTP/Mahzir Mat Isa


JIBRAEL diberi kata semangat sambil ditemani bapanya, Erwan (kanan) sejurus selesai berkhatan. - NSTP/Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Gelagat Muhammad Eiman Jibrael, sedikit pun tidak menampakkan tanda resah atau takut, sebaliknya kanak-kanak berusia tiga tahun itu lebih banyak tersenyum dan ketawa riang di samping tiga abang kandungnya.

Walaupun baru beberapa hari berkhatan, Jibrael kelihatan selesa bergurau seolah-olah langsung tidak terganggu dengan luka yang masih belum betul-betul sembuh.

Jibrael bersama tiga abangnya, Muhammad Erfan Fudzael, 9; Muhammad Ezzraq Raffael, 7 dan Muhammad Ersyad, 6, masing-masing menyertai program ‘Jom Berkhatan’ anjuran Suara Komuniti BH dan Badan Khairat The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) Ahad lalu, membabitkan 50 peserta.

Difahamkan, Jibrael pada mulanya enggan menyertai tiga abang kandungnya itu selepas terpengaruh dengan babak Upin Ipin yang kesakitan ketika berkhatan, namun pujukan bapanya, Mohd Erwan Tahir, 35, berjaya mengubah pendirian anak bongsu itu.

Mohd Erwan, berkata dia sebenarnya sudah mula memujuk Jibrael untuk berkhatan sejak awal tahun lagi, namun tidak berjaya sehinggalah seminggu sebelum program Jom Berkhatan itu berlangsung.

“Ketika itu Jibrael tiba-tiba menyatakan keinginan untuk berkhatan, tetapi dengan satu syarat iaitu saya kena bawa dia memancing sebagai upah. Tanpa berfikit panjang, saya bersetuju asalkan dia sedia berkhatan awal seperti digalakkan dalam Islam," katanya.


JIBRAEL (kanan sekali) berkhatan serentak dengan tiga abangnya (dari kiri) Erfan Fudzael, Ezzraq Raffael, dan Ersyad. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Khatan sebab nak solat bersama abang

Jibrael yang petah berbicara ketika ditemui mengakui sanggup berkhatan kerana mahu duduk dalam saf bersama-sama tiga abangnya ketika menunaikan solat, sama ada di surau atau masjid.

"Ayah cakap kalau belum sunat tidak boleh duduk depan ketika solat, sebab itu saya mahu sunat kerana saya selalu kena solat seorang diri di belakang," katanya.

Berkongsi pengalaman menjaga anak berkhatan buat pertama kali, ibunya, Sofea Mohktar, 29, berkata dia tidak menafikan berdepan pelbagai cabaran sebelum khatan sehinggalah selesai, kerana perlu menguruskan empat anak sekali gus.

"Selepas memberitahu anak akan dikhatankan, mereka takut, memberontak dan menangis kerana fikir doktor akan potong sampai habis.

Saya dan suami mengambil masa lama untuk menerangkan kepada mereka mengenai tujuan lelaki Islam berkhatan dan alhamdulillah, mereka faham dan setuju," katanya.


BERKHATAN serentak empat beradik mengurangkan rasa gementar dan lebih menyeronokkan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Petua orang lama jadi panduan

Sofea berkata, keempat-empat anaknya itu berkhatan menerusi kaedah laser yang dikatakan proses paling cepat dan hanya memakan masa kurang satu minit, sebelum dijahit secara manual.

Benang jahitan untuk kaedah ini terbuka dengan sendirinya seperti benang jahitan bersalin dan ia akan sembuh lebih cepat dan kurang risiko jangkitan.

Walaupun menggunakan kaedah moden, Sofea tidak mengabaikan petua dan kaedah penjagaan mengikut tradisi masyarakat Melayu lama.

"Pada hari kedua dan ketiga, saya rendamkan mereka di dalam besen berisi air suam yang dicampurkan dengan tiga sudu besar garam kira-kira 20 minit atau sebelum air itu bertukar sejuk.

“Malah ini bertujuan untuk membantu mengecutkan bengkak pada kemaluan mereka akibat berkhatan, selain membantu mencuci luka dicuci secara manual.

"Apabila direndam, darah beku yang melekat pada keliling kemaluan mudah tertanggal. Benang jahitan juga akan tertanggal dengan sendiri," katanya.

Sepanjang sesi `berpantang' itu juga, katanya kedua-dua anaknya hanya memakai baju-T dan kain pelikat daripada fabrik kapas yang lebih lembut supaya menjamin keselesaan.


JIBRAEL tenang ditemani bapanya, Erwan, sejurus selesai dikhatankan. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Suami lebih sesuai ‘layan’ anak khatan

Sofea berkata, dia lebih cenderung membiarkan suami melayan kerenah anaknya yang berkhatan itu selama beberapa hari, bagi memberi lebih keyakinan dan semangat sementara menunggu sembuh.

"Orang tua berpesan, biarkan anak bersama ayah meluangkan waktu bersama sepenuh masa kerana mereka ada persamaan. Mereka boleh berkongsi pengalaman dan pendapat masing-masing.

“Ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, selain membantu menjadikan seorang ayah lebih bertanggungjawab," katanya.

Dari segi pemakanan, Sofea berkata dia menyediakan masak singgang untuk anak-anaknya, dengan lauk ayam, telur, makanan laut seperti sotong dan udang langsung tidak dibenarkan untuk mengelak gatal.

“Sewaktu berpantang saya galakkan anak memakan buah-buahan dan minum susu untuk nutrisi lebih seimbang, tetapi tidak menggalakkan mereka minum terlalu banyak air kerana perut akan cepat kembung dan mereka akan kerap buang air," katanya.

Berita Harian X