Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:23pm
SEBAHAGIAN daripada paip rokok atau pipa yang siap dihasilkan Abdullah, sedia untuk dijual kepada penggemar. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman
MESIN digunakan untuk meratakan permukaan paip rokok supaya lebih licin dan sekata. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

Dari bengkel kampung ke Jerman

• Penoreh getah dari Kedah menggunakan Facebook untuk memasarkan paip rokok atau ‘pipa’ buatannya. Tiada bengkel eksklusif, pipa dihasilkan di bengkel kampung itu ditempah pelanggan sejauh dari Jerman, Jepun dan Mesir.

• Internet, YouTube jadi rujukan.

• Dijual antara RM100 hingga RM550 setiap satu mengikut jenis kayu dan penghasilan

• Ciri-ciri kayu tempatan Malaysia jadi kelebihan pipa dihasilkan.

• Lima hingga enam jam tempoh siapkan sebatang pipa, namun ada yang memerlukan sehingga dua hari.

PENDANG: Keunikan seni Malaysia sememangnya diketahui ramai, malah hasil seni ‘air tangan’ rakyat kita sering kali mendapat perhatian bukan saja di peringkat tempatan, tetapi juga penggemar di luar negara.

Bagi anak kelahiran Kedah, Abdullah Hussin, 56, kemahiran dimiliki dalam seni pertukangan tidak mahu dipersiakan, sebaliknya terus diperluas untuk menghasilkan produk yang berjaya mencuri tumpuan dunia.

Menjadikan kediamannya di Kampung Baru Gajah Putih, di sini sebagai bengkel, Abdullah yang juga seorang penoreh getah mampu menghasilkan paip rokok atau lebih dikenali Pipa dalam kalangan penggemar, yang kini semakin mendapat sambutan.

Bukan sekadar penggemar tempatan, bapa kepada lima anak ini mampu berbangga apabila pipa dihasilkannya itu sudah mula menarik minat pelanggan dari luar negara seperti Jerman, Jepun dan Mesir.


SEBAHAGIAN daripada paip rokok atau pipa yang siap dihasilkan Abdullah, sedia untuk dijual kepada penggemar. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

Tak luput ditelan zaman

Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah mengakui seni merokok semakin berkembang dengan pengenalan e-rokok atau vape, namun penggunaan pipa yang sering dikaitkan dengan gaya hidup santai dan prestij untuk menikmati tembakau tidak pernah luput ditelan zaman.

“Saya sebenarnya bermula dengan membuat sarung pisau, golok dan parang untuk menjana pendapatan sampingan, selain kerja hakiki sebagai penoreh getah dan tukang rumah.

“Selepas kurang sambutan, saya terfikir untuk belajar membuat pipa apabila beberapa rakan mula bertanya mengenainya. Tak sangka pula hobi dibuat secara suka-suka ini akhirnya memberi sumber pendapatan tetap bagi saya untuk menyara keluarga,” katanya mengakui sudah lebih 30 tahun memiliki kemahiran bertukang.

Ditanya mengenai seni membuat pipa, katanya dia belajar sedikit demi sedikit menerusi laman YouTube kira-kira empat tahun lalu.

“Ketika itu pipa yang saya buat hanya dijual kepada kenalan sekitar kampung secara promosi mulut ke mulut.

“Lama-kelamaan saya mula belajar menggunakan Facebook sebagai saluran promosi dan alhamdulillah, pipa saya hasilkan sudah sampai ke Jerman, Jepun dan Mesir tahun lalu,” katanya.


FACEBOOK menjadi saluran utama Abdullah berhubung dengan pelanggan, khususnya dari luar negara. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

Facebook saluran promosi

Abdullah berkata selepas mengenali Facebook awal tahun lalu, dia sering memuat naik foto pipa terbaharu dihasilkan ke laman sosial itu.

“Berniaga di laman sosial lebih mudah terutama membabitkan pipa yang mempunyai mempunyai kumpulan pembuat dan peminat tersendiri dari seluruh dunia. Walaupun saya tidak pandai berbahasa Inggeris, rakan sekampung sering membantu saya.

“Pipa saya hasilkan dijual antara RM100 hingga RM550 setiap satu. Alhamdulillah peminat dari luar negara tidak kisah mengeluarkan belanja untuk membeli pipa mahal, lebih-lebih lagi dari Malaysia yang diketahui menggunakan kayu tempatan yang mempunyai ciri lebih tahan lama dan bercorak,” katanya.

Mengenai proses pembuatan, Abdullah berkata dia mengambil masa antara lima hingga enam jam bagi menyiapkan sebatang pipa, namun bergantung kepada 'mood' yang kadang-kadang memerlukan masa sehingga dua hari.

“Paling sukar dalam menghasilkan pipa ialah ketika membentuk saluran paip menghubungkan penapis, yang memerlukan sukatan tepat agar pembakaran sekata dan tidak bocor.

“Buat paip ini mengajar saya erti kesabaran kerana ia memerlukan ketelitian semasa lubang paip dibentuk. Contohnya kalau berlaku kebocoran pada paip, pipa itu sudah tidak boleh dipakai dan perlu dibuat lain,” katanya.


MESIN digunakan untuk meratakan permukaan paip rokok supaya lebih licin dan sekata. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

KERJA mengecat perlu berhati-hati supaya kemasan paip rokok menyerlah. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

Selami minat penggemar

Dari segi permintaan, Abdullah berkata dia perlu mengikuti permintaan semasa dengan menghasilkan pelbagai bentuk pipa yang digemari pelanggan.

Antara bentuk popular yang sering menjadi pilihan penggemar termasuklah jenis ‘bulldog’, ‘apple’, ‘poker’, ‘full bent’, ‘pot’ dan pelbagai lagi.

“Setiap bulan purata 10 batang pipa yang saya hasilkan akan terjual dengan pendapatan tambahan diperoleh kira-kira RM2,000.

“Alhamdulillah daripada hasil jualan dapatlah membantu saya menyara empat anak ke institusi pengajian tinggi (IPT), selain seorang lagi yang masih bersekolah,” katanya.

Berita Harian X