Sabtu, 13 Oktober 2018 | 5:56pm
LELAKI lebih ramai mengalami masalah gangguan emosi berbanding wanita.- Foto hiasan

Emosi lelaki tak stabil

Penampilan tidak lagi menarik, struktur kulit berkedut, putus haid atau menopaus dan gagal mendapat perhatian antara faktor mengundang gangguan emosi, terutama dalam kalangan individu menjangkau usia 50-an.

Antara lain kemungkinan mereka tiada kerja khusus atau bersara selain gagal mencapai impian dalam hidup yang diharapkan.

Ketidakupayaan mencapai hasrat berkenaan, menyumbang kepada gangguan emosi membawa kepada kesan kemurungan.

Tanpa kekuatan mental dan fizikal, individu tidak dapat mengharungi usia emas dengan sempurna.

Pakar Psikologi Klinikal, Farah Putrinegara Ahmad Bahrom Titingan, berkata perubahan hormon antara sebab kebarangkalian seseorang mempunyai masalah emosi. Ia adalah faktor risiko, tetapi bukan penyebab.

Maksudnya, kebarangkalian mendapat gangguan emosi serius kepada individu yang mempunyai perubahan hormon secara mendadak.

“Terdapat empat jenis hormon di dalam otak yang mempengaruhi emosi kita iaitu dopamine, oxytocin, seratonin dan endorphin.

“Setiap ketidaksempurnaan membabitkan produksi hormon memberi kesan kepada emosi. Kesan lanjut usia, gangguan kesihatan fizikal, kecederaan pada bahagian badan tertentu menyebabkan gangguan berlaku pada emosi.

“Apabila usia meningkat, tubuh merasa sakit kesannya menyebabkan badan tidak boleh menghasilkan hormon mencukupi atau mengganggu pengeluaran serta gabungan hormon,” katanya.

Farah Putrinegara berkata, statistik tidak rasmi menganggarkan satu daripada tiga individu dewasa di negara ini mengalami masalah berkenaan.

Berdasarkan laporan, lelaki lebih ramai mengalami masalah gangguan emosi berbanding wanita.

“Secara luaran, golongan ini tidak nampak jelas mengalami masalah kerana keperibadian mereka tidak mencerminkan sifat sebenar.

“Ini kerana lelaki lebih cenderung menyembunyikan kesusahan malah gangguan emosi dialami berbanding wanita lebih mudah dilihat pelbagai sudut seperti raut wajah, perilaku, percakapan dan gerak tubuh.

“Lelaki sukar dikesan mengalami masalah gangguan emosi atau kesihatan mental kerana tidak mahu dianggap sebagai individu lemah,” katanya.


FARAH Putrinegara. - Foto Arkib NSTP

Farah Putrinegara berkata, gangguan emosi tidak mengenal usia, malah boleh berlaku kepada setiap individu seawal usia kanak-kanak.

Golongan berusia lebih mudah mengalaminya namun bergantung kepada pengalaman hidup masing-masing selain cabaran tertentu yang terpaksa dihadapi.

Berkait rapat dengan kesihatan mental, gangguan emosi menjadi lebih parah dalam kalangan warga emas apabila tidak dikawal atau dirawat dengan sempurna.

Masalah gangguan emosi juga babitkan kanak-kanak dan dewasa.

Namun, kadar kejayaan mengatasi masalah gangguan bergantung kepada gabungan antara rawatan psikoterapi, ubat-ubatan dan gaya hidup sihat.

“Selain ego, antara punca utama menyebabkan individu tidak mendapatkan bantuan ialah stigma terhadap kesihatan mental. Ramai yang takut mendapatkan bantuan psikologi, masing-masing dilabel sebagai lemah atau gila.

“Hakikatnya, rawatan awal membantu menangani masalah sebelum menjadi lebih serius,” katanya.


GANGGUAN emosi serius kepada individu yang mempunyai perubahan hormon secara mendadak.- Foto hiasan

Farah Putrinegara berkata, sekiranya mereka tidak menangani masalah emosi dengan baik dengan mendapatkan rawatan, kesannya boleh menyebabkan berlaku masalah kebimbangan atau kemurungan serius.

“Rawatan awal boleh dilakukan dengan berjumpa atau berunding dengan pakar psikologi atau psikiatri bagi mengenalpasti masalah sebenar, jenis dan tahap gangguan yang dialami.

“Lazimnya individu terbabit dibantu menerusi pelan kesihatan yang diberikan secara tepat selain kemahiran pengurusan menangani masalah secara positif,” katanya.

Info:

Jenis masalah kesihatan mental ketika mencapai usia lebih 50 tahun

* Kemurungan,

* Kegelisahan

* Gangguan tidur

* Demensia

* Alzheimer

Gangguan emosi bergantung kepada :

* Keturunan

* Sistem biologi badan

* Keupayaan rangsangan otak dan bagaimana hormon bertindak balas

* Perubahan sistem biologi individu

* Kestabilan rangsangan otak ketika mengawal emosi

* Keupayaan mengawal tekanan

* Tidak bersedia menghadapi hari tua

* Kemurungan berterusan disebabkan kehidupan lebih mencabar

18 dibaca
Berita Harian X