Sabtu, 22 September 2018 | 11:25am
DR Khairul Izan Mohd Ghani@Mamat. - Foto Salhani Ibrahim

Ulser bukan sakit perut yang bahaya

GAYA hidup tidak sihat antaranya, merokok, pengambilan minuman beralkohol, pengambilan ubat tanpa nasihat doktor, antara penyebab serangan penyakit ulser peptik terutama dalam kalangan pesakit muda.

Perunding Pembedahan Am, Hospital Columbia Asia Malaysia, Dr Khairul Izan Mohd Ghani @ Mamat, berkata 70 peratus daripada punca serangan ulser peptik disebabkan jangkitan bakteria helicobacter pylori (h.pylori).

Beliau berkata, penyebaran bakteria dari manusia kepada manusia lain daripada makanan tercemar.

“Umum maklum perut sentiasa mengeluarkan asid bagi proses penghadaman semua jenis makanan, malah dalam keadaan berpuasa sekali pun, perut masih mengeluarkan asid bagi melancarkan proses pencernaan.

“Tindakan mengambil makanan terdedah begitu lama berpotensi diserang ulser kerana dikhuatiri sajian berkenaan sudah tercemar.

“Apabila bakteria memasuki saluran pencernaan, ia mempunyai kecenderungan menyerang lapisan perut, sekali gus meningkatkan tahap keasidannya.

“Kehadiran asid berlebihan menyebabkan sakit perut atau keradangan dikenali sebagai gastritis (gastrik). Jika tidak dirawat kesannya menyebabkan ulser. Serangan kritikal meningkatkan risiko kanser perut,” katanya kepada BH.

Kesan loya, muntah-muntah berterusan

Tanda awal pesakit ulser peptik, kata Dr Khairul Izan, pesakit mengalami rasa ketidakselesaan bahagian perut, sakit ulu hati, loya dan muntah-muntah. Pesakit juga mengalami kesan hilang selera makan, penurunan berat badan.


Infografik

Beliau berkata, kesan serangan lebih serius menyebabkan muntah darah atau hemetemesis dan berak berdarah (malena).

Kebanyakan mereka yang mempunyai ulser gastrik adalah wanita muda dan pertengahan usia.

Faktor serangan sering dikaitkan dengan tekanan dan selain faktor pengambilan makanan tidak mengikut masa. Kesakitannya berulang-ulang, berlaku selepas pengambilan makanan akibat peningkatan penghasilan jus asid di dalam perut.

“Ulser peptik ini juga boleh terjadi di usus kecil yang dikenali sebagai ulser duodenum, berlaku pada mereka berusia lingkungan 30-40 tahun dan lebih dominan dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

“Faktor risiko untuk ulser duodenum seperti ulser gastrik, namun begitu kesakitan lebih dirasai dua atau tiga jam selepas makan dan sering di tengah malam. Mereka yang mengidap penyakit ini juga sering lapar,” katanya.

Ujian endoskopi kesan bakteria

Beliau berkata, cara paling mudah bagi pakar bedah mengesan penyakit ulser peptik akibat dari jangkitan H. pylori, adalah dengan menguji H.pylori dengan ujian non-invasif menggunakan serum darah. Ujian bertujuan mengesan kehadiran antibodi (imunoglobin G) terhadap kuman tersebut.

Begitu juga dengan mengadakan ujian pernafasan bagi mengesan urea yang dihasilkan oleh H. pylori ketika pesakit bernafas.

Namun begitu cara terbaik untuk mengesan kewujudan jangkitan H. pylori adalah dengan melakukan prosedur endoskopi, memasukkan kamera fiberoptik ke dalam perut pesakit dan melihat kehadiran ulser dengan mengambil tisu bagi ujian biopsi.

“Kebanyakan pesakit mempunyai najis berwarna hitam atau gelap daripada kebiasaannya kerana terdapat luka pendarahan di dalam perut. Pesakit dinasihat menjalani rawatan secara berterusan seperti disarankan pakar,” katanya.

315 dibaca
Berita Harian X