Isnin, 17 September 2018 | 12:05pm
JOE Chai pada Fat Boys Run di Taman Botani. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Orang jijik tengok saya gemuk'..

“MEMILIKI berat badan berlebihan hingga berada pada kategori obesiti adalah sesuatu yang menyeksakan. Kegemukan ini menyebabkan saya malas, memberi pelbagai alasan setiap kali diajak melakukan riadah.

“Keadaan fizikal yang hodoh juga menyebabkan hilang keyakinan, merasakan diri tidak berguna dan beranggapan disisih masyarakat.

“Lebih menyedihkan setiap kali menaiki pengangkutan awam, penumpang lain memandang jelek, seolah-olah saya begitu jijik pada pandangan mereka,” kata Joe Chai, 38.

Anak sulung daripada lima beradik, empat lelaki yang semuanya berbadan besar dan gemuk berkata, beliau mula bersemangat untuk hidup lebih sihat selepas melihat ibunya diserang penyakit angin ahmar baru-baru ini.

Keadaan ibu kini langsung tidak boleh bergerak, memberi motivasi kepadanya untuk memulakan hidup baharu dengan lebih aktif.

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai anak sulung memulakan aktiviti harian yang cergas, supaya menjadi motivasi dan ikutan kepada adik- beradik lain

“Kami empat beradik lelaki mengikut genetik emak, manakala adik perempuan kurus mengikut bapa,” katanya ketika ditemui pada program larian Fat Boys Run 2018 di Taman Botani, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berhadapan masalah ini, beliau tidak menyalahkan genetik semata-mata kerana amalan hidup sihat mampu mengubah bentuk badan untuk jadi lebih cergas,

Melihat kesungguhannya bangun awal daripada biasa untuk menyertai larian, cukup membuktikan beliau mempunyai azam yang kuat mengubah cara hidup yang lebih sempurna.

Beliau yang bertugas sebagai kakitangan khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi, kelihatan duduk berseorangan sejam selepas menghabiskan cabaran larian sejauh lima kilometer (km).

Dari riak air mukanya, kelihatan sayu dan sedih sambil merenung jauh, sesekali menarik nafas melepaskan lelah.


JOE (duduk kanan) bersama ahli keluarga termasuk ibu dan ayahnya yang diambil tiga tahun lalu.q Muhammad Razali, 26.

Beliau sedih dengan keadaan dirinya dan keluarga, tidak seperti orang lain dapat hidup lebih sihat dan bernasib baik.

Anak jati Ipoh, Perak, fasih bertutur dialek negeri kelahirannya, berkata beliau kini nekad mengubah gaya hidup dan diharap memberi motivasi kepada adik yang lain untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Usaha ini bagi mengelakkan diserang pelbagai penyakit bahaya terutama gangguan kesihatan berkaitan kardiovaskular.

“Selain mahu terus mendisiplin diri melakukan senaman dari semasa ke semasa, saya juga perlu sentiasa berhati-hati dengan mengawal pengambilan kalori dalam setiap menu hidangan harian,” katanya.

Program larian sesuai disertai dan semua peserta pula kalangan kalangan mereka gemuk.

“Jadi saya boleh bertukar pengalaman dengan peserta lain yang mahu menurunkan berat badan masing-masing,” katanya menyasarkan menurunkan berat badan 100 kilogram kg) sehingga hujung tahun ini, berbanding sekarang 156 kg.

Info

----

Tips memulakan hidup sihat:

  • Disiplinkan diri bangun seawal jam 5 hingga 6 pagi setiap hari.
  • Amalkan meminum air suam ketika bangun pagi untuk mengaktifkan kembali organ dalaman.
  • Mandi seawal jam 5 hingga 6 pagi supaya badan kembali segar serta pengaliran oksigen lebih lancar.
  • Memulakan berjalan kaki mengelilingi rumah atau kawasan sekitar antara 15 hingga 30 minit.
  • Sebelum sarapan dengan makanan yang berat, nikmati dahulu buah-buahan bagi melancarkan sistem penghadaman.
  • Memperbanyakkan pergerakan dengan berjalan sepanjang hari walaupun di tempat kerja.
  • Menikmati makanan tengah hari seimbang, lengkap karbohidrat, protein, mineral, vitamin dan tinggi serat.
  • Lakukan senaman ringan setiap petang.
  • Makan malam pada awal waktu

  • Tidur seawal jam 10 malam

Berita Harian X