Sabtu, 4 Ogos 2018 | 11:22am
KETUA Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mahathar Abd Wahab. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sengatan tebuan penyebab uban, botak

Orang ramai perlu prihatin jika digigit tebuan bagi mengelak kesan sengatan walaupun mereka tidak mengalami tindak balas pada tubuh selepas diserang serangga berbisa itu.

Selepas serang, ada kemungkinan sistem badan mengalami kesan luar jangkaan hingga membawa risiko kematian.

Ada yang mendakwa sengatan di kepala boleh menyebabkan botak atau rambut beruban. Sejauh mana kebenaran itu?

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mahathar Abd Wahab, berkata setakat ini beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan sengat di kepala, berkemungkinan mangsa menjadi botak atau rambutnya beruban.

Bagaimanapun, secara logik, kawasan luka disengat jika tidak sembuh menghasilkan parut pada kepala sekali gus menutup rongga peluh menyebabkan pertumbuhan roma tidak berlaku.

"Situasi sama jika seseorang disengat tebuan di bahagian kepala menyebabkan kawasan berkenaan botak.

"Racun pada sengatan itu mungkin boleh menyebabkan rambut menjadi putih atau beruban," katanya.

Beliau berkata, lazimnya gigitan tebuan boleh memberi tindak balas pada tubuh individu dalam tempoh 72 jam.

Katanya, dalam kes tertentu jumlah sengatan banyak tetapi kadar racun mungkin rendah dan mangsa mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap sengatan.

Justeru, mereka dinasihat mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, dalam tempoh itu mangsa juga mungkin berhadapan risiko kematian jika tidak mendapat rawatan segera.

"Sengatan tebuan menghasilkan racun, iaitu bersifat alkali dan bisa berkenaan boleh menyerang sistem pertahanan badan hingga berlaku kesan tindak balas pada tubuh mangsa atau dipanggil renjatan anafilaksis.," katanya.

Beliau berkata, kesan tindak balas renjatan anafilaksis menyebabkan tangan, kaki atau bahagian yang disengat membengkak boleh membawa kepada komplikasi kesihatan.

Anafilaksis dikategorikan sebagai renjatan kecemasan kesan reaksi alahan paling serius. Kesannya boleh berlaku dalam tempoh serta-merta hingga 72 jam dengan gejala sangat teruk dan pantas.

"Tindak balas alahan ini berlaku di luar jangkaan, berbeza mengikut peringkat usia, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa," katanya.

Dr Mahathar berkata, mangsa sengatan akan mengalami tindak balas menyebabkan aliran darah yang sepatutnya mengalir terus ke jantung, diagihkan ke kawasan sengatan dan bahagian tubuh badan. Ini mengakibatkan kekurangan aliran darah ke jantung, seterusnya menyebabkan tekanan darah jatuh mendadak.

"Situasi seterusnya, tekanan darah mangsa menjadi rendah, sesak nafas dan akhirnya membawa maut sekiranya lambat mendapat rawatan," katanya.

Mengulas mengenai pelajar Tahun Lima, Mohamad Saiful Hazami Mat Ghani, cedera disengat lebih 100 tebuan, di Kelantan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, beliau berkata setiap orang mempunyai daya melawan penyakit berbeza dan tidak semua sengatan melepaskan racun.

Rawatan kecemasan sebaik disengat

* Larikan diri atau bawa mangsa ke tempat selamat

* Jangan tekan kawasan sengatan, kebiasaannya tebuan meninggalkan sengat yang masih mengandungi racun.

* Elak bergerak banyak

* Jangan mencabut sengatan jika tidak tahu kaedah betul.

* Sapu cuka di tempat disengat.

* Tebuan bersifat alkali dan cuka mengurangkan kesakitan.

* Tindak balas anafilaksis lebih cepat pada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

* Pesakit jantung, tekanan darah tinggi, alahan, lelah, ekzema dan resdung segera dapatkan rawatan mengelak tindak balas renjatan anafilaksis yang boleh membawa maut.

* Rawatan difasiliti kesihatan bergantung pada tahap alahan

* Boleh dapatkan suntikan adrenalin dan anti histamin.

* Suntikan adrenalin diulang setiap 3 hingga 5 minit jika tiada respons.

* Suntikan steroid untuk kawal keradangan sistem tubu.

* Cairan intravena untuk pastikan jumlah cairan mencukupi untuk peredaran darah.

Info

Antara simptom anafilaksis;

* Kulit gatal dan ruam gatal (gegata)

* Bibir, kerongkong dan lidah membengkak atau merah

* Sesak nafas, tercungap, batuk dan suara menjadi garau

* Sakit kepala atau pening

* Mual, muntah, sakit perut

* Hilang kesedaran

Berita Harian X