Sabtu, 21 April 2018 | 1:34pm
PESAKIT Barah Payu Dara, Hibatullah dan suami.

Peka perubahan puting payudara

MENGALAMI kesan letih, pening dan peningkatan berat badan antara tanda awal dirasai penghidap kanser payudara tahap dua, Hibatullah Abdul Rahman, 28, tetapi pada awalnya tidak pernah dihiraukan.

Perubahan ketara dirasai dengan rasa sakit pada beberapa bahagian tubuh dan puting berdarah, menjadi Habitullah gusar, lantas membuat pemeriksaan.

"Pemeriksaan doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap dua. Agak sukar menerima keputusan terutama apabila tiada sesiapa di dalam keluarga menghidap penyakit itu.

"Memang mengejutkan. Pelbagai perasaan bercampur-baur apabila dimaklumkan mengenai penyakit yang tidak pernah tergambar dalam benak fikiran.

"Takut, bimbang dan sedih semuanya ada," katanya katanya mengimbas situasi itu tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau bertekad mengubah gaya hidup selain menjalani rawatan kemoterapi.

Selain itu, menjaga pemakanan, melakukan senaman dan latihan kecergasan bagi memastikan dirinya terus positif melawan penyakit.

Tukar gaya hidup

Hibatullah berkata, beliau tidak boleh duduk di rumah tanpa melakukan sesuatu sebaliknya perlu lebih aktif.

"Apa saja senaman yang menyeronokkan dan saya boleh buat, saya akan buat saja. Sejak diagnos barah payudara, saya mengamalkan senaman yoga, berenang, berlari dan menari.

"Selepas melakukan senaman secara konsisten, saya kurang letih dan kekal positif," katanya ketika ditemui pada majlis 'Pink Ribbon on the Beach' sempena mengutip dana untuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hibatullah berkata, yoga antara terapi gaya hidup terbaik untuk mencapai ketenangan dan mengelak tekanan dengan melakukan sendiri di rumah.

Pada peringkat awal menjalani rawatan kemoterapi, rutin senaman awal dilakukannya hanya berjalan perlahan-lahan selama 10 minit. Ia antara cara membantu mengurangkan rasa sakit.

"Pada saya, senaman yang betul dan konsisten membantu pesakit kanser untuk menikmati kehidupan lebih sihat dan baik," katanya.

Keluarga beri sokongan

Beliau mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman malah memastikan tidak menjamah makanan proses.

Jika sebelum ini, Hibatullah gemar makan daging merah hampir setiap minggu, tetapi mengurangkan bagi mengikut nasihat doktor.

Sokongan keluarga menguatkan semangatnya dan lebih mengharukan, teman lelakinya yang dikenali sejak berusia 14 tahun sanggup mengahwininya selepas dua bulan Hibatullah disahkan menghidap barah payudara.

Hibatullah bersyukur kerana keluarganya banyak membantu meringankan bebannya.

"Mereka sanggup meninggalkan tugasan dan meletakkan saya sebagai keutamaan dengan mengharapkan saya bangkit melawat penyakit.

"Suami Fareez Shah, 29, bekerja sebagai peguam mengambil cuti semata-mata untuk menjaga saya ketika keadaan memerlukan.

"Malah, banyak kerja rumah yang kebiasaannya dilakukan isteri, diambil alih suami.

"Mengenai rawatan, suami lebih banyak berbincang dengan doktor. Dia juga membaca banyak buku dan mencari pelbagai maklumat mengenai penyakit yang saya hadapi," katanya.

Hibatullah akui kadang kala beliau tertekan apabila terlalu banyak soalan diajukan kepadanya. Jadi, suaminya memainkan peranan menjadi orang perantara menerangkan perkembangan penyakit.

Melihat kesengsaraan ramai pesakit barah di negara ini, Hibatullah yang mengambil cuti rehat pengajian bidang Pentadbiran Perniagaan di sebuah universiti swasta, mengambil keputusan berkhidmat di NSCM sebagai eksekutif projek.

INFO

------------

Individu berisiko mendapat barah

* Wanita tidak menyusu anak

* Wanita yang mendapat anak pertama pada usia bawah 30 tahun

* Tahap kesedaran memeriksa sendiri payudara sangat rendah pesakit hanya mengenal pasti barah apabila berada tahap akhir tiga dan empat.

Berita Harian X