Sabtu, 22 Julai 2017 | 12:05am

Rawatan guna suntikan gelombang frekuensi radio

KUALA LUMPUR: Mungkin anda sedang menderita sakit belakang badan, belikat, pinggang, tengkuk atau migrain yang berlarutan sejak lebih beberapa bulan.

Apa yang tidak kena apabila sakit tidak sembuh walaupun selepas mendapatkan rawatan dan banyak kali berjumpa doktor?


DR Nizar Abd Jalil menunjukkan gambar rawatan menggunakan kaedah RF Injection atau suntikan gelombang frekuensi radio. - Foto Yazit Razali

Lebih menyedihkan, pesakit terus menanggung kesakitan seumur hidup sehingga secara tidak langsung mengganggu aktiviti harian, termasuk tidak dapat bekerja.

Felo Pengurusan Sakit, Lourders Medical Centre Sdn Bhd, Dr Nizar Abd Jalil, berkata sakit yang dirasai lebih tiga bulan dikategorikan sebagai penyakit kronik.

Sengsara sepanjang hayat

Katanya, penyakit kronik boleh menyebabkan kesukaran bekerja dan pesakit terpaksa kerap mengambil cuti sehingga akhirnya hilang upaya.

"Antaranya, sakit belakang yang paling kerap dialami individu bekerja di pejabat yang memberikan kesan tidak mampu duduk lama serta berdiri," katanya.

Dr Nizar berkata, kesakitan dialami bukan saja menyebabkan pesakit sengsara tetapi juga meninggalkan kesan ke atas ekonomi apabila dibuang kerja, keluarga dan sosial.


DR Nizar Abd Jalil. - Foto Yazit Razali

Penyakit yang berterusan itu tidak boleh dibiarkan, sebaliknya perlu dirawat dengan berjumpa pakar kesakitan.

Prosedur gelombang frekuensi

Kaedah terbaru yang diperkenalkan di klinik adalah menggunakan suntikan gelombang frekuensi radio dan laser.

Prosedur ini disasarkan terus ke atas kawasan yang menyebabkan kesakitan seperti sakit sendi tanpa perlu menjalani pembedahan yang meninggalkan komplikasi.

"Radio frekuensi adalah teknik popular di luar negara termasuk di Singapura dalam merawat sebarang kesakitan kronik. Keberkesanannya amat tinggi dan tanpa risiko, selain tempoh pemulihan juga lebih cepat," katanya.

Suntikan tepat dijalankan di bawah panduan sinar X selama satu setengah jam di kawasan yang sakit untuk menghentikan kesakitan.

INFO

*Bagaimana frekuensi radio menghentikan kesakitan?

- Arus elektrik yang dihasilkan gelombang radio memanaskan kawasan tisu saraf dan menghentikan isyarat sakit di kawasan terbabit.

*Tahap kelegaan:

- Bertahan sehingga 6-12 bulan.

- Dalam sesetengah pesakit, boleh bertahan sehingga bertahun.

- 70 peratus pesakit yang dirawat mengalami kelegaan.

Berita Harian X