Khamis, 31 Oktober 2019 | 4:01pm
MALAYSIA menjadi destinasi pilihan terutama dalam kalangan pelancong wanita berikutan tahap keselamatan yang baik dan tawaran produk pada harga berpatutan.

Pelancong wanita selesa pilih Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi destinasi pilihan terutama dalam kalangan pelancong wanita berikutan tahap keselamatan yang baik dan tawaran produk pada harga berpatutan.

Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Pelancongan, Makarem Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Azam Mahmood, berkata pemilihan itu juga berdasarkan kepada nilai mata wang yang berdaya saing untuk produk berkualiti.

Katanya, secara lazim sebahagian besar pelancong selesa menghabiskan masa dengan percutian santai selain menikmati keindahan alam yang tidak ada di negara mereka.

“Status negara Islam memberi satu kelebihan menarik pelancong datang ke sini,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas laporan CrescentRating Muslim Women in Travel 2019 yang diterbitkan oleh MasterCard dan CrescentRating. Laporan itu menamakan Malaysia pendahulu senarai 10 negara paling popular sebagai destinasi mesra pelancong wanita Islam.

Sebahagian besar pelancong dari Emiriyah Arab Bersatu, Turki dan Indonesia, masing-masing menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan untuk berbelanja.

Laporan menyebut, pada 2018 kira-kira 63 juta wanita Islam dari seluruh negara berbelanja lebih AS$80 bilion atau RM335 bilion di seluruh dunia.

Sejumlah 45 peratus daripada pelawat Muslim peringkat global pula adalah wanita, tahun lalu dianggarkan sejumlah 28 peratus wanita Muslim direkodkan membuat perjalanan solo.


PENGURUS Penyelidikan dan Pembangunan Pelancongan, Makarem Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Azam Mahmood.

Mohd Azam berkata, kempen promosi jualan murah oleh pengusaha pusat beli belah juga antara faktor menarik lebih ramai pelancong wanita datang berbelanja di sini.

“Kuasa membeli yang tinggi membolehkan mereka mendapatkan produk berjenama mewah pada harga lebih murah berbanding negara lain.

“Pembelian lebih menjimatkan ini menjadikan mereka sentiasa memilih Malaysia sebagai lokasi terbaik mendapatkan barangan berkualiti pada pilihan terkini,” katanya.

Mohd Azam berkata, aliran terkini mendapati kebanyakan pasangan dari negara Asia Barat memilih Malaysia sebagai lokasi berbulan madu dengan memilih pakej penginapan di hotel bertaraf lima bintang.

Katanya, masing-masing memilih pusat peranginan terkemuka dengan pakej pelancongan mewah menerusi perkhidmatan pintu ke pintu.

Beliau berkata, kajiannya mendapati pelancong dari negara berkenaan tidak minat melakukan aktiviti lasak sebaliknya memilih percutian lebih santai dengan berehat bersama keluarga di kawasan penginapan.

“Ada memilih untuk ke Club Med, Cherating, kami sediakan kemudahan sedemikian. Begitu juga menaiki kereta kabel di Langkawi atau Genting Highlands.

“Percutian untuk segmen ke pulau peranginan lazimnya mendapat permintaan menggalakkan daripada pelancong dari Eropah,” katanya.


SEBAHAGIAN besar pelancong menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan untuk berbelanja.

Berita Harian X