Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:01am
KEWUJUDAN hab pendidikan tinggi Pagoh (hptp) turut membantu mengembalikan semula kegemilangan panchor yang pernah dikecapinya suatu ketika dahulu. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KEADAAN pekan panchor yang mendamaikan disamping keindahan panorama tepian Sungai Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PANCHOR juga menjadi tumpuan kepada peminat masakan hidupan sungai seperti udang galah, ikan baung dan keli yang sememangnya disediakan di beberapa warung yang terdapat di kawasan itu. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KEADAAN pekan panchor yang mendamaikan disamping keindahan panorama tepian Sungai Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
REPLIKA udang galah, kapal KD Sayang dan deretan kedai lama di pekan Panchor menjadi saksi bisu kepada sejarah Panchor. - Foto Badrul Kamal Zakaria
KAPAL KD Sayang dan deretan kedai lama di pekan Panchor menjadi saksi bisu kepada sejarah Panchor. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Pancuran darah asal nama Panchor

JIKA anda ke Muar, kunjungan anda pastinya tidak akan lengkap sekiranya tidak ke pekan Panchor, kira-kira 40 kilometer dari bandar itu.

Terletak di Parlimen Pagoh, pekan Panchor adalah destinasi terbaik bagi pengunjung khususnya penggemar haiwan akuatik darat seperti udang galah, ikan baung dan kelah yang pastinya membangkitkan selera.

Lebih menarik hati, sajian yang disediakan oleh beberapa restoran di deretan rumah kedai sepanjang Sungai Muar itu juga turut menghidang panorama alam semula jadi yang menarik terutama kepada mereka yang seharian meronda daerah di raja ini.

Di sebalik khazanah alam semula jadi ini, Panchor juga sebenarnya mempunyai pelbagai sejarahnya yang sendiri apabila ia pernah menjadi sebahagian daripada laluan 'denai penarikan' yang digunakan oleh pedagang dahulu kala yang menjadi penghubung antara pantai Barat dan Semenanjung.

Penduduk, Hanafi Md Taib, berkata pekan atau Kampung Panchor ini dipercayai sudah dibuka sejak 1511 lagi iaitu pada zaman kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis.


PANCHOR juga menjadi lokasi tumpuan penggemar buah-buahan tempatan terutama durian berikutan rasanya yang enak kerana berada di lembangan Sungai Muar dan harganya juga amat berpatutan. - Foto Badrul Kamal Zakaria


PANCHOR juga menjadi lokasi tumpuan pengemar buah-buahan tempatan terutama durian berikutan rasanya yang enak kerana berada di lembangan Sungai Muar dan harganya juga amat berpatutan. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Daripada cerita datuk nenek moyang kami dahulu, Panchor ini diwujudkan selepas kejatuhan Melaka dan ia dibuka oleh rombongan daripada Melaka yang melarikan diri selepas serangan Portugis.

Rombongan ini dipercayai ke Panchor melalui Kesang Tasik dan seterusnya mudik ke kawasan hulu hinggalah ke kawasan yang dapat kita lihat pada hari ini.

“Perkara ini dapat dibuktikan dengan wujudnya makam Sultan Alaudian Riayat Shah di Kampung Raja dan juga sisa runtuhan kubu tentera Melaka di Kampung Brohol yang terletak tidak jauh dari kawasan ini.

Terkorban akibat perselisihan faham

Hanafi yang juga Pengerusi Biro Keselamatan Parlimen Pagoh berkata, asal usul nama Panchor ini sebenarnya diambil daripada perkataan 'pancuran darah' iaitu tragedi daripada pertempuran dua suku terbesar di kawasan ini pada waktu dahulu iaitu orang Melayu dan Bugis.

“Dikisahkan pada suatu ketika seorang Bugis dikatakan mendayung sampan di Sungai Muar sambil bernyanyi. Lagu duet itu kemudiannya disambut oleh seorang ibu muda yang sedang mendodoikan anaknya di rumah yang terletak tidak jauh dari sungai.

"Bagaimanapun, perbuatan itu menimbulkan syak wasangka kononnya sang isteri itu mempunyai hubungan sulit dengan orang Bugis berkenaan yang akhirnya berlaku pertengkaran antaranya dengan si suami wanita yang mendodoikan anak itu.


PANCHOR juga menjadi tumpuan kepada peminat masakan hidupan sungai seperti udang galah, ikan baung dan keli yang sememangnya disediakan di beberapa warung yang terdapat di kawasan itu. - Foto Badrul Kamal Zakaria

“Akhirnya ia melarat dan terjadi pertempuran antara kedua-dua belah pihak dan ramai juga yang terkorban. Akhirnya kejadian pancuran darah itu menjadi sebab kepada nama perkampungan ini yang akhirnya kini dikenali sebagai Panchor. Itu cerita lisan daripada orang dahulu kala," katanya.

Hanafi berkata, selain daripada episod duka itu, Panchor juga pernah mencapai zaman kegemilangannya apabila menjadi pusat pentadbiran di kawasan hulu Sungai Muar ini.

“Pada penghujung 1890-an hingga 1950-an, Panchor pernah menjadi bandar ke dua di daerah Muar yang juga pusat pentadbiran bagi kawasan yang merentangi Pagoh dan ke atas.

"Dahulu di sini mempunyai pelbagai sistem kerajaan seperti mahkamah, pejabat kerajaan, pejabat pos, balai polis dan sebagainya. Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan asas yang baik dan juga kegiatan komersial seperti panggung wayang dan sebagainya.

“Ini kerana pada waktu itu, sistem perhubungan utama di kawasan ini adalah kapal dan Panchor menjadi hentian sama ada orang dari Muar ke Bukit Kepong dan sebaliknya. Pada waktu itu, kawasan ini amat meriah dan maju," katanya.

Destinasi persinggahan utama

Beliau berkata, keadaan ini disebabkan keadaan Panchor seolah-olah terpisah oleh Sungai Muar hingga ia menjadi destinasi persinggahan utama penduduk berikutan kemudahan jambatan seperti pada hari ini masih belum dibina.


PANCHOR juga menjadi tumpuan kepada peminat masakan hidupan sungai seperti udang galah, ikan baung dan keli yang sememangnya disediakan di beberapa warung yang terdapat di kawasan itu. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Selain kapal, pengangkutan utama penduduk itu adalah sampan kecil atau istilah bagi penduduk tempatan dikenali sebagai 'Kotak'. Itulah kenderaan yang membawa penduduk untuk ke hulu atau ke hilir dan juga untuk menyeberang ke sebelah Gersik.

"Kotak ini juga digunakan untuk membawa surat atau dokumen kerajaan dan juga pelbagai barangan seperti makanan, tekstil dan sebagainya yang menjadi keperluan penduduk.

"Banyak kapal yang singgah di kawasan ini tetapi majoritinya adalah berfungsi sebagai pembawa kargo itu hasil bijih di Bukit Kepong atau tanaman kontan seperti kelapa sawit dan getah," katanya.

Hanafi berkata, selain daripada sejarah silamnya yang panjang, Panchor yang kini mempunyai kira-kira 3,000 penduduk juga terkenal sebagai destinasi pelancongan terutama berkaitan dengan agro-tourism.

"Tanah sekitar kawasan ini amat subur dan tidak hairanlah ia menjadi tumpuan penggemar buah kerana di sini terdapat pelbagai tanaman seperti durian, manggis, duku, langsat dan sebagainya.

“Selain itu, sajian seperti mi bandung udang galah dan ikan baung juga menjadi buruan penggemar makanan air tawar itu. Tidak seperti lokasi lain, udang galah dan ikan baung yang ditangkap di sekitar sungai di Panchor ini mempunyai rasanya tersendiri.

"Ini kerana kedudukannya di pertengahan sungai menyebabkan campuran air masin, payau dan tawar menyebabkan ikan atau udang galah yang dihasilkan di sini lebih enak rasanya," katanya.

Hanafi berkata, ketika musim udang galah juga turut menyebabkan ramai pemancing akan berkampung di tebing Sungai Muar ini bagi menangkap hidupan air eksotik itu bukan sahaja disebabkan keenakan rasanya tetapi juga harganya yang mahal di pasaran.

Panchor juga pernah mengalami zaman suramnya apabila pernah dilabel sebagai pekan koboi suatu ketika dahulu terutama pusat pentadbiran dipindahkan ke Pekan Pagoh yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu.

"Bagaimanapun ia kembali bangkit terutama perkembangan agro-pelancongan di kawasan ini dan juga penubuhan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP). Ini kerana sebahagian hab universiti itu terletak dalam kawasan mukim Panchor.

"Ramai pelancong mengambil kesempatan singgah ke kawasan ini terutama musim buah dan juga ketika mereka yang ingin mengunjungi lokasi bersejarah seperti makam Sultan Alaudin Riayat Shah, Kubu Brohol, makam Panglima Mat Berani dan juga Galeri Darurat Bukit Kepong," katanya.

INFO:

Pekan Panchor

* Pekan kecil terletak dalam daerah Muar

* Bersebelahan sebelah Sungai Muar.

* Dulu sebatang sungai pelabuhan sibuk dengan hasil pertanian dan hasil perladangan

* Jalan jaringan utama, bandar ini berkembang pada 1970

* Selepas pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan dalam 1980, Panchor merosot dalam kepentingan seperti penurunan *

* Pada 2006 dan awal 2007, Panchor terjejas banjir terburuk di Johor

1424 dibaca
Berita Harian X