Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:30am
AYU Noraini bersama suami bergambar dengan berlatarbelakangkan Tasik Wakatipu di Queensland. Foto Ihsan Zulkarnain Aswan

Berbasikal jelajah negara kiwi

BERCUTI sambil mengayuh basikal, idea spontan itu timbul ketika Ayu Noraini Mohd Yunos bercuti bersama suaminya, Zulkarnain Aswan ke Christchurch, New Zealand, baru-baru ini.

Mereka sampai ke negara Kiwi itu seminggu selepas peristiwa berdarah yang menyebabkan ramai terkorban dan parah dalam serangan ke atas dua masjid di New Zealand itu dengan perasaan berbelah-bahagi mengenai keselamatan sepanjang berada di situ.

Ayu Noraini yang juga ahli Kelab Berbasikal Panther Melaka menjelaskan sebelum ini beliau bercuti menaiki bas atau van di luar negara, tetapi ketika ke New Zealand ingin mencuba kelainan.


AYU Noraini bergambar dengan Natasha dan ibunya yang berasal dari Jeddah ketika mengunjungi Masjid An Nur, Christchurch. Foto Ihsan Zulkarnain Aswan


AYU bergambar dengan Lucy sambil memegang banner Kelab Berbasikal Panther Melaka. Foto Ihsan Zulkarnain Aswan


ZULKARNAIN bersama seorang penduduk Christchurch ketika berbasikal di New Zealand. Foto Ihsan Zulkarnain Aswan

“Ketika bersembang mengenai percutian kali ini, saya terus memberitahu kenapa tidak mengayuh basikal kerana masing-masing menggemari aktiviti berkenaan.

“Pada masa sama, saya adalah peminat dan pengikut violetbiru, iaitu wanita Melayu Malaysia berbasikal seorang diri di New Zealand,” katanya.

Selepas penat menempuh penerbangan panjang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan transit di Singapura serta Brisbane, mereka akhirnya sampai di Christchurch, bersama basikal yang mudah dipasang semula.

“Kami berkayuh ke Masjid An Nur, bagaimanapun tidak dapat memasuki masjid atas sebab-sebab keselamatan. Tambahan pula, ramai anggota polis sedang berkawal.

“Kebetulan ketika itu Jumaat, ramai pergi solat dan kawasan persekitaran dipenuhi pemberita dan polis. Kami hanya sempat melihat kawasan masjid dipenuhi bunga dan kad ucapan.

“Walaupun sekadar melalui kawasan berkenaan, kami turut sedih bila mengenangkan peristiwa yang dialami penduduk Islam Christchurch, malah bukan Islam turut bersimpati,” katanya.

Dari Christchurch, Ayu Noraini dan suami berkayuh ke Methven di mana mereka diuji dengan laluan mendaki George Rakaia, sejauh 20 kilometer (km).

“Penat dan sukar sungguh pendakian itu. Mahu tak mahu, kami terpaksa menempuhnya kerana ia satu-satu jalan (lebuh raya) ke Methven.

“Kepenatan lenyap seketika apabila melihat keindahan perkampungan tradisi di sepanjang perjalanan. Memandangkan hari mulai gelap, kami singgah di kedai serbaneka di Methven dan disapa seorang warga New Zealand yang memperkenalkan dirinya, Lucy Cookson.

“Dia kemudian mempelawa kami bermalam di rumahnya. Sambil menikmati makan malam, kami berbual-bual dan mendapatkan maklumat terkini cuaca New Zealand,” katanya.

Keesokannya, seawal jam 6 pagi (waktu tempatan), pasangan itu menyambung kayuhan ke Resoute, namun dimaklumkan bandar berkenaan dilanda ribut, menyebabkan laluan ditukar ke Arshburton.

“Sama seperti laluan ke Methven, Arshburton tidak kurang hebatnya terpaksa. Masih laluan berbukit, namun keindahan bukit bukau membuatkan kami berdua begitu asyik melihatnya.

“Di pertengahan jalan kami singgah di Tasik Wakatipu dan sempat bergambar bagi mengabadikan detik kenangan-kenangan. Kami juga menikmati makan tengah hari dengan memasak ala kadar bagi mengalas perut,” katanya.

Zulkarnain berkata, purata mereka mengayuh sekitar 80 km sehari, malah terpaksa mengurangkan separuh daripadanya jika laluan bermasalah dan cuaca tidak mengizinkan.

“Kami bermalam di setiap pekan kecil yang disinggahi sama ada di hotel bajet mahupun berkhemah. Di Hororata, Queenstown kami memasang khemah dan turut disertai beberapa pengembara lain,” katanya.

Bak kata pepatah, jauh berjalan luas pandangan, ketika berada di Dunedin, Ayu Noraini dan Zulkarnain disapa satu keluarga dari England, Kareen Maccan.

“Mereka begitu teruja apabila melihat kami suami isteri berbasikal dan menurut Kareen amat jarang dilakukan kerana biasanya berkumpulan.

“Kami juga menemui pelancong solo Jepun dan Israel, sambil menikmati juadah makan malam, sempat bertukar-tukar fikiran. Begitu juga penduduknya sangat peramah dan sentiasa membantu bila kami arah jalan ke lokasi yang ingin ditujui,” katanya.

Antara lokasi yang menjadi idaman kami untuk diterokai di negara itu adalah Fox Glacier, terletak di Taman Negara Westland Tai Poutini di Pantai Barat Pulau Selatan New Zealand, iaitu salah satu glasier di dunia yang boleh diakses dan menjadi tarikan utama pelancong.

Malangnya, hasrat pasangan itu untuk mengunjungi Fox Glacier yang memiliki pemandangan yang indah tidak kesampaian kerana ketika sampai di sana jambatan yang menyambung ke lokasi berkenaan, runtuh.

“Mungkin ribut yang melanda Resoute merebak ke situ. Bagi menyedapkan hati, kami hanya melayari internet untuk melihatnya,” katanya.

Sehari sebelum pulang ke tanah air, mereka sempat singgah dan solat Maghrib di Masjid An Nur, walaupun dikawal ketat pihak berkuasa.

“Tercapai juga impian untuk melihat sendiri kesan peristiwa berdarah di masjid berkenaan. Kami sempat berbual dengan Natasha dan ibunya yang berasal dari Jeddah, mereka berdua sudah bermastautin di New Zealand.

“Mereka memberikan kain selendang sebagai cenderahati dan saya pula menyerahkan kain sepanduk Kelab Berbasikal Panther Melaka,” katanya.

Sehari berada di bandar Christchurh, mereka bersiar-siar mengunjungi taman bunga dan beberapa kawasan ikonik di situ.

INFO

Mengenai New Zealand

* Sebuah negara kepulauan di barat daya Lautan Pasifik

* Mengandungi dua pulau besar utama (Pulau Utara dan Pulau Selatan)

* Masyarakat Maori menamakan New Zealand sebagai Aotearoa yang bermaksud 'Tanah Berawan Putih Yang Panjang'.

* Maori yang menjadi kaum minoriti terbesar

Berita Harian X