Ahad, 28 Julai 2019 | 10:15am
Keindahan Kampung Raga pada waktu malam seperti sebuah lukisan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Nyaman di Kampung Raga

Panorama Kampung Raga terletak di daerah Yan, Kedah terutama pada waktu malam, umpama sebuah lukisan, begitu mempesona.

Desa indah dipagari dusun buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis dan langsat ini digelar kampung dalam dusun dalam kalangan pengunjung, selain menyediakan perkhidmatan inap desa khusus bagi pelancong.


Sungai Raga memenangi pertandingan sungai paling bersih peringkat kebangsaan tiga tahun berturut-turut. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Selain itu, Kampung Raga yang terletak berdekatan Gunung Jerai, menampilkan pemandangan indah pada awal pagi, sejuk mata memandang. Lebih menarik, setiap rumah di desa berkenaan, disalurkan dengan bekalan air mentah, sumber dari Gunung Jerai, sekali gus membolehkannya terus diminum dari paip dan anda akan menggigil kesejukan ketika mandi.

Bukan sahaja buah-buahan boleh dinikmati terus dari pohonnya dan pesona pemandangan indah serta kedamaian desa hingga mampu menarik kehadiran pelancong bercuti ke destinasi berkenaan, sebaliknya nilai tambah lain adalah Sungai Raga menjadi lubuk mandi-manda, selain itu airnya bersih, boleh diminum terus kerana sumbernya air dari gunung.


Jalan tar di persekitaran kampung dan kebersihannya menggamit kedatangan pelancong asing. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pengerusi Homestay Kampung Raga, Ahmad Fisal Md Thahir, berkata Sungai Raga menjadi kebanggaan penduduk desa berkenaan apabila pernah memenangi pertandingan sungai paling bersih, peringkat kebangsaan, tiga tahun berturut-turut.

Katanya, air Sungai Raga berpunca dari mata air Gunung Jerai. Justeru, air sungai berkenaan selamat untuk diminum terus.

Pengunjung tempatan mahupun pelancong yang bertandang ke Kampung Raga diberi sambutan tradisional apabila peralatan muzik seperti nafiri atau serunai panjang dan gendang dimainkan sebagai mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Kira-kira 100 meter (m) dari jalan utama masuk ke desa, pengunjung diarak dan akan melintasi produk pelancongan Kampung Raga iaitu Sungai Raga. Pasti terpesona dengan keindahan dan kejernihan air sungai berkenaan.

Lazimnya, belum sempat letak beg di inap desa, mereka sudah tidak sabar untuk mandi-manda di sungai berkenaan.

“Ketika ini juga musim buah terutama durian, rambutan dan langsat. Boleh dikatakan hampir di setiap rumah mahupun inap desa, menyajikan durian kepada tetamunya terutama daripada jenis durian kampung atau durian kahwin yang diberi nama sekaya dan aiskrim.


Antara rumah penduduk kampung yang menjadi pilihan pengunjung sebagai inap desa. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Apabila berjalan sekitar desa, apabila ada durian luruh, boleh terus dimakan di situ.

“Begitu juga dengan rambutan dan langsat, ambil galah, jolok sahaja serta nikmati keenakan buah-buahan berkenaan terus dari pohonnya.

Paling penting, keindahan alam semula jadi, kampung dalam dusun, Sungai Raga dan keramahan penduduknya, sentiasa menggamit kehadiran pelancong asing menyewa inap desa di kampung kami,” kata Ahmad Fisal.

Kehadiran penulis bersama sekumpulan pengamal media dari Kuala Lumpur ke Kampung Raga adalah dalam rangka lawatan Ekspresi Media Lembah Bujang 2019 anjuran bahagian komunikasi korporat, Tourism Malaysia Putrajaya, diketuai Timbalan Pengarah Kanan, Abdul Rauf Abu Hassan, dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Utara.


Kampung Raga turut dikenali sebagai kampung dalam dusun kerana dipenuhi pohon buah-buahan tempatan. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Ahmad Fisal berkata, lawatan ke ladang kuda, merentasi hutan ke Gunung Jerai dan aktiviti memancing serta snorkeling ke Pulau Songsong, Pulau Telor, Pulau Bidan dan Pulau Bunting sangat digemari pelancong terutama dari Korea Selatan, Jepun, China, Amerika Syarikat dan Kazakhstan untuk terus memilih Kampung Raga sebagai destinasi percutian mereka.


Demonstrasi penyediaan kuih karas sajian tradisional di utara tanah air. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

INFO

Kampung Raga

* Nama asal Kampung Keluarga

* Dibuka pada 1720 oleh Tok Akil

* Tempahan inap desa, layari Facebook: homestay kampung raga

632 dibaca
Berita Harian X