Khamis, 11 Julai 2019 | 9:46pm
Portal halalholiday.com.

Portal halalholiday.com pacu sektor mesra pengembara Muslim

KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merangka strategi menerusi agensi Pusat Pelancongan Islam (ITC) bagi meletakkan Malaysia dalam kedudukan negara mesra pelancong Muslim terbaik dunia.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata antara pelan inisiatif berkenaan iaitu menjadikan pengajian sekolah pondok sebagai tarikan pelancong selain memperkasa pengembaraan ke masjid seluruh negara serta pengiktirafan hotel mesra pelancong beragama Islam.

Beliau berkata, ITC dan institusi pengajian tinggi tempatan sedang mengkaji untuk memperkenalkan sekolah pondok sebagai produk pelancongan pendidikan (edu-tourism)

Katanya, institusi berkenaan berpotensi menarik kedatangan pelajar dan pelancong untuk mempelajari ilmu Islam menerusi pengajian jangkamasa panjang dan pendek.

"ITC sedang membangunkan modul pengembaraan masjid bagi meningkatkan pengetahuan serta memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung.

“Inisiatif ini sudah berjalan sejak 2016 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan satu persidangan mengenainya akan dianjurkan dan dijadual berlangsung Oktober ini.

"Selain itu bagi mencapai sasaran itu, ITC akan melancarkan hotel mesra Muslim yang mendapat pengiktirafan kerajaan tahun ini. Pengenalan hotel kategori berkenaan bertujuan memperkukuhkan ITC sebagai kuasa besar dalam sektor pelancongan Islam sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hub pelancongan mesra Muslim dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran portal halalholiday.com pertama dunia, di ibu kota, hari ini. Teks ucapan dibaca Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Datuk Seri Abdul Khani Daud.

Portal dilancarkan agensi pelancongan dan pengembaraan POTO Travel & Tours bertujuan melancarkan urusan perjalanan dengan memilih kemudahan penginapan dan pilihan makanan bersifat mesra pelancong beragama Islam.

Penyelidikan bersama Mastercard dan Crescentrating bertajuk Indeks Penerbangan Muslim Global, mendapati 140 juta pelancong Muslim antarabangsa. Jumlah itu dijangka mencapai 230 juta menjelang 2026.

Berdasarkan Laporan Perjalanan Muslim Digital pada 2017 mencatatkan, pengembara Muslim di seluruh dunia membelanjakan AS$45 bilion (RM184 bilion). Ini termasuk nilai pembelian perjalanan dalam talian yang dijangka mencatatkan perolehan berjumlah AS$30 bilion atau RM123 bilion.

Katanya, perolehan itu mencerminkan peluang sektor pelancongan Muslim berdaya saing dan memerlukan promosi berterusan.

Tahun lalu, jumlah pelancong Muslim dari serata dunia ke negara ini meningkat lebih 20 peratus iaitu 5.2 juta pelancong dengan jumlah keseluruhan seramai 25.8 juta. Peningkatan itu mencacatkan sasaran kedatangan pelancong sehingga 30 juta pelancong pada 2020.

Pertumbuhan sektor pelancongan turut didorong tawaran penerbangan pada harga berdaya saing menerusi teknologi digital. Sokongan itu menyumbang kepada peningkatan pelancong dunia berjumlah 1.3 bilion setahun.

Beliau berkata, inisiatif memperkenalkan portal halalholiday.com antara platform terbaik bagi memenuhi keperluan pelancong pelbagai generasi. Konsepnya mudah dan melancarkan urusan tempahan selain tawaran perkhidmatan penginapan terbaik.

Berita Harian X