Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:59pm
- Foto Hiasan

Umat Islam di Russia, Greenland berpuasa lebih lama

IBADAH puasa bagi orang Islam dengan menahan diri daripada makan dan minum di siang hari, selain memperbanyakkan amalan mengingati Allah.

Kaedah berpuasa sebenarnya sama mengikut syarak walau di mana saja anda berada. Namun yang membezakannya adalah tempoh berpuasa di sesebuah negara itu.

Tempoh waktu berpuasa paling panjang di seluruh dunia adalah antara 11 hingga 22 jam. Bagaimanapun, jangka waktu itu lazimnya berbeza mengikut kedudukan geografi di mana individu itu menetap.

Berlaku perbezaan waktu ketara dalam menjalani ibadah puasa kerana mereka perlu menahan diri daripada lapar dan dahaga bermula daripada detik terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Di negara kita misalnya, wujud perbezaan antara Malaysia Barat dan Timur. Lazimnya umat Islam di Malaysia Timur perlu bersahur dan berbuka sekitar satu jam lebih awal berbanding Malaysia Barat. Bagaimanapun tempoh berpuasa tetap sama, iaitu kira-kira 14 jam.

Lokasi tentukan tempoh puasa

Keunikan tempoh berpuasa mengikut lokasi itu mencerminkan kegigihan umat Islam itu sendiri ketika menjalani ibadah tanpa mengira tempoh waktu dalam meneruskan tuntutan Rukun Islam ketiga.

Iceland yang terletak paling utara dunia kali ini menjalani ibadah puasa paling panjang iaitu sekitar 22 jam. Umat Islam di sana hanya ada dua jam sahaja untuk menikmati masa berbuka dan bersahur, sebelum meneruskan ibadah puasa pada hari berikutnya.

Di Sweden pula, tempoh menahan diri daripada lapar dan dahaga adalah sekitar 20 jam. Di negara berkenaan, umat Islam mempunyai waktu empat jam sahaja untuk makan dan minum.

Alaska yang terletak di utara Benua Amerika pula kini mengalami cuaca panas dan waktu berpuasa di sana lebih 19 jam, Seramai 3,000 umat Islam yang sebahagian besar daripada mereka dalam kalangan pendatang berpuasa dalam tempoh lama.

Manakala negara di hemisfera selatan pula sebaliknya, umat Islam di negara berkenaan hanya perlu berpuasa mengikut putaran waktu terbit dan terbenamnya matahari sekitar lapan hingga 12 jam. Tempoh malam yang lama memberi peluang mereka menjalani ibadah pada tempoh singkat.

Fakta:

Negara kutub utara menjalani ibadah puasa lebih panjang

*Nuuk, Greenland iaitu 21 jam

* Stockholm, Sweden (19.5 jam)

* Moscow, Russia (19 jam)

* London, United Kingdom (18.5 jam)

* Astana, Kazakhstan (18.5 jam)

* Brussels, Belgium (18.5 jam)

* Beijing, China (16.5 jam)

* New York, Amerika Syarikat (AS) (16.5 jam)

* Tokyo, Jepun (16 jam)

* Kabul, Afghanistan (16 jam)

* Rabat, Maghribi (16 jam)

* Islamabad, Pakistan (16 jam) dan Kaherah, Mesir (15.5 jam).

Negara hemisfera selatan mempunyai waktu berpuasa singkat

* Antartika sekitar 8 jam,

* Argentina (9 jam),

* Afrika Selatan (10 jam),

* New Zealand (11 jam 21 minit),

* Australia (11 jam 46 minit), Chile (11 jam 52 minit)

* Brazil (12 jam 28 minit).

1088 dibaca
Berita Harian X