Ahad, 5 Mei 2019 | 11:00am
Pemandangan House Boat di Tasik Kenyir. - Foto Aswadi Alias
Pemandangan House Boat di Tasik Kenyir. - Foto Aswadi Alias

Tasik dikelilingi hutan tropika tampil keunikan Kenyir

Tasik Kenyir ibarat syurga bagi pencinta alam semula jadi. Dikelilingi ratusan pulau kecil dengan tumbuhan subur hutan hujan tropika sambil menyaksikan pemandangan air tasik kehijauan, suasana mendamaikan sebegitu antara terapi terbaik untuk menikmati ketenangan.

Keindahan panorama dengan air terjun, gua, gunung, taman indah dan santuari haiwan liar di tasik berkenaan menggamit pelancong untuk terokai kawasan itu. Keunikan flora dan fauna yang kaya dengan oksigen segar di tasik ini sesuai dijadikan lokasi percutian menarik buat warga kota yang sentiasa sibuk.

Di sebalik keindahan tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara yang terletak di hulu Sungai Kenyir, Terengganu ini tersimpan ribuan khazanah dan sejarah tersendiri.


Pemandangan di Tasik Kenyir. - Foto Aswadi Alias

Banyak tarikan pelancongan

Pembangunan yang dibawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) membawa banyak kemudahan kepada pengunjung.

Infrastruktur, tempat rekreasi dan aktiviti riadah serta pelbagai acara menghidupkan lagi suasana pelancongan di Tasik Kenyir. Ketika mengikuti program jelajah Ekspresi Media Kenyir (EMK) 2019 bersama 23 pengamal media anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini, penulis disajikan dengan ratusan maklumat menarik mengenai kewujudan Tasik Kenyir.

Pada asalnya tasik ini diwujudkan untuk tujuan kawasan tadahan air sekitar 1980-an. Bagaimanapun paras air di Sungai Kenyir naik mendadak berikutan pembinaan empangan Jenagor hingga menenggelamkan sembilan perkampungan, hutan, bukit dan gunung. Keadaan itu sekali gus terbentuknya 340 buah pulau yang mempunyai keistimewaan tersendiri.


Pemandangan di Tasik Kenyir. - Foto Aswadi Alias

Rumah bot, lari dari alam ‘maya’

Selepas pembinaan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud yang siap pada 1985, tasik keluasan 2091.99 kilometer persegi ini turut mengubah landskapnya. Masih kekal sebagai tempat tadahan air, ‘taman permainan atas air’ ini menarik perhatian pemancing ikan air tawar, pengembara hutan, pendaki gunung dan pengkaji dan penyelidik hinggakan Tasik Kenyir menjadi produk pelancongan menarik di Terengganu wajib dikunjungi.

Uniknya pengembaraan ke Tasik Kenyir tidak perlu penginapan hotel bertaraf lima bintang, sebaliknya cukup hanya bermalam di atas rumah bot atau ‘houseboat’. Lengkap dengan segala keperluan bercorak santai, sememangnya ia pengalaman baharu yang menarik buat penulis.

Terlebih dulu, penumpang akan menaiki rumah bot dari jeti Pengkalan Gawi sebelum bergerak untuk berlabuh ke beberapa lokasi antaranya air terjun Sungai Lasir dan air terjun Saok untuk bermalam. Rumah bot yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang ini bergerak perlahan dan stabil hingga tidak terasa lambungan ombak.

Menariknya, penginapan sebegini membawa pengunjung jauh seketika dari dunia ‘maya’. Tanpa telefon pintar kerana tiada perkhidmatan jalur lebar dan internet disediakan, penumpang boleh meluangkan masa lebih berkualiti dengan bertukar pandangan dan buah fikiran.

Tidak hanya itu, rumah bot turut menyediakan permainan tradisional seperti congkak, dam dan karom, malah penumpang boleh lebih berhibur bersama menerusi karaoke.

Tiga hari berkampung di Tasik Kenyir, penulis sempat dibawa menjelajahi ke beberapa pulau yang menjadi tarikan utama pelancong iaitu Gua Bewah, Taman Herba, Taman Orkid dan Kelah Santuari. Kesemua lokasi berkenaan terletak di pulau berlainan, justeru memerlukan perjalanan menggunakan bot laju antara 30 hingga 60 minit.


Melawat Gua Bewah- Foto Aswadi Alias

Rangka manusia masih misteri

Sebaik tiba di lokasi berkenaan, pengunjung perlu berjalan merentasi rentis (laluan buatan manusia), denai (laluan haiwan liar) dan jambatan gantung sejauh antara dua hingga tiga kilometer (km) jarak perjalanan malah mendaki dan memanjat ratusan tangga yang memakan masa sekurang-kurangnya 45 minit.

Salah satu lokasi penuh misteri dikunjungi penulis ialah Gua Bewah, iaitu gua terbesar bukit batu kapur di Tasik Kenyir. Memerlukan stamina yang cukup, pengunjung perlu memanjat sehingga 200 anak tangga untuk menuju ke terowong gua pada ketinggian 40 meter dari paras air.

Menurut Penolong Pengurus Pelancongan Alam Sekitar, Khairul Abu Bakar, bewah bermaksud kenduri, iaitu merujuk aktiviti penduduk kampung sekitar gua itu dulu yang sering meminjam keperluan dapur dan pinggan mangkuk daripada ‘penghuni misteri’ untuk mengadakan majlis kenduri.

“Di puncak gua pengunjung dapat menyaksikan artifak primitif yang digunakan ketika Zaman Batu seperti periuk, kapak dan peralatan dapur. Lebih misteri Gua Bewah turut menyimpan rangka manusia purba tertua yang berusia kira-kira 16,000 tahun.

“Walaupun kajian rangka ditemui pada 2009 adalah remaja perempuan berusia 16 tahun, tetapi ia diberi gelaran Bewah Man. Sepanjang terowong gua, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai aneka rupa stalaktit dan stalagmite yang terbentuk secara semula jadi,” katanya.

Sebelum itu, penulis turut merentasi denai sejauh 1.7 km untuk menyaksikan sebatang pokok melunak yang dianggarkan berusia 300 tahun. Satu-satunya pokok bersaiz mega di Tasik Kenyir, ia juga dikatakan tumbuhan paling besar di Semenanjung dengan ukur lilit 22 orang dewasa dan tinggi melebihi 30 meter.

Sepanjang perjalanan menuju ke pokok melunak, ia agak menakutkan kerana penulis ditemukan dengan beberapa bekas tapak laluan haiwan liar seperti tapir, harimau dan juga gajah. Di sini ada taman dipenuhi flora dan fauna di Taman Orkid dan Taman Herba. Taman Orkid merangkumi tiga pulau kecil iaitu Hulu Selimbar, Hilir Selimbar dan Pulau Belit ditubuhkan sebagai hub penanaman orkid, pemeliharaan dan penyelidikan.


Melawat Gua Bewah. - Foto Aswadi Alias

Pengurus Taman Orkid, Zalani Endut, berkata taman itu mengekalkan ekosistem semula jadi untuk membolehkan keajaiban alam untuk terus hidup dan membiak. Lebih 3,000 spesis orkid membentuk landskap berwarna-warni. Berbeza Taman Herba di Pulau Sah Kecil, ada tumbuhan herba terapeutik yang mempunyai pelbagai fungsi untuk perubatan tradisional.

Lebih 200 pokok herba antaranya, tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, mas cotek dan Mahkota Dewa ditanam.

Pengunjung boleh menikmati air rebusan kacip fatimah, tongkat ali dan mahkota dewa dipercayai banyak khasiat untuk kesihatan. Selain itu, dua lokasi air terjun, iaitu Air Terjun Lasir dan Air Terjun Saok. Mengambil kesempatan penulis sempat melakukan aktiviti mencabar antaranya ‘flying drop’ sejauh 300 meter. Tidak terlalu ekstrim tetapi ia masih menguji tahap keberanian.

Setiap puncak gunung di Tasik Kenyir pula menyediakan cabaran berlainan, Bagi pendaki yang ingin menguji daya ketahanan dan stamina, boleh mencuba menakluk gunung di sini kerana pemandangan indah dan panoramanya ternyata luar biasa dari puncaknya.

INFO: Tasik Kenyir

  • Tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara
  • Keluasan - 2091.99 kilometer persegi
  • Dikelilingi hutan hujan tropika tertua di dunia
  • Keluasan membabitkan bahagian barat Kelantan dan selatan Pahang, malah menjadi pintu masuk alternatif ke Taman Negara
  • Siap dibina pada 1988.
  • Ada 340 pulau

    Lokasi utama wajib dilawati :-
    - air terjun Lasir, air terjun Saok, Air Terjun Pertuang dan air terjun Tembat
    - Gua Bewah, Gua Taat,
    - Gunung Chergau - Pulau Chergau terbesar di Tasik Kenyir
    - Gunung Lawit - puncak tertinggi (1.519 meter dri paras laut)
    - Gunung Gagau - puncak kedua tertinggi (1,376 meter dari paras laut).
    - Pulau Bayas, Sumas, Jelatang, Batu Pipit,

    Kenyir Island Hoping (KIH)
    - Taman Rama-rama (Pulau Lubuk Geras - lebih 100 jenis bunga bungaan dan pokok renek
    - Taman Herba (Pulau Sah Kecil - 200 jenis pokok herba tradisional)
    - Taman Orkid (Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar, dan Pulau Belit - menanam puluhan spesis orkid

    Pusat santuari
    - Santuati Kelah (terletak di Sungai Petang dan dibuka dari Mac hingga Oktober) - Santuari Gajah (terletak di Sungai Telemong)

  • Berita Harian X