Sabtu, 4 Mei 2019 | 2:22pm
Kemudahan di Bung Bratak yang siap dibangunkan sepenuhnya.

Bung Bratak tapak bersejarah ekopelancongan Borneo

Pendakian 400 meter ke kawasan puncak Gunung Bung Bratak, Bau, Sarawak berhampiran Kampung Tembawang Sauh boleh dikatakan pengembaraan berbaloi.

Bagi yang tidak pernah mendaki ke Bung Bratak, anda pasti terpegun melihat pemandangan indah dari puncak gunung itu, selain menikmati kesegaran udara hutannya.

Namun, yang paling menarik adalah menyelami kisah di bekas petempatan Bidayuh penuh bersejarah itu, yang kini dinamakan sebagai Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC).

Menurut Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak, Datuk Peter Minos, lebih 750 tahun lalu, sekumpulan Sirauh dari Sungkong (sekarang tinggal di pedalaman Kalimantan Barat) tinggal di Bung Bratak untuk mendapatkan tanah yang mencukupi bagi tujuan menanam padi.

“Ini adalah sejarah dan sesuatu yang unik. Sebanyak 35 kampung dari kumpulan Bidayuh Jagoi-Bratak dan Lundu adalah berasal dari Bung Bratak.

"Malah, sebuah lagi kampung, iaitu Kampung Bowang di Penrissen, termasuk lima lagi kampung di kawasan Jagoi Babang yang terletak di Kalimantan Barat berhampiran Kampung Serikin juga datang dari Bung Bratak," katanya.


Suasana indah di puncak Bung Bratak.

Nikmati panorama alam

Sementara itu, BBHC yang dibangunkan dan diuruskan oleh Persatuan Warisan Bung Bratak kini sudah dilengkapi kemudahan seperti dua buah rumah panjang (sebuah untuk penginapan dan sebuah sebagai dewan persidangan, muzium mini dan pejabat), Baruk (rumah bulat tradisional Bidayuh), dewan makan dan dapur.

Seni binanya juga menggunakan reka bentuk tradisional Bidayuh yang unik, yang menelan kos RM8 juta di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

Minos berkata, BBHC mula dibuka kepada orang awam pada 1 April lalu, untuk menikmati segala kemudahan yang ada serta alam semula jadinya seperti hutan, udara segar gunung, air terjun, mata air segar, laluan hutan tradisional, pemandangan atas gunung yang indah serta flora dan fauna.

Segala-galanya boleh dinikmati di BBHC pada harga yang berpatutan seperti penginapan berserta makanan dan minuman RM100 seorang untuk satu malam bagi rakyat Malaysia dan RM200 bagi pelawat asing.

“Hasrat kami untuk melihat pengunjung tempatan dan pelancong ke BBHC gembira menikmati pengalaman mereka berada atau tinggal di sini, sebuah pusat ekopelancongan yang bersejarah dan mempunyai kelas tersendiri," katanya.


Beberapa produk tradisional Bidayuh yang dipamerkan di Muzium Mini Bung Bratak.

Laluan kenderaan ke puncak gunung

Selain trek pendakian, BBHC juga boleh diakses menggunakan kenderaan kerana ia mempunyai jalan menuju ke puncak gunung dan tempat letak kenderaan di puncak gunung, yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan kos RM5 juta.

Malah, Pejabat Daerah Bau dan Majlis Daerah Bau juga sudah menaik taraf jalan lama menuju ke BBHC dan tempat letak kenderaan di bawahnya.

Menurut Minos, kerja membangunkan BBHC amat sukar kerana terletak 1,000 kaki di puncak gunung, iaitu sebelum jalan dibina, semua peralatan dan bahan binaan perlu diangkat menggunakan tulang empat kerat.

Contohnya, lebih 500 tan kayu belian diangkat naik ke puncak gunung, belum lagi simen, siling dan bahan binaan berat yang lain," katanya.

BBHC juga mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak bersejarah di puncak gunung yang pertama dibangunkan menjadi pusat ekopelancongan di Borneo.

188 dibaca
Berita Harian X