Ahad, 28 April 2019 | 10:00am
ROMBONGAN lawat tugu memorial yang mengorbankan 116 penduduk Kampung Ahmici, Bosnia-Herzegovina.
PENULIS sempat merakamkan panorama indah di Air Terjun Vodopad dalam perjalanan dari Bosnia ke Croatia.
MENAIKI bot guna kuasa elektrik di Taman Negara Plitivice, Zegred, Croatia.
JAMBATAN di Mostar dibina semula selepas musnah dalam peperangan Bosnia-Croatia.

Balkan indah bagaikan lukisan

CANTIK memukau, keindahan bagaikan lukisan itulah yang dapat saya gambarkan sepanjang mengembara di enam negara di wilayah Balkan selama 12 hari bermula 2 April lalu.

Kalau orang bertanya negara mana di Balkan yang paling menarik, bagi saya semuanya cantik, masing-masing ada keunikan tersendiri yang sukar dibandingkan.

Keindahan alam semula jadi, tembok dan istana lama, menggambarkan kegemilangan Kerajaan Uthmaniah dan Byzantine, patung pemimpin menjadi simbol kemegahan seperti Alexander The Great antara tempat tumpuan pelancong.

Keindahan alam semula jadi seperti gunung-ganang berkabus masih ada yang diliputi salji, cerun dalam, landasan kereta api, jambatan, terowong meredah ke dalam gunung dan bukit membuktikan besarnya tenaga manusia untuk membinanya.

Air sungai jernih berwarna hijau, rumah di lereng bukit dengan kawasan bercucuk tanam di sekitarnya membuatkan kita kagum dengan keagungan ciptaan Tuhan.


PENULIS di Taman Negara Plitivice di Zagreb, Crotia.

Rasanya rugi jika terlelap walaupun sekejap di dalam bas yang membawa 33 orang ahli rombongan menyusuri bandar dan perkampungan di enam negara Balkan itu.

Seorang peserta anggota rombongan mengatakan, kami sebenarnya melawat 12 negara berikutan kawasan sempadan di sesetengah negara seperti Albania yang terpisah kembali bercantum selepas melewati Macedonia dan Kosovo.

Begitu juga Croatia yang sempadannya kembali bercantum selepas dipisahkan Montenegro dan Bosnia-Herzegovina selain Istanbul, Turki yang menjadi tempat transit kami sebelum ke Balkan.

Pengembaraan ke Balkan bermula di Tirana, Albania. Kedatangan kami disambut pemandu pelancong, Amira Softic, yang berasal dari Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.

Sudah masuk musim bunga, tetapi perubahan cuaca tidak menentu memaksa kami memakai baju tebal. Kedinginan di Tirana tidak menghalang kami menjejaki kesan sejarah dengan bantuan penerangan pemandu pelancong.


ROMBONGAN di depan patung Alexander The Great di Macedonia.

Hari pertama di Albania yang majoriti penduduknya beragama Islam kami menaiki bot menyusuri Tasik Ohrid, rasa penat itu hilang selepas bermalam di sebuah hotel berdekatan tasik itu.

Kami menikmati keindahan tasik pada sebelah paginya sebelum bertolak ke Skopje, Macedonia.

Perjalanan dari satu destinasi ke destinasi memang agak lama, tetapi ada perhentian untuk kita singgah berehat, minum untuk menghangatkan badan dan lain-lain kegiatan sesuai. Perjalanan dalam cuaca yang sejuk memang mencabar, terutama kepada golongan berusia.

Ketika berada di Macedonia, Kosovo, Montenegro, Sarajevo, Mostar dan Bosnia-Herzegovina kelihatan banyak masjid berbanding gereja.


BERSANTAI di bandar Kosovo yang makin berseri dengan pokok berwarna warni sempena musim bunga.

Namun, reka bentuk masjid dan gereja adalah sama, iaitu warna hijau kubah sama, cuma membezakan ialah lambang bulan sabit dan salib di puncak menaranya.

Rombongan berpeluang solat dan melihat keindahan seni bina Masjid Mustafa Pasha, antara masjid tertua di Skopje.

Dalam keghairahan melihat kesan tamadun Islam kerajaan Uthmaniah di Macedonia, kami juga terheret menjejaki tragedi pembunuhan beramai-ramai masyarakat Islam Bosnia dilakukan jiran mereka ketika tercetus peperangan dengan Croatia dan Serbia, pada 1990-an.

Sebak ketika mengaminkan doa untuk 116 mangsa dibunuh kejam di Kampung Ahminc mengambil nama keluarga seorang kanak-kanak yang selamat dan kemudian menjadi saksi di mahkamah antarabangsa sehingga menghumban pemerintah Croatia ketika itu ke penjara.

Kami juga dibawa melawat Terowong Harapan atau Tunnel of Hope di Vrelo Bosna Park, Sarajevo dibina rakyat Bosnia untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa peperangan.


KEUNIKAN seni bina Masjid Mustafa Pasha, masjid. tertua di Skopje, Macedonia tarik perhatian pelancong.

Rakyat Malaysia perlu ambil iktibar apa yang berlaku di Bosnia-Herzegovina supaya tidak mengalami nasib yang sama. Hargai keamanan yang dikecapi sekarang.

Perjalanan hari terakhir ke Taman Negara Plitivice di Zagred, Croatia paling mengujakan. Apa tidaknya dalam usia emas, kami mampu meredah taman sejauh lapan kilometer.

Ketika diberitahu jarak perjalanan, ramai yang mengalah pada mulanya, tetapi apabila dijelaskan kawasan itu mempunyai puluhan air terjun, semua teruja untuk meneroka.

Melewati kawasan berbukit, meniti trek khas, mata terpukau dengan keindahan air terjun semula jadi dan air sungai kehijauan, terasa seolah-olah berada di alam bunian.

Apabila tiba di puncak air terjun yang paling tinggi, rembesan airnya macam hujan gerimis. Menurut pemandu pelancong, air bersih untuk diminum, sayangnya saya terlupa untuk menadah dan minum air itu.

1489 dibaca
Berita Harian X